Selasa, 25 Februari 2014

POSITIF. USAHA UNTUK BAHAGIA! HWAITING!!

Sejak bila aku jadi pakar motivasi uolls???? Kekdah sangat aku nak buat ceramah macam Dr Fazley sambil buat coklat kek sambil tu rakam buat album???

Umur pun 26 tahun, makin tua makin hebat dugaan Allah uji. Sebab tu seseorang itu bila tiada agama, bunuh diri je la jawabnya. Senang sangat kot. Tu pentingnya agama bagi seseorang, jatuh naik kita perlu ingat Maha Pencipta kan. Biasenya masa tengah jatuh la baru nak ingat Allah SWT (aku terasa tu). Bila pikir-pikir, rupanya Allah rindu nak kita mengadu pada Dia. See kau larilah, kau banggalah, kau gembira la...akhirnya ke tanah juga kita sujud. Bisikan hati juga penuh dengan segala aduan pada Allah....
ya Allah....gembiranya aku...ya Allah sedihnya aku....ya Allahh.....dan segalanya. Kita bebetul perasan yang sebenarnya kite asik sebut nama Allah. Biarlah aduan itu betul-betul tanda ingatan kita pada Dia.

Aku bersyukur, walau macam mana hebat Allah uji aku, aku masih ada family dan kawan yang sangat bagus dan positif. Kalau dulu, aku lari dari masalah ......lari sana sini....bila tenang baru balik jumpe kawan dan balik rumah. Tapi kini aku lebih suka berjumpa kawan-kawan aku yang positif. Jelas, nyata perancangan Allah adalah terbaik untuk diri aku dan kawan-kawan aku,

Tak kisah la...masalah famili, kawan atau cinta

Bak kata salah seorang kawan aku, 
"Semua berlaku ada hikmah, Allah pertemukan aku dengan kau untuk kau luahkan masalah, dan aku sebagai saksi kejadian akan menjadikan dugaan kau sebagai teladan untuk aku. Allah pilih kau untuk diuji, kenapa bukan aku? Sebab Allah tak akan uji hambaNya jika hambaNya tidak mampu"

 Sebab itu kita kene bersangka baik dengan segala perancangan Allah. Sebab semuanya untuk kebaikkan kita. 

"Boleh jadi sesuatu yang baik bagi aku tetapi sebenarnya ia bukan terbaik untuk aku dan sebaliknya" ayat al Quran, surah al baqarah ayat 136 tak silap aku. (Ayat tu tak lengkap dan aku ringkaskan) 

Pegang ayat tu jika sesuatu yang korang tak suka berlaku dalam hidup korang. Contohnya, lelaki yang ko cinta tu tinggalkan ko....syukur sebab Allah dah selamatkan ko kene tinggal selepas berkahwin nanti! Lagi teruk. See! 

Setiap saat, perancangan Allah tak pernah lewat atau tercepat!

Apa yang aku sedar sekarang? Walaupun tahap kematangan aku lambat, berbanding wanita diluar sana. Tapi Allah sentiasa beri peluang untuk aku sedar. Aku sedar dan aku baru nampak semua hikmah apa yang berlaku pada aku sebelum ni. 

Alhamdulillah, untuk masalah hubungan aku sesama manusia aku ingat aku kene sihir ke....sebab aku dah beberapa tahun dihantui oleh orang yang sama sehingga aku tak dapat nak move on. Banyak lagi kejadian pelik berlaku tapi sekarang jelas, itu bukan sihir. Jika kita cari cinta Allah swt dan Rasul saw, Allah akan beri kita hadiah. Mungkin hadiah untuk aku sekarang, aku dapat nampak jelas yang aku bukan disihir. Aku hanya tutup mata hati dengan tanggapan NEGATIF.

Bersangka baiklah pada Allah SWT. Keep positif thinking and Allah will give u rewards.

"Allah tak suruh kita selesaikan masalah, tetapi dalam al Quran Allah suruh kita sabar dan berdoa"

 Begitu juga dengan cinta sesama manusia. Aku nak terang lebih-lebih aku masih mencari......maka aku baca artikel dari iluvislam!

