Isnin, 25 Julai 2016

Realiti Cinderella Jalanan - Adakah Anda Pencinta Haiwan?



Ramai di antara kita pencinta haiwan yang menjadikan haiwan seperti anjing, kucing, arnab, tupai, dan banyak lagi sebagai sebahagian dari ahli keluarga baru mereka. Bagi yang tidak tahu, haiwan kesayangan kita ini mempunyai variasi baka yang pelbagai. Sesetengah baka haiwan kesayangan ini mampu mencecah puluhan ribu ringgit. Contoh realiti kini, permintaan pasaran di Malaysia bagi penggemar kucing berbaka cantik ini menjadi buruan yang amat menggalakkan malah wujud cafe-cafe yang mana kita boleh bersantai dengan haiwan perliharaan kita ini.

Contohnya baka kucing Bengal, harganya boleh mencecah puluh ribu kerana ciri fizikalnya yang sangat menarik. Corak ‘marble’ dan tompoknya badannya yang mempengaruhi nilai harga haiwan ini. Namun biasanya yang sering menjadi pilihan penggemar-penggemar kucing adalah dari jenis baka Persian kerana bulunya tebal dan gebu. Adakah jenis baka baik sahaja menjadi pilihan para penggemar haiwan kesayangan? Bagaimana dengan kucing biasa? 
Artikel kali ini saya ingin menekankan berkenaan isu haiwan jalanan. Pernahkah anda makan di gerai dan melihat kehadiran kucing atau anjing berkeliaran yang meminta sedekah makanan pada mereka? Bagi sesetengah pihak, kehadiran haiwan ini mencalarkan imej perniagaan mereka. Maka, haiwan jalanan ini akan menerima nasib malang seperti dihalau, dipukul dan paling teruk diracun mati.

Bagaimana wujudnya haiwan jalanan ini? Ada dua kemungkinan, iaitu yang asalnya haiwan jalanan yang membiak dan keduanya ialah haiwan itu dibuang. Sikap pembela haiwan yang tidak bertanggungjawab sanggup membuang haiwan belaan mereka ini di merata tempat yang menyebabkan isu ini semakin sadis. Paling haru melepaskan haiwan kesayangan seperti ular sawa di tempat urban seperti bandar-bandar yang mana tempat tidak sesuai bagi haiwan sebegini. Logiklah kita sering mendengar kes ular sawa di kawasan bandar, walhal ular habitatnya bukan di kawasan yang membuatkan mereka berasa terancam. Salah siapa?
Puncanya membela haiwan yang banyak tetapi tidak merancang untuk menerima penambahan ahli baru, tidak dikasikan (pemandulan) dari awal. Akhirnya generasi yang tidak dirancang itu dibuang. Ada juga haiwan kesayangan yang berbaka cantik ini terlalu ‘high maintenance’ dari segi pemakanan, perubatan dan kelengkapan haiwan kesayangan ini membuatkan pembela-pembela haiwan mengalah separuh jalan dek kerana pembelanjaan melebihi had kemampuan. Jika membela haiwan seperti ular pula, mungkin saiznya sudah membesar lebih dari saiz sangkarnya. Si pembela mungkin sukar mengawal aktiviti haiwan sebegini. Jika pembela haiwan ini melepaskan haiwan sebegini di kawasan perumahan, hal ini mungkin membahayakan orang ramai.

Jika tidak mampu, mengapa memilih jalan sukar? Jika anda tiada pilihan mungkin anda patut mencari pihak yang rela untuk mengambil tanggungjawab anda. Jika isu seperti haiwan belaan seperti ular, anda boleh menghubungi pihak perhilitan atau pihak zoo. Membuang haiwan ini di tempat awam adalah perbuatan yang tidak wajar dan amat kejam. Haiwan belaan itu mungkin sudah biasa makan dan berlindung pada kelengkapan disediakan sebelum ini. Apabila mereka dilepaskan secara tiba-tiba, terpaksa mengadaptasi keadaan baru serta-merta mungkin mereka akan mengalami kesukaran untuk mendapat makanan, berasa amat terancam pada haiwan liar yang lain dan kemungkinan akan sakit atau tidak berjaya 'survive'. Kita perlu beringat, mereka juga mempunyai perasaan rindu pada tuan mereka.

Haiwan-haiwan yang tidak bersalah ini menerima nasib malang disebabkan kecuaian sikap dari manusia sendiri. Pada mereka penggemar haiwan yang sanggup mengambil mereka yang malang ini sebagai ahli keluarga baru adalah salah satu usaha yang murni, yang jarang dilakukan pada kebiasaan. Ikut pada pendapat masing-masing, bagi orang yang sederhana seperti saya yang tidak mampu untuk membeli haiwan yang berbaka hebat, tidak mengapa. Haiwan jalanan ini mungkin pilihan yang terbaik. Jangan pernah memandang rendah terhadap haiwan jalanan ini. Mereka boleh menjadi haiwan kesayangan yang hebat serta sangat sihat. Sama seperti cerita Cinderella, anda juga mampu mengubah cerita hidup haiwan jalanan ini menjadi haiwan yang istimewa dimata masyarakat. Dengan berkat kasih sayang mereka juga boleh membesar dengan sihat dan gebu mengalahkan haiwan berbaka mahal di pasaran.
Isu ‘maintenance’ ini sebenarnya tidak menjadi masalah. Namun, terdapat beberapa penjagaan wajib perlu pada setiap haiwan kesayangan. Ini kerana ia dapat mempengaruhi tahap kesihatan kita juga sebagai pembela. Maka, pemberian vaksin, suntikan antibiotik dan pemberian ubat cacing mengikut jadual yang teratur adalah perkara wajib dilakukan pada haiwan kesayangan anda. Isu makanan, mengikut kemampuan anda.

Bagaimana kita mahu brainwash masyarakat bahawa membela haiwan ini bukan satu minat yang bersahaja, mereka juga bernyawa seperti kita dan berhak untuk hidup bahagia. Mungkin undang-undang di Malaysia tidak seketat di luar Negara seperti United States, setiap pembelaan haiwan memerlukan pendaftaran. Bukan sahaja pembuangan haiwan dikenakan denda malahan jika haiwan kesayangan anda membuang najis di tempat awam juga akan dikenakan denda yang berat. Dulu gembar-gembur mengatakan untuk wujudkan undang-undang sebegini di Malaysia namun ia akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan. Memelihara haiwan eksotik seperti ular, cicak tokek, ayam hutan, tupai terbang (sugar glider) dan sebagainya boleh mendapatkan lesen memelihara di Jabatan Perhilitan Malaysia contohnya di Shah Alam.
Anda juga mampu mengubah hidup mereka yang dijalanan ini. Sepertimana cerita kanak-kanak Cinderella. Adakah anda salah seorang pembela haiwan dari haiwan jalanan? Boleh kongsikan cerita anda pada ruangan komen dibawah.