Memaparkan catatan dengan label ZALORA COMMUNITY. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ZALORA COMMUNITY. Papar semua catatan

Rabu, 18 Januari 2017

HUBUNGAN BERSAMA SEORANG AYAH & ANDROPAUSE

 POST ORIGINAL DARI ZALORA >>> ZCOOP ZALORA MALAYSIA

Kitaran hidup kita dari bayi, remaja, dewasa sehingga tua tidak akan pernah berhenti. Fasa konflik bermula pada fasa remaja yang mana kita tahu berlaku perubahan hormon menyebabkan perubahan drastik secara dalaman dan fizikal. Evolusi jiwa berubah mengikut kematangan dan berikutnya tiba masa untuk perosotan perubahan hormon atau dikenali sebagai ‘reverse puberty’ iaitu yang berlaku pada warga tua.

Lingkungan usia 40 hingga 60 tahun kerap dikaitkan dengan krisis pertengahan usia. Sebenarnya sebahagian proses kematangan normal. Bagaimanapun, tidak dinafikan bagi sesetengah lelaki, krisis pertengahan usia sangat merumitkan hingga membawa kepada tekanan perasaan atau mungkin perceraian.

Artikel kali ini bukan isu menyentuh tentang ilmu biologi mengenai Andropause, namun ia lebih menyentuh bab hubungan kekeluargaan. Sebagai seorang wanita dan juga anak perempuan kepada seorang ayah, terdetik hati untuk sama-sama kongsikan sedikit konflik dan mungkin sedikit sebanyak dapat membantu anda memahami penderitaan mereka yang tersayang. Ia seperti tindakan berbalik. Jika dahulu, ibubapa kita bersusah payah memahami konflik perubahan anak remaja mereka dan kini giliran kita pula lakukan tanggungjawab yang sama.
Kenapa ayah? Cliche jika kita dengar dahulu ibu garang kini sudah ‘cool’ dan ayah sebaliknya. Sebagai anak dewasa, kita akan berhadapan konflik pada ayah lebih dari ibu. Wanita lebih cenderung menzahirkan tekanan dengan cara bersedihan, makan berlebihan dan kurang pertimbangan. Namun lelaki pula, kemarahan kronik, self-destruct, penggunaan dadah, perjudian, berfoya-foya dan gila bekerja.Antara ciri-ciri yang diperhatikan pada lelaki yang mengalami Andropause :
  • Sering buang air kecil
  • Susah tidur, mudah risau.
  • Mudah penat, sering berpeluh
  • Mudah menangis tanpa sebab
  • Mudah marah walaupun untuk hal kecil atau marah tanpa sebab
  • Sering tidak percaya atau curiga pada orang lain, termasuk pada pasangan
  • Sering tidak fokus, mudah bosan
  • Sering pening kepala
  • Tiba-tiba merasa panas tanpa lakukan aktiviti berat
  • Sering sesak bernafas
  • Perut dan paha makin besar
  • Berat badan naik
  • Penurunan libido atau keinginan seksual
  • Disfungsi ereksi
Adakah anda mendapati ciri-ciri ini pada mereka? Apa yang anda lakukan? Terus biarkan konflik melarat? Disini kita dapat lihat, peranan dan sokongan dari orang-orang yang rapat amatlah penting.
Perbincangan hati ke hati amat penting agar mereka tidak keliru dengan perubahan mendadak pada diri mereka sendiri, mereka tidak derita sendirian. Berikutnya perbincangan dengan adik-beradik agar dapat sokongan positif antara satu sama lain. Perkara paling asas ialah menjaga pemakanan dan bersenam, selain berada dalam persekitaran positif. Berikan perhatian yang lebih pada mereka, sentiasa mengambil berat tentang sakit-sakit mereka. Pastikan mereka mendapatkan suplemen tambahan ini kerana badan mereka semakin lemah dan lebih sensitif.

Secara keseluruhan, ciri-ciri ini seperti normal namun hanya kita lebih mengenali ahli keluarga kita. Jika tidak terkawal, perubahan ragamnya boleh mencetus pergaduhan besar. Sebagai anak, kita bertanggungjawab untuk menjaga mereka sebaik mungkin. Jika kita sendiri tidak memahami penderitaan mereka, konflik keluarga akan bertambah buruk.

Impak terbesar dari isu ini adalah penceraian iaitu perkara yang paling digeruni setiap keluarga. Trend bercerai pada usia tua semakin meningkat tanpa mengira negara, bangsa, agama mahupun warna kulit. Di Malaysia mengikut purata 5 dari 10 pasangan menamatkan perkahwinan pada usia umur 40 tahun ke atas. Dimana fasa umur mereka mulai bebas dari tanggungjawab anak-anak, ditambah pula royalti dari simpanan (KWSP sebagai contoh) pelbagai keinginan mahu dipenuhi.

Jodoh, mati, aturan perjalanan hidup seseorang adalah sesuatu diluar bidang jangkauan kita. Namun, peranan seseorang anak adalah berbakti jasa pada ibu bapa. Setiap keluarga mempunyai keunikan berbeza, mungkin konflik berlainan namun isu pokoknya sama. Cara mengatasi, menangani permasalahan juga berlainan. Bukan orang ketiga atau keempat yang perlu membantu menyelesaikan masalah ini.

Ahad, 18 Disember 2016

IMPIAN TUA SENDIRIAN


Sedih atau tidak membaca tajuk kali ni? Bukan nak tujukan khas pada golongan yang tertentu namun artikel ini betul-betul tentang perkongsian cita-cita dan pandangan peribadi.

