Memaparkan catatan dengan label JIN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label JIN. Papar semua catatan

Selasa, 2 Ogos 2016

SERAM: PERNAH TAK KORANG.........

Setan laaaaaaa.... aku ambil risiko tulis post kali ni!!

Aku nak cerita misteri ni kat korang. Aku memang suka cerita hantu, tapi penakut aku sampaikan nak kencing pon suruh ibu tunggu depan pintu (pintu tak tutup pun)...eleh korang pun same!

Aku dah lama pendam tapi hari ni aku bengang sebab aku mimpi hantu!

Sejak bayi lagi aku suka dengar cerita misteri ni baik dari mulut-mulut kawan-kawan, POKSU, TOK, dan sehinggalah aku terkena sendiri beberapa kali. 

Pernah aku ceritakan tentang UKM KOLEJ aku berhantu

Namun cerita misteri ini tak pernah berhenti kau tau!! Biar aku ceritakan dari awal sampailah aku cerita tentang mimpi hantu pagi tadi ye!

Bermula episod aku nak mencuba hidup jauh dari keluarga (hahaha tak sampai 6 bulan), aku duduk bersama rakan baik di Bangi. Ya Allah baiknya housemate aku, masa aku susah tak berduit pon perut aku kenyang berisi makanan. Mereka murah dengan sedekah makanan pada perut kesayangan aku yang bertayar-tayar ni. Masa tu, aku ni ada la sakit-sakit maka rakan baik aku ni selalu ajak pulang ke Dungun rumahnya berubat. Cuba macam-macam ye nak sihat. 

Sampai suatu hari, rumah tu mulalah diganggu. Hint awal adalah bunyi guli, orang alih perabot malam-malam, rasa seram je bila solat macam ada orang perhati je. Aku dah la penakut tapi rakan baik aku ni brainwash aku supaya jangan layan dan jangan takut sangat kang 'dia' lagi suka. Oh setannya, aku takut maka aku terpaksa berpura-pura tak takut. Paham tak siksanya aku! Sepanjang perjalanan hidup aku sebagai anak teater (Sanggar Mas Kolej Keris Mas ahaha) inilah watak yang paling sukar dan mencabar aku bawa. 

Macam-macam berlaku sampai aku pon dah lupa kronologi dan mungkin tertinggal dari cerita kali ini. Tak ingat betul ke tak kronologinya... Tetapi yang paling aku ingat, salah seorang dari housemate merangkap rakan baik juga dok selfie di rumah itu tetiba ada kelibat menumpang selfie bersama. Setan la seram!!!!!!!!!!!!!

Rentetan dari kisah seram tu, sorang demi sorang dari kami diganggu. Aku tengah tengok kamen rider ni diganggu oleh rakan baik aku ajak berborak. Maka aku pause lah cerita kamen rider padahal mase tu tengah scene klimaks. Sabar je la... Demi sayang rakan, aku fokus berborak. Lama kami berborak gelak-gelak semua tetiba sekelip mata. Sekelip mata, rakan baik aku muncul di pintu bilik pelik melihat aku terkejut beruk. Aku tanya, "Eh, aku tengah borak dengan kau doh bila masa ko masuk bilik pulak???". Penyataan aku disangkal oleh rakan aku tu, katanya dia baru nak masuk bilik. Ah sudah dengan siapa aku berborak tadi? Setan la kau!!!

Malam yang sama juga, semua sudah tidur, rakan aku bangun untuk ke tandas tanpa memakai cermin matanya yang tebal tu. Lepas buang hajat dia masuk bilik, dia nampak ada lembaga hitam betul-betul sebelah aku tengok je aku tidur! Masa tu dia tetiba meremang dan cepat-cepat terjun atas katil paksa tidur. Bilik masa tu agak terang dengan lampu tidur tepi tilam aku. 

Selang beberapa hari selepas diganggu, kami berterusan memasang surah Al-Baqarah untuk niat menghalau mahkluk ni kalau baca yaasin panas... Maka surah Al-Baqarah adalah cara halus halau setan ni. Kami bukak 3 hari berturut, hari kedua tu 'mende' tu tunjuk berang. Dia siap bisik kat telinga rakan baik aku ni dengan nada mengejek, menganjing ngajian surah Al Baqarah tu. Nenenenene.... OK ini kemuncak rakan baik aku yang taff tu rasa ini dah melampau. Aku pulak rasa seram sampai tak pergi kerja. LOL macam gampang.