Ini artikel dari iluvislam....layan
***********************************************
Berjalanlah dan usah sesekali berhenti kerana anggapan manusia itu tidak mampu mengubah cinta Allah kepada kita. Dan sesungguhnya hal tepatnya jodoh itu adalah kerana keindahan waktu dan sedianya kita.
“Tanda cinta itu ialah berterusan rajin dan bersungguh-sungguh dengan kerinduan.” -Junaid Al-Baghdadi
Tuhan itu menjaga apa yang kita berusaha untuk menjaganya. Dan Dia temukan dengan mereka yang sentiasa yakin dan bersangka baik dengannya. Tentunya yang terpelihara itu terindah. Tentunya juga yang biasa itu terindah. Mungkin lebih terindah saat taubatnya memekar, tika setiap saatnya bernyawa. Tuhan yang menerima keindahan jiwa yang ingin memperbaiki diri. Tuhan yang sentiasa senyum pada kalimah cinta yang melebihkan-Nya berbanding dunia semata.
Agungnya cinta yang bernawaitukan Penguasa Cinta. Pemilik haqiqi manusia yang ingin dilamunkan cinta. Kerna waham yang jelas bisa merungkaikan kefasikan cinta. Bahwa cinta itu kan melenyap bersama lenyapnya sebab untuk bercinta. Qayyim yang bijaksana telah berkata. Dan itulah realiti cinta.
Berusahalah selagi termampu. Dan lupuskanlah segala cerita yang singgah dalam hidupmu. Kerna cinta kurniaan Allah itu menyentuhnya lebih terasa. Andai kenangan itu mekar hanya sebagai duri yang berada dalam jalanmu menuju ke Sana. Yang menjaga itu sungguh kuat. Yang menjaga itu seorang mukmin. Bukan lagi seorang muslim. Yang tenggelam timbulnya akhirnya bersifat sama terhadap ikhtilat sekeliling yang menyapa.
Dan malam itu larut dengan penuh damai. Maka nokhtah terukir. Tanda cinta agung memeluk erat jiwa hamba. Yang setia menanti cinta yang terpelihara. Sulitnya menjaga. Enaknya memendam air mata.
“Bahawasanya Aku apabila Aku lihat pada hati hambaKu, lantas Aku tidak mendapatkan dalam hatinya cinta pada dunia dan cinta pada akhirat, nescaya Aku penuhkan hatinya itu dari ‘cintaKu’ (padanya).” - Israiliyat, Allah kepada Isa a.s.
************************************************
Perasaan itu Allah yang beri, mungkin aku paranoid. Aku takut aku frust lagi, aku takut kecewa yang sampai hilang pertimbangan. Tapi bak kata kawan aku, sebab tu jangan cintakan manusia lebih dari cinta aku pada Allah dan Rasul. Jika itu yang aku amal, in sha Allah aku tak akan sedih yang menjurus sehingga hilang pertimbangan. Prepare for future, mungkin aku akan menangis nanti tapi tak mati lah aku menangis. Tapi positif!!! ini mungkin hadiah dari Allah untuk aku lebih cintakan Dia. Ini proses kematangan. 
Maka, aku tekad aku mahu berusaha. Usaha semampu boleh dan usaha doa. Maka kesimpulan aku boleh buat 50-50 usaha dari diri aku dan doa kepada Allah. Apa kata aku just enjoy peluang hidup sementara Allah beri ni kan.
Aku tulis post ni bukan nak bagitau satu dunia yang aku dah move on ke hape....tak salah kalau niat aku nak sampaikan masej positif. Aku nak kawan-kawan yang lain same-same positif. Kalau aku sudah beberapa tahun dalam kegelapan, mengenang nasib kecewa sehingga cuba banyak dosa-dosa, alhamdulillah dengan izinNya aku keluar dari dunia gelap. Alhamdulillah kalau dulu aku rasa disihir, mimpi sehingga bersambung-sambung. Alhamdulillah kini aku tidak lagi bermimpi perihal yang sama bersambung-sambung. Tak tahu nak ungkapkan dengan kata-kata betapa terdesaknya aku dulu sehingga merata aku mencari ustaz dan ubat. Tak cukup dengan kata semangat famili dan kawan-kawan. Akhirnya aku berjaya bebas. Aku tak tahu bila dan mungkin masa depan Allah akan uji aku semula dengan perihal lalu. Aku tak tahu. Yang penting aku positif, semua terjadi adalah terbaik untuk aku!
Ok!!! korang pun boleh POSITIF!!!!!!!!! 
Wowoowow macam tak caye Nadey bagi ceramah....mcm harom

Khamis, 20 Februari 2014

PANGLIMA HITAM - Part 5



Imbas kejadian puluhan tahun dahulu............................

Panglima Hitam merupakan mahkluk Allah SWT yang sangat hebat kalau dibandingkan dengan picisan sesama spesisnya. Bila diri sememangnya diciptakan dari api dan angin, sudah berjanji dengan Allah SWT yang mereka tidak akan menunduk pada Nabi Adam a.s dan keturunannya, mereka tekad bercita-cita untuk mengheret keturunan Nabi Adam a.s bersama mereka ke neraka jahanam. 

Misi perlu diteruskan tetapi terbatas, Allah SWT telah menutup hijab anak cucu Nabi Adam a.s dari melihat spesis mereka, maka mereka memerlukan jasad manusia ini untuk meneruskan legasi agar lebih berjaya menyesatkan manusia sehinggalah ke hari kiamat! Mengapa tubuh manusia? Manusia sebagai medium mereka untuk mengaburi, menyesatkan dari pegangan yang sepatutnya percaya bahawa Allah itu satu tapi dengan melihat perkara magis dan ghaib ini mampu memenuhi nafsu serakah manusia yang tak pernah kenal erti kepuasan dan syukur maka mereka memuja makhluk lain sebagai Tuhan..bukan lagi Maha Pencipta, Allah SWT. 