Ada banyak sebab mengapa ada sesetengah orang memilih untuk hidup berseorangan. Mungkin bagi segelintir dari anda akan memandang negatif dengan impian ini dan banyak juga kita menerima nasihat untuk sentiasa positif dan usaha untuk berkahwin, mencari keluarga lengkap seperti orang lain. Hidup sendirian tidak bermaksud terasing terus dari masyarakat. Tema hidup kita kadang-kala lebih kepada kebebasan. Bebas dalam prinsip serta bebas untuk membuat keputusan. Tidak terikat dan cabar kemampuan diri sendiri.

Fikir positif untuk hasilkan sesuatu yang positif. Mungkin kita tidak sedar bahawa golongan andartu atau bujang terjalak mempunyai sejumlah populasi agak besar dalam masyarakat kita, namun bagi adat pandangan orang Malaysia yang membuatkan golongan ini seperti samar dan tidak penting. Yang penting dan normal hanya golongan bekeluarga sahaja. Tidak begitu? Golongan andartu atau bujang terlajak lebih terjerumus dengan sindirian masyarakat.
Bukan semua antara kita yang diuji lengkap keperluan hidupnya. Mungkin ada beberapa sebabnya ada antara kita masih dalam kategori ‘terasing’ ini. Antara penyebab wujudnya golongan terpencil ini:
  1. Jodoh

Isu jodoh ini adalah rahsia Tuhan sepertimana kita tidak tahu bila ajal menjemput. Mungkin juga jodoh separuh jalan. Sukar untuk mengatur apa terjadi di masa hadapan hidup kita.

2. Sakit
Diduga menghidapi sesuatu penyakit. Terpulang pada pendapat masing-masing, contohnya isu sensitif, mandul, berpenyakit kanser terminal dan sebagainya. Ada yang berpendapat jika dapat elakkan keruhan isu di masa akan datang lebih baik dia terus tidak memberi bebanan pada sesiapa. Memang kita harus menghadiri sesi terapi psikologi agar terus positif dan lebih menghargai diri dan nyawa yang dipinjam. Namun penghidap sahaja yang memahami isu rumit ini jadi hormatlah pada pandangan mereka.

3. Keluarga


Ada yang memilih untuk tidak berkahwin hanya kerana ingin menjaga ibunya sepenuh masa. Sepenuh masa, maka tiada pendapatan tetap dan yakin tidak mampu untuk berkeluarga. Menolak beberapa tawaran untuk mendirikan rumah tangga kerana yakin dia tidak akan dapat memberi perhatian sepenuhnya pada ibu bapa.

4. Penyakit jiwa
Ada golongan yang lebih suka bersendirian dan tidak selesa ruangnya dikongsi. Contohnya, semua aktiviti di dalam biliknya terpaksa dikongsi, koleksi peribadi terpaksa dikorbankan dan banyak lagi barangan peribadi hilang hak privasi jika berkahwin. Mungkin bagi sesetengah orang perkara ini isu kecil namun bagi sesetengah yang lain mereka berasa tertekan sehingga perlu mendapatkan khidmat nasihat ahli psikologi.

5. Phobia
Contoh Chronophobia atau fobia dengan masa hadapan. Mungkin tidak masuk akal bagi anda namun fobia ini betul-betul wujud. Mungkin fobia ini dari pengaruh persekitaran seseorang ini sejak kecil. Ada banyak kemungkinan di mana dia adalah salah seorang mangsa dera atau pernah mengalami kegagalan dalam hubungan/ perkahwinan beberapa kali membuatkan dia memilih untuk hidup bebas bersendirian dengan selesa.

6. Sikap


Sikap yang dibenci dan menjadi punca penceraian adalah sikap negatif seseorang yang terpaksa kita terima. Sangat biasa jika mendengar keluhan dari seorang isteri bahawa mereka penat menguruskan hal rumah tangga dan keluhan suami pula mengatakan isteri tidak pandai mengurus hal rumah pengotor dan sebagainya. Isu ini bukan isu yang remeh.

Banyak lagi penyebabnya jika kita ulas dengan lebih mendalam. Mengikut dalam kebanyakan negara dari Korea dan Jepun, isu andartu dan bujang terlajak bukan sesuatu yang memalukan malahan masyarakat mereka tidak memandang serong golongan terasing ini. Banyak rumah mereka yang dicipta untuk kediaman perseorangan. Bagi mereka hidup sendirian tidak bermakna anda terasing tetapi anda lebih bebas untuk membuat banyak aktiviti dan hiburan bersama rakan serta komuniti.

Memang sebagai lumrah hidup ini berpasangan, namun ada juga yang diuji untuk bersendirian. Kita tidak tahu masa hadapan jadi kita harus hargai hidup sebaik mungkin. Pilih positif dalam kehidupan anda agar anda tidak akan ‘sendirian’. Ubah persepsi anda tentang artikel ini. Sebarang perkongsian pendapat dan cerita boleh dicatatkan di ruangan komen.

Rabu, 14 Disember 2016

STORY SPOILER a.k.a SPOILER PARADOX


Baik atau Buruk?

Artikel kali ini mengupas tentang isu story spoiler atau secara terma psikologinya dikenali sebagai Spoiler Paradox. Biasanya kita kaitkan dengan spoiler bahan bacaan, novel, drama atau filem. Namun kita akan dapat lihat sikap itu terdapat pada diri kita sebenarnya. Pasti ada segelintir dari jiwa kita mempunyai sifat hidden spoiler namun masih menafikan. Sepertimana perjalanan hidup kita, tiada siapa boleh menjangkakan cerita hidup masing-masing sejak lahir hingga akhir hayat. Yang tercatat hanyalah sejarah.

Hiburan bercerita adalah sifat manusia sejagat merentangi budaya, peradaban dan masa. Cerita menghubungkan idea kompleks, dari kepercayaan keagamaan ke nilai kemasyarakatan. Kajian terkini dalam jurnal Psychological Science menyatakan bahawa ‘Spoiler Paradox’ adalah seseorang yang lebih cenderung untuk terus mengetahui penghujung jalan cerita sebelum mengikuti sesuatu cerita dari awal. Bagi mereka ini tidak akan merosakkan nikmat sesebuah cerita malah ia akan membuatkan sesebuah cerita itu lebih menarik. Siapa setuju dengan fakta ini?