Kami pon pulang ke Dungun beramai-ramai berjumpa seorang saudara rakan baik aku ni pandai berubat batin. Ramai-ramai kau dia scan dan buang jin/setan secara bedah batin. Dimasukkan pula dalam botol. Aku siap ambek gamba perghhh jelas gila rupa jin tu. Mana gamba tu? Dalam hardisk aku nanti ada masa aku upload. Masa sebelum scan lagi orang tu kata JIN AKU BESAAAAAAAAAAAAA (ingat dia perli badan aku besa) pastu mase dia keluarkan dari botol tu, dia tergelak sebab yang dia berjaya tangkap tu BAPAK JIN. Ah sudah kau! Seraya itu, bukan bapak jin ni ade macam-macam lagi jin dan setan satu badan aku dia tangkap. 

Bukan scan badan je, kami diarahkan sebelum berjumpa dia untuk siap-siap mengambil gambar rumah kami. Dengan gambar je dia boleh tangkap jin dalam rumah kami. Memang macam tak logik akal tapi aku tak tahu macam mana aku boleh percaya. Sebab bukan dia je yang cakap menda yang sama. Dari gambar rumah, gamba bilik aku (ada jin berupa kera atas katil aku bawah Figure Kamen Rider) ada pontianak atas katil rakan baik aku sampailah kami tunjuk gambar famili kami. Salah seorang rakan kami rupanya disantau kau! Ya Allah kenapalah isu santau menyantau ni jadi adat orang Melayu. aku tak pernah dengar pulak santau ni dari orang Cina dan India. 

Selepas bedah batin tu kami pulak langgar pantang makan pisang goreng. Adoi kena jahit semula. Memang macam eh kelakornye lah pantang, kami yang ketakutan ni dengar aje cakap orang tu jahit semula. Adoi. 

Selang beberapa momen begitu, aku pula berpindah semula balik Gombak. Rakan aku pula ditimpa musibah besar. Satu keluarganya disihir pula oleh orang yang pernah rapat dengan dia. Subhanallah beratnya dugaan dia. Mak dan adiknya paling terkesan. Rakan baik aku juga terkena tempias. Dia sering diganggu dengan mahkluk berbulu hitam dan besar. Mula-mula ringan lagi, macam just nampak kelibat tapi sampai satu tahap dia sergah depan-depan dan menghilang tiba-tiba tu melampau. Rakan aku yang stress tu membuat keputusan tenangkan diri ikut aku ke Jepun. 

Aku ingat lagi malam terakhir aku di Shin Okubo, kami berdua tidur lewat. Dan aku ada beri tazkirah tentang agama, solat, aurat dan kata-kata motivasi kami berbincang. Pukul 2 pagi terakhir kami tumpas mengantuk tidur. Dah lelap lama macam tu, tetiba aku rasa badan aku berat kena tindih. Aku bukak mata tengok ada mende hitam berbulu mata merah depan aku beberapa inci dekatnya. Aku cuak tutup mata, sampai sesak nafas. Aku baca ulang ayat kursi dan al fatihah akhirnya struggle aku dapat lepaskan tangan kiri. Aku cuba kejutkan rakan aku tu, aku cekik rakan aku tu kuat kot tapi dia tak sedar-sedar sampailah aku baca ayat kursi kali ke berapa tah dengan tenang dan perlahan (mungkin betul maghrajnya) akhirnya makhluk tu bangun dan menjauhi aku ke hala ke dapur. Bilik Jepun tak besar boleh tengok sini JAPAN: Budget travel (Autumn) : Day 7 Asakusa, Ueno, Zoo Ueno, Ameyayokocho Street 

Yang aku pelik, Jin boleh ikut sampai ke Jepun??? boleh rentas laut pulak! Pelik

Disebabkan aku takut, aku terus baca ayat kursi berulang sehingga aku terlelap lagi. Bangun je Subuh, aku biasanya bersiap awal dan terus mandi tapi hari tu, aku biarkan rakan yang lain mandi dahulu. Takutnya Allah je yang tahu. Tapi nasib baik hari last kami di bilik tu. 