Kita pasti mempunyai seorang rakan yang merupakan ‘spoiler storyteller’ sehingga kita merasakan dia adalah gangguan emosi kepada sesebuah bahan penceritaan. Jika dia membeli bahan bacaan seperti novel, dia akan membaca babak terakhir dahulu. Selain dari menjadi spoiler storyteller, kita dapat perhatikan sikapnya itu pada latihan pembelajaran. Orang seperi ini lebih cenderung untuk mendapatkan jawapan dahulu berbanding dengan berusaha pelbagai cara menyelesaikan masalah dari awal. Dengan sikap inilah orang seperti ini sering memberi idea bernas untuk merungkaikan perumitan dengan solusi mudah dan lebih jelas.

Untuk sesebuah filem atau drama, dia akan menonton episod terakhir dan seterusnya turun seperti tangga. Pelik bukan? Seperti penceritaan berbalik (reverse story). Lebih lucu untuk mengetahui lebih terperinci dia akan mencari maklumat dari spoiler-spoiler yang lain, biasanya perbincangan di forum-forum.

Lebih menarik jika saya kupaskan dengan isu TIDAK SETUJU dengan golongan ‘spoiler’ ini dahulu. Seperti artikel saya sebelum ini, manusia sememangnya kompleks. Ini tidak bermakna semuanya dari kita adalah betul. Setiap perkara mempunyai kebaikan dan keburukan, bergantung pada penerimaan seseorang mengenai golongan Spoiler Paradox.

TIDAK SETUJU? Ada yang berpendapat apabila kita mengetahui pengakhiran cerita atau kesimpulan ‘as expected’ itu pasti akan terus hilang nikmat sesebuah cerita. Walau menarik macam mana sekalipun sesebuah cerita seperti yang diviralkan, kepuasan itu masih tidak maksimum. Biarlah mengikuti perjalanan penceritaan dari awal, satu per satu kejutan babak demi babak.

SETUJU? Sebenarnya jika kita fikir berada di tempat ‘Spoiler Paradox’ ini sebenarnya ada banyak isu tersirat boleh dikupaskan. Golongan ini hanya perlukan ‘booster’ sebagai kesimpulan dari perjalanan cerita kompleks. Booster itu akan membuatkan golongan ini penuh dengan tanda tanya. Cerita tergantung tanpa solusi akan menimbulkan persoalan kenapa, apakah, siapa, bila, dimana yang mencorakkan sesebuah perjalanan cerita sehingga mempunyai pengakhiran sebegini. Dari tanda tanya inilah membuatkan sesebuah cerita itu lebih menarik.

Ini berkaitan secara psikologi dikenali sebagai “teori minda”. Mempunyai suatu teori minda bererti mempunyai keupayaan kepada sifat minda iaitu keinginan, motivasi dan tujuan menjelaskan tindakan atau kelakuan. Ini penting kerana sebuah cerita baik memenuhi fungsinya dengan berkesan dan mampu berkomunikasi maklumat kepada orang lain.

Golongan spoiler ini mampu membuatkan sesuatu cerita yang rumit menjadi suatu motif jalan cerita yang mudah ini kerana kesimpulannya atau kesudahannya sudah diketahui. Keupayaan untuk menghadam secara terperinci prosesnya dengan mudah membenarkan anda lebih melibatkan diri dalam penceritaan dan mencapai pemahaman kepada satu peringkat yang lebih dalam. 

Sebenarnya golongan pasif memerlukan golongan spoiler ini untuk mengkaji sesebuah cerita dengan lebih mendalam. Mungkin sinopsis ringkas sahaja tidak dapat memenuhi kepuasan pemikiran setiap orang.

Apa pendapat anda? Adakah anda kini tergolong dari ‘spoiler paradox’? Lumrah manusia penuh dengan sifat ingin tahu. Logik atau tidak dengan golongan reverse psychology atau psikologi berbalik ini lebih menarik sebenarnya.

Isnin, 21 November 2016

Apakah Personaliti Anda?


Manusia memang kompleks. Tiada satu tema pun boleh mengungkap dengan lengkap untuk merangkumi kesemua pesonaliti setiap manusia. Dianugerahkan organ otak dan hati sama secara fizikal namun setiap manusia mempunyai 1001 ciri-ciri yang berbeza dimana boleh dikategorikan dengan tiga jenis karekter. Artikel kali ini mungkin dapat membantu anda mengenali dengan lebih mendalam pesonaliti anda dan juga yang tersayang.

Introvert adalah golongan yang hanya menyumbangkan tenaga sosialnya kepada segilintir orang yang terpilih sahaja (keluarga dan beberapa orang rakan baik). Golongan introvert akan berfikir dahulu sebelum bercakap dan disebabkan itu mereka sering dikategorikan sebagai pendiam. Diam tidak bermakna mereka kosong. Ligat pemikiran mereka memikirkan tentang pandangan sekeliling terhadap beliau, risiko dari perbuatan diluar kawalan semuanya membuatkan golongan ini lebih suka bersendirian. Tidak suka bersosial dan sering memencilkan diri. Selain dari itu, jika sesuatu menarik minat mereka, mereka akan merasa energetic untuk tahu dengan lebih mendalam dan akan memberikan fokus 100%. Dapat bayangkan golongan ini akan tidak tenang hati selagi tidak dapat menyelesaikan sesuatu masalah.

Diberi contoh di dalam satu majlis, golongan introvert ini lebih selesa untuk menjadi ‘watcher’ atau membuat hal sendiri, makan sendiri dan hanya bersosial dengan orang tertentu. Ada dua kemungkinan iaitu mereka ingin bersosial dan cemburu pada golongan extrovert yang mampu memeriahkan majlis maka mereka akan berusaha berdamping dengan golongan extrovert agar tidak ketinggalan. Kemungkinan kedua adalah golongan introvert akan tertekan dengan sekeliling, takut akan risiko ditemu-bual oleh golongan yang hati kering, malu tiada keyakinan untuk bersosial malah juga takut menjadi ‘spoiler’ majlis itu. Pulang ke rumah atau mencari ruang yang tenang?
Berbeza dengan golongan extrovert, mereka adalah pakar bersosial. Lebih bertenaga jika bersosial, tidak suka bersendirian, suka bergaul, mempunyai ramai teman dan mempunyai pesonaliti menarik. Dari segi pemikiran, mereka lebih easy going, berfikiran terbuka, sukakan risiko dan cabaran, suka pada tumpuan dan perhatian, love-expert dan lebih dominan. Mereka tidak suka memikirkan hal yang rumit dan suka mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah. Jika bersendirian, mereka akan cepat bosan, mati kutu dan rasa tidak senang. Pasti golongan ini mempunyai pelbagai jenis hobi.

Adalah logik wujudnya golongan yang mempunyai kedua-dua ciri introvert dan extrovert di dalam diri mereka? Ya, golongan ini juga dikenali sebagai ambivert. Semuanya bergantung pada situasi dan pengaruh persekitaran. Golongan ambivert ini wujud pada waktu dan keadaan yang tertentu. ‘Self-development’ atau ‘self-defense’ peningkatan kendiri pada karekter mengikut pengalaman dan pengajaran dari sekeliling.

Contohnya, di pejabat dia memilih untuk membawa ciri introvert. Sentiasa memencil diri dari bersosial dengan rakan sekerja, sering bersendirian, takut mengambil risiko dari penonjolan watak dan karisma semasa bekerja. Tersilap langkah, mungkin dibuang kerja. Biasanya kita sering mendengar ayat ‘play safe’. Namun, setelah melangkah keluar dari pejabat, dia akan membawa watak extrovert. Kejam pula jika dikategorikan golongan ini sebagai plastik. Kita harus lihat secara positif, kerana konflik di pejabat adalah tidak sihat.

Pernah sesekali saya fikirkan, alangkah seronok jika menjadi seperti si polan ini kerana semua orang sukakannya disebabkan perwatakan yang menarik. Bebas bersuara, dominan, mudah diajak berbincang dan berani. Pemikiran introvert ini yang begitu rumit ini adalah penyebab utama mengapa mereka memilih untuk menjauhi risiko. Namun, sekali lagi bergantung pada situasi dimana golongan introvert terpaksa menjadi extrovert. Mungkin selama ini dia hanya menjadi pemerhati kini dia terpaksa membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Tahap fleksibiliti seseorang itu tidak boleh diukur apabila terpaksa membuat sesuatu secara spontan. Mungkin akan wujud level stress melampau atau berita baik untuk anda kerana menjumpai bakat baru yang terpendam. Maka pengaruh sekitar dan rakan amat penting untuk membentuk seseorang. Boleh jadi golongan ini suka mencabar dirinya untuk keluar dari kepompong risiko, introvert. Dorongan dan sokongan boleh menjadi peransang golongan introvert untuk berubah. Tidak salah jika itu perubahan positif.

Jadi anda bagaimana? Anda introvert, extrovert atau ambivert? Kongsikan pengalaman anda di ruangan komen dibawah.

Isnin, 25 Julai 2016

Realiti Cinderella Jalanan - Adakah Anda Pencinta Haiwan?



Ramai di antara kita pencinta haiwan yang menjadikan haiwan seperti anjing, kucing, arnab, tupai, dan banyak lagi sebagai sebahagian dari ahli keluarga baru mereka. Bagi yang tidak tahu, haiwan kesayangan kita ini mempunyai variasi baka yang pelbagai. Sesetengah baka haiwan kesayangan ini mampu mencecah puluhan ribu ringgit. Contoh realiti kini, permintaan pasaran di Malaysia bagi penggemar kucing berbaka cantik ini menjadi buruan yang amat menggalakkan malah wujud cafe-cafe yang mana kita boleh bersantai dengan haiwan perliharaan kita ini.

Contohnya baka kucing Bengal, harganya boleh mencecah puluh ribu kerana ciri fizikalnya yang sangat menarik. Corak ‘marble’ dan tompoknya badannya yang mempengaruhi nilai harga haiwan ini. Namun biasanya yang sering menjadi pilihan penggemar-penggemar kucing adalah dari jenis baka Persian kerana bulunya tebal dan gebu. Adakah jenis baka baik sahaja menjadi pilihan para penggemar haiwan kesayangan? Bagaimana dengan kucing biasa? 
Artikel kali ini saya ingin menekankan berkenaan isu haiwan jalanan. Pernahkah anda makan di gerai dan melihat kehadiran kucing atau anjing berkeliaran yang meminta sedekah makanan pada mereka? Bagi sesetengah pihak, kehadiran haiwan ini mencalarkan imej perniagaan mereka. Maka, haiwan jalanan ini akan menerima nasib malang seperti dihalau, dipukul dan paling teruk diracun mati.