Sejak hari tu, aku tak pernah kena ganggu dah sehingalah pagi tadi aku mimpi aku ikut sorang ustaz ni tangkap hantu ala-ala POKEMON GO plus GHOSTBUSTER gituw. Sampailah satu tahap aku kene cekik dan roh aku terus masuk jasad dan aku terus capai hp tengok jam pukul 4.20 pagi. Tetiba dalam gelap tu aku nampak cahaya bersinar dalam bilik. aku dah seram gila dah. Tetiba ada benda terjah atas badan aku, rupanya Buntat yang gemuk sarat bunting tu nak tidur bersama. Jilake Buntat aku ingatkan hantu. Tapi separuh nyawa juga aku meremang tadi. 

Oh Buntat.... itulah kisahnya setakat ini. Banyak lagi aku nak cerita tapi setakat ni je ingatan aku. Bai




Jumaat, 10 Januari 2014

BERKAHWIN DENGAN BUNIAN

 Ada beberapa rakan tanya kisah 2 Alam, half dari cerita tu adalah cerita betul, dan half lagi rekaan. Harris ke, Nadirah tu ke (aku kan suke jadi heroin) dan Azrin adalah watak yang direka. Tapi banyak cerita dan kejadian yang pernah aku dengar dan alami sendiri. 

Kisah berkahwin dengan Jin. Menarik walaupun seram

Kesimpulan, banyak lagi perkara ghaib yang kita tidak tahu. Ini serba sedikit artikel yang aku dapat cari. Sebab sumber cerita tu banyak sangat. So aku tak boleh cerita satu per satu. Ha ni baca dulu. Nanti ade cerita pasai kisah jin aku sambung
 Sumber artikel dari Harakah

 Soalan: Ustaz, saya ingin bertanya perihal yang berkaitan dengan bunian. Perkara ini timbul dalam keluarga saya sendiri, iaitu mengenai adik perempuan saya yang berperangai agak aneh. Kami sekeluarga amat musykil apabila beliau menolak pinangan orang, sebaliknya mengaku sudah berkahwin dengan makhluk halus atau bunian.
1. Soalan saya, apakah perkahwinan antara manusia dengan jin boleh berlaku?
2. Apakah hukumnya perkahwinan tersebut, sah atau tidak dari sisi Islam?
Halimatussaadiah
Bota, Perak
Jawapan 1
Puan,
Perkahwinan dalam erti kata yang kita fahami hari ini, tidur bersama selepas perkahwinan yang sah, memang berlaku di antara manusia dengan manusia sahaja seperti yang disebut oleh Allah S.W.T dalam Surah ar-Rum, ayat 21 (mahfumnya): 

“Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T, dijadikan bagi kamu (manusia) untuk pasanganmu dari jenis kamu juga (manusia), supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan dianugerahkan kepada kamu kasih sayang dan rahmat dari Allah S.w.T.”
Ayat ini menjelaskan bahawa pasangan hidup manusia dalam rumahtangga yang dirahmati Allah, adalah di antara manusia dengan manusia.
Mengenai dakwaan adik puan yang menyatakan bahawa dia telah berkahwin dengan jin. Pada saya hal ini memang boleh berlaku pada suatu kemungkinan (possibility).
Dalam sejarah sebagai contoh, berlaku kisah Puteri Balqis, Raja Perempuan di negeri Saba’ (Yaman). Ada pendapat yang mengatakan bahawa, salah seorang daripada ibu bapanya adalah jin. Sama ada bapanya jin, ibunya manusia atau sebaliknya.
Hal ini saya dapati ada tercatat dalam Tafsir al-Qurtubi, juzuk yang kesepuluh halaman 289, ketika membuat tafsiran kepada Surah al-Isra’ ayat 64, yang menyebut firman Allah bahawasanya jin akan berusaha keras memperdayakan manusia untuk menderhaka kepada Allah dengan berbagai-bagai cara.
Mereka menggunakan seni suara (nyanyian), tentera-tentera mereka digunakan, sehingga boleh bermusyarakah bersama untuk mendapatkan harta benda dan anak-anak milik bersama manusia hasil perkongsian dengan makhluk-makhluk halus ini. Disebut di antaranya, berlakulah perkahwinan tadi (ibu bapa Puteri Balqis).
Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.ha, Nabi pernah bersabda yang bermaksud,“Bahawasanya ada kalangan manusia ini yang akan menjadi mugharribeen, maka Aishah bertanya Nabi maksud mugharribuun itu? Maka Nabi bersabda yang bermaksud ialah mereka-mereka yang telah bermusyarakah dalam kehidupan rumahtangga dengan jin.”
Daripada rujukan ini menunjukkan bahawasanya ada kemungkinan manusia itu mengahwini jin sama seperti apa yang didakwakan. Kerana makhluk ini, seperti disebut dalam beberapa hadis, mereka boleh menyerupai dengan rupa-rupa yang diizinkan Allah kepada mereka menyerupainya. Tetapi dalam keadaan-keadaan yang amat sempit atau peluang yang mereka ada amat terhad, demi menjaga kemaslahatan anak Adam tidak terdedah dengan luas untuk ditanggung oleh makhluk-makhluk halus.
Penjelmaan mereka menjadi makhluk seperti manusia, disabitkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, iaitu kejadian pencurian harta zakat yang dikawal selia oleh Abu Hurairah, sehingga Abu Hurairah boleh menangkapnya dan dibawa kepada Rasulullah s.a.w untuk pendakwaan. Walaupun akhirnya jin tersebut dilepaskan tetapi Nabi telah menyatakan bahawasanya yang mencuri itu adalah syaitan.
Disabitkan juga bahawa penjelmaan jin itu wujud dalam bentuk yang jelas menyerupai manusia dalam peristiwa peperangan Badar seperti yang disebut dalam Surah al-Anfaal ayat 48 (mahfumnya):
“Dan ketika dihiasi oleh syaitan kepada mereka, tentera Islam dengan katanya kepada mereka, kamu tidak dikalahkan oleh musuhmu oleh manusia dan saya adalah jiran kepada kamu yang akan membantu dalam peperangan ini. Maka apabila kedua-dua kumpulan (Islam dengan Kafir Jahilliyah) bersemuka untuk peperangan yang berjanji untuk menolong mereka orang-orang kuffar itu telah cabut lari mengatakan saya tidak lagi boleh bersama-sama dengan kamu kerana saya dapat melihat apa yang kamu tidak boleh lihat dan saya sesungguhnya amat takut kepada Allah dan Allah itu amat dahsyat keseksaan-Nya”.
Ayat ini merujuk kepada adanya kepada satu makhluk yang menjelma sebagai manusia kununnya untuk membantu askar-askar musuh (kuffar) menentang Islam dan sabit bahawa makhluk itu bukan manusia, tetapi jelas mereka adalah syaitan.
Dengan demikian, jelaslah bahawasanya syaitan ini boleh menyerupai manusia dan dengan sendirinya boleh menjadi suami atau isteri kepada manusia.

Jawapan 2

Hukumnya adalah jelas, jumhurnya ulama sudah berijma’ bahawa hukumnya (mengahwini jin) tidak sah! Tidak boleh perkahwinan manusia dengan jin dilakukan. Melainkan ada seorang ulama yang bernama Qamuli yang menyatakan perkahwinan tersebut boleh.
Namun saya berpegang kepada pandangan jumhur ulama bahawa hukum perkahwinan tersebut adalah tidak sah, kerana ianya menyalahi dengan ayat Surah ar-Rum yang disebut di atas.
Perkahwinan antara manusia dengan jin tidak akan melahirkan ketenangan, kebahagiaan ataupun mendapat rahmat Allah SWT.
Perkahwinan yang tidak sah pada hukum syarak tidak mungkin dirahmati Allah dan tidak mendapat restu Allah. Tidak mungkin kebahagian dan ketenangan berlaku! Kita dapat merasakan jika berlaku suatu krisis rumahtangga dengan mereka (golongan jin), bagaimana rumahtangga boleh aman daripada gangguan mereka?
Malahan anak-anak yang mungkin lahir dari hubungan itu, akan menjadikan masalah kepada manusia, mereka tidak boleh bergaul dalam alam manusia dengan sanak saudara. Jika berlaku pula masalah dengan anak-anak jiran, maka ianya akan mengundang berbagai kecelakaan. Nasihat saya kepada keluarga puan, hindarilah hal-hal ini daripada berlaku.
Jika dikatakan jin itu mempunyai keilmuan Islam yang tinggi dan dia beramal dengannya, maka sama juga dengan manusia yang mengkaji Islam, tetapi tidak Islam.
Malah ada kalangan sarjana Barat yang banyak menghafal al-Quran, menghafal hadis dan mengetahui banyak hukum (terutama orientalis), kalau di alam manusia boleh berlaku, maka tidak mustahil di alam jin juga ianya boleh wujud.
Maka jalan yang terbaiklah, kahwinilah dengan manusia, seperti yang disebut Rasulullah, “Kahwinilah perempuan-perempuan manusia, kerana mereka boleh mendatangkan harta.

Wallahu a’lam.