Bagaimana wujudnya haiwan jalanan ini? Ada dua kemungkinan, iaitu yang asalnya haiwan jalanan yang membiak dan keduanya ialah haiwan itu dibuang. Sikap pembela haiwan yang tidak bertanggungjawab sanggup membuang haiwan belaan mereka ini di merata tempat yang menyebabkan isu ini semakin sadis. Paling haru melepaskan haiwan kesayangan seperti ular sawa di tempat urban seperti bandar-bandar yang mana tempat tidak sesuai bagi haiwan sebegini. Logiklah kita sering mendengar kes ular sawa di kawasan bandar, walhal ular habitatnya bukan di kawasan yang membuatkan mereka berasa terancam. Salah siapa?
Puncanya membela haiwan yang banyak tetapi tidak merancang untuk menerima penambahan ahli baru, tidak dikasikan (pemandulan) dari awal. Akhirnya generasi yang tidak dirancang itu dibuang. Ada juga haiwan kesayangan yang berbaka cantik ini terlalu ‘high maintenance’ dari segi pemakanan, perubatan dan kelengkapan haiwan kesayangan ini membuatkan pembela-pembela haiwan mengalah separuh jalan dek kerana pembelanjaan melebihi had kemampuan. Jika membela haiwan seperti ular pula, mungkin saiznya sudah membesar lebih dari saiz sangkarnya. Si pembela mungkin sukar mengawal aktiviti haiwan sebegini. Jika pembela haiwan ini melepaskan haiwan sebegini di kawasan perumahan, hal ini mungkin membahayakan orang ramai.

Jika tidak mampu, mengapa memilih jalan sukar? Jika anda tiada pilihan mungkin anda patut mencari pihak yang rela untuk mengambil tanggungjawab anda. Jika isu seperti haiwan belaan seperti ular, anda boleh menghubungi pihak perhilitan atau pihak zoo. Membuang haiwan ini di tempat awam adalah perbuatan yang tidak wajar dan amat kejam. Haiwan belaan itu mungkin sudah biasa makan dan berlindung pada kelengkapan disediakan sebelum ini. Apabila mereka dilepaskan secara tiba-tiba, terpaksa mengadaptasi keadaan baru serta-merta mungkin mereka akan mengalami kesukaran untuk mendapat makanan, berasa amat terancam pada haiwan liar yang lain dan kemungkinan akan sakit atau tidak berjaya 'survive'. Kita perlu beringat, mereka juga mempunyai perasaan rindu pada tuan mereka.

Haiwan-haiwan yang tidak bersalah ini menerima nasib malang disebabkan kecuaian sikap dari manusia sendiri. Pada mereka penggemar haiwan yang sanggup mengambil mereka yang malang ini sebagai ahli keluarga baru adalah salah satu usaha yang murni, yang jarang dilakukan pada kebiasaan. Ikut pada pendapat masing-masing, bagi orang yang sederhana seperti saya yang tidak mampu untuk membeli haiwan yang berbaka hebat, tidak mengapa. Haiwan jalanan ini mungkin pilihan yang terbaik. Jangan pernah memandang rendah terhadap haiwan jalanan ini. Mereka boleh menjadi haiwan kesayangan yang hebat serta sangat sihat. Sama seperti cerita Cinderella, anda juga mampu mengubah cerita hidup haiwan jalanan ini menjadi haiwan yang istimewa dimata masyarakat. Dengan berkat kasih sayang mereka juga boleh membesar dengan sihat dan gebu mengalahkan haiwan berbaka mahal di pasaran.
Isu ‘maintenance’ ini sebenarnya tidak menjadi masalah. Namun, terdapat beberapa penjagaan wajib perlu pada setiap haiwan kesayangan. Ini kerana ia dapat mempengaruhi tahap kesihatan kita juga sebagai pembela. Maka, pemberian vaksin, suntikan antibiotik dan pemberian ubat cacing mengikut jadual yang teratur adalah perkara wajib dilakukan pada haiwan kesayangan anda. Isu makanan, mengikut kemampuan anda.

Bagaimana kita mahu brainwash masyarakat bahawa membela haiwan ini bukan satu minat yang bersahaja, mereka juga bernyawa seperti kita dan berhak untuk hidup bahagia. Mungkin undang-undang di Malaysia tidak seketat di luar Negara seperti United States, setiap pembelaan haiwan memerlukan pendaftaran. Bukan sahaja pembuangan haiwan dikenakan denda malahan jika haiwan kesayangan anda membuang najis di tempat awam juga akan dikenakan denda yang berat. Dulu gembar-gembur mengatakan untuk wujudkan undang-undang sebegini di Malaysia namun ia akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan. Memelihara haiwan eksotik seperti ular, cicak tokek, ayam hutan, tupai terbang (sugar glider) dan sebagainya boleh mendapatkan lesen memelihara di Jabatan Perhilitan Malaysia contohnya di Shah Alam.
Anda juga mampu mengubah hidup mereka yang dijalanan ini. Sepertimana cerita kanak-kanak Cinderella. Adakah anda salah seorang pembela haiwan dari haiwan jalanan? Boleh kongsikan cerita anda pada ruangan komen dibawah.


Rabu, 22 Jun 2016

Susahnya Diet? Tips Untuk Kurangkan Kalori Dengan Mudah

Original post from ZALORA COMMUNITY

Ramadhan sudah masuk fasa ketiga, namun berat badan masih tidak turun. Mana tidaknya, berbuka puasa harian sahaja dengan pelbagai hidangan yang tidak seimbang dengan piramid makanan, apatah lagi jika iftar di hotel secara bufet. Masalah yang  akan dibincangkan pada kali ini adalah masalah yang paling berat dalam hidup wanita iaitu gemuk. Post ini khas untuk rakan-rakan yang masih belum berjaya untuk mencapai target untuk kurus. Gemuk adalah perkataan amat sensitif bagi wanita. Namun sedar tidak sedar musuh utama sebenarnye bagi orang yang gemuk adalah MALAS.

Bergantung pada individu, metabolisma masing-masing berbeza. Ada yang makan banyak pun susah untuk naik berat badan. Apa pula nasib bagi orang yang mempunyai metabolisma rendah? Contohnya ada yang sudah mencuba puluhan produk pelangsing, ratusan senaman dicuba, ribuan diet yang ekstrem dan diet biasa namun semua ini tidak kekal lama kerana apa? Kerana azam tidak kuat dan sikap yang paling susah hendak berubah iaitu PEMALAS. Malas itu diibaratkan sebagai penyakit yang sangat bahaya, sukar dirawat.

Usaha? Selain produk pelangsing, ada juga pernah mencuba diet cara Kevin Zahri dan baru-baru ini diet atkins. Sangat-sangat berkesan kerana boleh hilang 14kg dalam masa sebulan. Namun disebabkan diet yang ketat, banyak pula cabaran perlu ditempuhi. Lagi mencabar jika anda mempunyai kerjaya yang berkait rapat dengan makanan, restoran dan malah juga ‘client entertainer’. Bermula satu dua kali ‘cheat day’ akhirnya hari-hari menjadi cheat day anda.

Love your body. Ya, betul sayangi diri anda. Tapi sehingga sampai satu tahap anda merasakan ketidakselesaan pada diri. Susah untuk bergerak, banyak aktiviti yang terhad membuatkan anda pasti akan stress sendirian. Lagi-lagi kini pasti ramai mencuba baju raya. Pasti anda akan tertekan untuk tampil menarik di hari raya. Apabila tersedar, maka perancangan diet baru akan dibuat tapi sukar bertahan lama dan ‘cycle’ itu akan berulang-ulang kali. Akhirnya penyakit MALAS akan menang juga.

Sehingga kini ramai yang masih mencari ubat untuk penyakit MALAS itu. Tiada siapa yang mampu mengubah melainkan diri sendiri. Banyak kali juga kita bertanya kepada beberapa rakan yang berjaya melepasi fasa penyakit MALAS itu. Sini akan dikongsikan khas untuk anda-anda yang senasib dengan saya dan ramai lagi di luar sana. Mari kita lihat tips untuk elak penyakit malas ini.
      
                 
          1.       Sertai program kurus bersama secara professional
Kini kita lihat ramai yang menawarkan khidmat nasihat personal untuk program kurus bersama, contohnya program Kevin Zahri. Di sini mereka akan bersama berkumpul, beriadah untuk sukan yang sesuai bagi pesakit-pesakit MALAS ini dan mencari inspirasi bersama agar tujuan untuk turun berat badan dapat dicapai. Jika rancangan kurus ini anda lakukan secara berseorangan, peluang untuk gagal lagi seperti sebelum-sebelum ini amat tinggi.                     

          2.       Sertai semula program di GYM
Jika keahlian gym anda sudah tamat, sudah tiba masanya anda lakukan semula aktiviti di gym. Bagi yang bosan untuk menggunakan peralatan sukan sendirian, boleh sertai program senaman yang ditawarkan di gym. Contohnya, Isnin latihan cardio zumba, Selasa yoga dan banyak lagi. Kebanyakan gym juga membuat pertandingan untuk ahli-ahli bersaing untuk dapatkan hadiah lumayan. Ini juga inspirasi yang bagus untuk mengekalkan azam lebih lama.  

           3.       Adobe Photoshop
Jika malas gerakkan badan untuk bersenam, jangan pula sehingga tangan pun malas untuk bergerak. Cuba edit gambar anda dengan potongan badan idaman. Letakkan pada sebelah cermin bilik. Setiap hari memandang cermin pasti sedikit sebanyak boleh buat anda stress dan terus keluar dari bilik dengan azam untuk menjaga diet harian dan bersenam.

           4.       Pakir kereta jauh
Jika anda beri alasan tiada masa untuk bersenam, balik kerja sudah lewat dan penat, anda boleh cuba cara ini. Mungkin sedar tidak sedar target untuk 10,000 langkah sehari akan tercapai. Nampak gayanya anda perlu letak kereta sekurang-kurangnya 5km dari tempat kerja. Fuh!

           5.       Selalu ‘window shopping’ 
Bagi orang seperti saya, memang sukar untuk membeli belah kerana saiz gergasi amat terhad. Maka kamu akan mengelak setiap kali rakan mengajak membeli belah. Maka rajinkanlah diri anda, pergi ‘window shopping’ untuk mencabar penyakit MALAS anda.

           6.       Cari inspirasi
Bagi yang mempunyai kawan yang bekerja di syarikat minyak terkenal di Malaysia,  anda perlu tahu kerjayanya perlu  ulang alik ke pelantar minyak dan kerja di laut ini menawarkan pendapatan yang sangat lumayan dengan syarat perlu menurunkan berat badan yang telah ditetapkan. Maka ini adalah inspirasi yang terkuat untuknya menurunkan berat badan. Cari alasan kuat untuk turunkan berat badan contohnya target untuk kurus sebelum kahwin.

            7.       Fikir positif?
Pandangan masing-masing. Ada baik buruk positif dan negatif ini. Disebabkan penyakit MALAS ini penyakit yang sukar diubati maka latihan mental yang kuat perlu untuk terus bersemangat. Untuk mencapai target kurus perlu juga untuk fikir negatif, iaitu sentiasa  rasa tertekan dengan berat badan anda. Jika asyik positif dengan berat badan anda, penyakit MALAS itu akan menguasai anda. Tidak mengapa, anda boleh terus dalam zon selesa dan teruskan dengan sikap pemalas itu. Tiada siapa marah jika turun naik setiap kilogram lemak di badan anda sendiri. 
          
           8.       Aktiviti sukarela
Bergantung pada individu, jika tahap penyakit MALAS sangat serius anda boleh berdaftar untuk latihan ketenteraan, RELA, JPAM dan sebagainya. Selain dari itu, anda boleh sertai aktiviti sosial seperti melawat rumah orang tua dan anak yatim. Aktiviti ini amat memenatkan namun berbaloi.

           9.       Aplikasi Alarm fitness diary
Kini anda boleh muat turun beberapa aplikasi yang boleh memantau aktiviti harian anda. Dari sini anda akan dapat tahu, jika kalori seharian yang dibakar mencapai target anda atau langsung tiada kalori yang terbakar. Maka dari info aplikasi ini anda boleh muhasabah diri secara automatik setiap hari.


         10.       Viralkan azam anda pada rakan-rakan dan keluarga
Tujuan viral ini adalah sebagai pengukur keberkesanan azam anda atau ia angan-angan semata Jika anda viralkan azam ini, ramai yang akan menunggu keputusan drastik pada penampilan anda. Jika tiada perubahan, maka komen-komen negatif amat diperlukan untuk menembusi pagar penyakit MALAS ini. Biar sakit telinga, sakit hati tapi jangan sakit tubuh badan anda disebabkan penyakit yang memudaratkan akibat obesiti.


JIka anda Google untuk tips kurus, semuanya akan menyatakan tips yang sama. Jarang jumpa tips untuk penyakit MALAS? Walhal penyakit itu menjadi punca semua rancangan untuk kurus gagal. Jika anda terus mencari jalan singkat untuk kurus, selagi itu penyakit MALAS anda akan terus mengusai diri. Anda bagaimana? Adakah anda tergolong dalam kategori berpenyakit MALAS? Boleh kongsikan cerita di ruangan komen di bawah.





Isnin, 13 Jun 2016

Keperluan VS Kehendak


Original article will be on here :)

Jika dibaca sekali lalu keperluan dan kehendak itu seperti sama sahaja namun maksudnya berbeza sama sekali. Pernah atau tidak setiap kali membelanjakan sesuatu perkara, anda membandingkan barangan itu satu keperluan atau kehendak semata-mata? 

Berlainan konsep keperluan dan kehendak mengikut konteks buku ekonomi yang kita pelajari di sekolah dahulu. Post kali ini khas untuk edisi musim perayaan. Pasti raya dan shopping tidak boleh dipisahkan. Keperluan adalah keputusan keperluan asas dengan mengikut plan dan bajet. Semua keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan banyak lagi perkara asas kita perlu ada. 

Kehendak ini pula lebih kepada maksud keinginan tanpa tujuan asal, boleh dikatakan “out of budget plan”.  Keinginan individu untuk menikmati hidup yang lebih selesa.  Kehendak manusia tidak terhad, bersifat pelbagai serta bergantung kepada citarasa individu. Jika anda berjaya waraskan dua perkara ini, anda adalah salah seorang pembeli yang bijak.

Rata-rata jika kita jumpa dengan perkara diidamkan pasti kita sukar membuat keputusan yang rasional. Mampu atau tidak bukan persoalan untuk hal ini. Berbelanja mengikut rasional amat penting untuk mengelakkan pembaziran. Sempena bulan baik, mungkin anda boleh berubah untuk tidak membazir. Tukarkan mind set anda membazir kepada belanja dengan bijak atau kepada tujuan derma terhadap yang lebih memerlukan. 

Bulan puasa merupakan bulan yang paling istimewa kerana waktu inilah terzahirlah segala nafsu sehingga tidak dapat membeza samada barang yang dibeli itu keperluan atau kehendak semata-mata. Banyak perkara yang ketara di musim bulan puasa ini antaranya seperti perkara di bawah.

Pertama yang kita lihat keperluan kita adalah makanan, juadah bulan puasa. Apabila juadah berbuka puasa melebihi keperluan, maka itu adalah kehendak. Nafsu apabila di bazaar Ramadhan anda mungkin berbeza jika dibandingkan dengan rancangan anda sebelum sampai di bazaar bukan? Semuanya anda teringin, juadah itu ini hanya boleh didapati ketika bulan puasa sahaja dan berbagai lagi alasan. Akhirnya juadah itu tidak dapat dihabiskan kerana terlalu kenyang. Mungkin target anda untuk kurus musnah.
Kedua, persiapan raya. Sama ada persiapan diri mahupun untuk perhiasan rumah. Jika setiap tahun semua set persiapan adalah baru, pasti anda sudah mempunyai banyak koleksi persiapan tahun-tahun yang lepas. Baju raya pula bukan hanya sepasang kerana raya sebulan dan termasuk jemputan jamuan hari raya. Mungkin tahun ini anda boleh membuat sedikit kelainan untuk tidak membazir seperti tahun sebelumnya. Selain daripada anda mendermakan pada yang memerlukan, anda juga boleh make-over set lama menjadi seperti yang baru.

Ketiga, juadah untuk raya. Biasanya kita akan membeli kuih raya dan pelbagai lagi kerepek untuk santapan tetamu di hari raya nanti. Maka sudah menjadi kebiasaan untuk kita membeli kuih raya secara pukal atau secara banyak terus. Boleh jadi kuih raya itu sudah habis diratah sebelum tiba waktu raya atau berkulat dan tamat tarikh luput sebelum raya. Jika habis dimakan tidak apa, jika tidak habis sehingga berkulat maka itu adalah pembaziran dan anda gagal membuat keputusan membeli mengikut keperluan.

Pada musim perayaan bajet kewangan anda pasti akan lari sedikit sebanyak dari perancangan, maka penelitian perlu agar mengelakkan kita dari berhutang kemudian hari. Jika kita melihat perbezaan konsep keperluan dan kehendak pasti anda dapat bezakan dan merancang kewangan anda lebih efisyen. Jangan jadikan alasan raya untuk anda tidak rasional dalam membeli belah. 
Kehendak atau keperluan? Anda bagaimana? Anda boleh berkongsi cerita di ruangan komen dibawah. Selamat menjalani ibadah puasa, semoga dipermudahkan urusan dan membeli belah dengan cermat.

Selasa, 17 Mei 2016

TABIAT ‘ISTIMEWA’ PEMANDU WANITA

Kini kita boleh lihat, rata-rata pengguna jalan raya kebanyakannya merupakan pemandu wanita. Pernah anda dengar kemarahan pemandu-pemandu yang memberi stigma yang sama iaitu “pemandu wanita la kalau begini! Lain tak bukan, perempuan yang bawa kereta begini!”. Banyak perbezaan pemandu wanita dan lelaki serta pelbagai ragam di jalanan berpunca daripada pemandu wanita. Adakah kenyataan ini benar atau stigma buruk semata-mata pada kaum wanita bahawa mereka merupakan antara pemandu yang berbahaya atau sebaliknya?  Ini kerana wanita memang kaum yang sangat istimewa. Kita boleh perhatikan beberapa tabiat yang menguatkan lagi penyataan wanita ini adalah pemandu berbahaya.
1.       ‘Zero’ pengetahuan tentang kereta
Saya yakin, tidak ramai wanita yang sentiasa memeriksa kondisi minyak hitam, angin tayar lagi-lagi pada tayar ganti, air dan banyak lagi. Tidak ramai wanita yang reti untuk menukar tayar dengan sendiri. Malah ada yang tidak pernah tahu setiap kereta sedia ada mempunyai peralatan lengkap untuk menukar tayar. 
2.       Posisi kedudukan tempat duduk pemandu
Ramai di antara pemandu wanita yang membuat posisi kedudukan pemandu amat dekat dengan stereng kereta. Bagaikan mereka tidak bersandar dengan selesa. Jarak tempat duduk dan stereng harus dalam keadaan selesa. Makin dekat kedudukan dengan stereng dan cermin kereta memberi impak ‘viewing’yang berbeza, maka ia akan lebih merbahaya kepada pemandu jika berlaku sebarang kecemasan.
3.       Kaki untuk tekan pedal minyak dan pedal break
Ada pemandu termasuk saya, merupakan pemandu yang menggunakan kedua-dua belah kaki menekan pedal minyak dan break (kiri untuk pedal break dan kanan pedal minyak). Menurut tenaga pengajar kelas memandu, memandu dengan cara begitu sangat berbahaya jika berlaku kecemasan, kedua-dua kaki boleh menekan break dan dalam masa yang sama menekan pedal minyak juga. Kemalangan akan lebih serius jika perlakuan seperti itu berlaku.
 4.       Minyak dua bar
Wanita terkenal dengan sikap ‘insecure’. Mereka akan membayangkan kesulitan yang bakal dihadapi  jika kereta kehabisan minyak. Biasanya mereka akan kalut mencari stesen minyak jika lihat minyak pada paras 2 bar. Apabila sudah kalut, pemanduan tidak boleh fokus. Tapi jelas, jarang kita lihat pemandu wanita yang membiarkan tangki minyak sehingga kering.
 5.       ‘Parking’
Ini masalah terbesar. Lagi kalut jika sedang memakir kereta terdapat deretan kereta menunggu ruang laluan. Masa ini wanita akan kelam-kabut dan biasanya membuat banyak kesilapan. Akhirnya, mereka akan keluar dan meminta bantuan untuk memakir kereta. Lawak bukan? tetapi ini realiti.
6.       Tahap Kelajuan
Wanita adalah kaum yang berdisplin. Mereka amat peka pada had kelajuan lagi-lagi jika melihat polis. Paling haru adalah memandu dengan perlahan di laluan laju. Ini akan mendatangkan kemarahan kepada pemandu lain.
 7.       Isyarat ‘signal’
Mungkin wanita mempunyai jutaan perkara yang perlu difikirkan, maka memberi isyarat signal adalah masalah bagi kebanyakan pemandu. Ada juga yang masih keliru signal kiri dan kanan malah ada juga yang masih keliru signal dan wiper.
 8.       Memotong
Memotong atau memintas kenderaan.  Saya pernah menaiki kenderaan rakan saya yang suka dengan kelajuan. Dia cekap membawa kereta dengan laju tetapi setiap kali memintas atau memotong kenderaan dengan jarak terlalu dekat dan tajam. Maka ia akan memberi  impak kepada penumpang ke kiri dan ke kanan. Perlakuan memotong dengan cara begini bukan sahaja memberi kesan pada penumpang malah pada kereta yang dipotong mungkin terkejut dengan tindakan drastik pemandu yang memotong. Keyakinan dan keberanian juga amat penting. Sikap wanita yang teragak-agak untuk membuat keputusan spontan kebanyakan mengundang bahaya semasa memotong.
9.       Memandu dengan kasut tumit tinggi
Wanita dan kasut tidak dapat dipisahkan namun memandu dengan memakai kasut tumit tinggi sangat merbahaya. Memandu dengan tapak yang tebal atau tidak sekata akan membuatkan kita sukar menganggarkan tekanan pada pedal. Tumit yang tinggi akan menghadkan ruangan rehat pada kaki pemandu.
10.       ‘Make-up’,  selfie dan telefon bimbit
Saya sering melihat pemandu wanita memakai alat solek semasa berhenti di lampu isyarat dan menunggu hon dari kereta lain untuk memberi petanda lampu isyarat sudah hijau. Ada juga yang berani membuat perkara sebegitu semasa memandu. Biasanya make up, selfie dan melihat telefon bimbit adalah perkara paling biasa kita dapat perhatikan. Perbuatan tidak fokus sebegini dapat membahayakan nyawa diri sendiri dan orang lain. Sesaat terlepas pandang dari fokus pemanduan boleh mengundang pelbagai musibah sekelip mata

Adakah anda dalam kategori wanita-wanita istimewa seperti di atas? Jika tidak, maka nasihat- menasihati sesama anda dan orang yang tersayang agar menjadi pemandu yang berhemah. Anda boleh berkongsi pengalaman diruangan komen di bawah.