Panglima Hitam yang gagah ini telah menggunakan Pawang Hadi sebagai penglunas legasinya. Pawang Hadi merupakan pawang terkenal di Malaysia. Kehebatan beliau dicanang sehingga tetamu terhormat Putera Arab Saudi sanggup datang ke Malaysia untuk berjumpa. Pada awalnya Pawang Hadi terkenal dengan merawat pelbagai penyakit sihir kini dia pula yang memberi perkhidmatan menyihir sesama umat. Siapa sangka, hebatnya itu dari Panglima Hitam. Bila sifat tamak mengaburi diri, harta Pawang Hadi yang melimpah ruah dirasakan tak pernah cukup. Kalau dulu rumah papannya selalu dikunjungi orang untuk berubat sehingga rosak tangga kayunya tetapi kini diganti dengan sebuah banglo 5 tingkat, 10 buah bilik,  berkolam mandi yang sentiasa penuh dengan pelacur, halaman rumah penuh dengan patung berhala bersadur emas. Waktu itu dia tidak lagi memberi perkhidmatan mengubat. Semua permintaan ditolak kecuali dibayar dengan lumayan.

Sehingga suatu hari Pawang Hadi turun ke Bentong untuk merasmikan satu majlis keramaian. Tiba-tiba langkahnya berhenti melihat Penghulu Kampung Benus, Haji Daud. Kakinya kebas, kaku tak mampu melangkah. 

"Siapa lelaki hebat ini sehingga Panglima Hitam amat gerun melihatnya", getus hati Pawang Hadi. Tenang Haji Daud melihat Pawang Hadi dengan senyuman. Sehinggalah Haji Daud menghulur tangan untuk berjabat. Barulah kakinya yang kebas itu longlai untuk bergerak. Hebat sungguh Haji Daud sehingga Panglima Hitam mengigil ketakutan. Pawang Hadi sedar, pandangan Haji Daud semacam, rasanya melihat dari reaksi Haji Daud sedar akan kewujudan Panglima Hitam yang sentiasa bersamanya. 

"Aku akan pastikan tiada orang yang lebih hebat dari aku....bersediakah kau wahai Panglima Hitam untuk menguji kehebatan Haji Daud? Ilmu apa yang di pakai sehingga aku tidak dapat langsung merasa kehadiran makhluk pendampingnya", dialog ghaib ini antara Pawang Hadi dan Panglima Hitam.

Suatu hari yang dirancang, Panglima Hitam dihantar kerumah Haji Daud. Mudah........amat mudah dia menembusi rumah Haji Daud seolah tiada satu makhluk atau pendamping yang menghalangnya. Sehingga dia melihat sekujur tubuh baring di atas pondok buluh yang tidak berdinding di hadapan halaman rumahnya. Sekeliling penuh dengan tanaman pucuk ulam dan terdapat beberapa reban. Ternyata satu perasaan amat damai dan tenang setelah memasuki kawasan perumahan Haji Daud. Lama Panglima Hitam memerhati kujuran badan Haji Daud yang semakin dimamah usia. Perlahan terasa satu perasaan halus yang amat luar biasa, iaitu ketenangan meresap sanubari Panglima Hitam. 

Mata Haji Daud terbuka, tetapi dia tidak terkejut melihat Panglima Hitam yang gagah dihadapannya. Tersenyum tenang, lalu dia menyapa.

"Wahai Panglima Hitam, apa hajat kau datang kerumahku?". Panglima Hitam yang asalnya datang untuk menguji ilmu Haji Daud tetapi kini dia kaku, diam membisu. Hilang kata, hilang niat asalanya, semuanya hilang. 

"Kau jin Islam kah? Rasanya jika kau datang untuk beradu tenaga, batalkan saja niat itu kerana aku sudah tua, tidak sehebat dahulu. Baliklah di pangkuan Pawang Hadi. Sampaikan salam aku", tenang wajah Haji Daud. 

"Penipu, kau masih kuat, masakan aku menggigil melihat kau. Ilmu apakah yang kau pelajari? Siapa pendamping kau?", perlahan tuturan Panglima Hitam yang selama ini bengis. Dia mengekalkan jaraknya dengan Haji Daud dikhuatiri orang tua itu akan menyerangnya secara mengejut. 

"Dengan nama Allah SWT Maha Pencipta, Maha Kuat dan Maha Segalanya. Aku hanya lelaki tua yang biasa tiada pendamping dan tiada ilmu luar biasa", jelas kejujuran Haji Daud menerangkan kekusutan Panglima Hitam.

Dengan hormat, perlahan Panglima berundur dan pulang menemui Pawang Hadi. 

Setelah memberi report pada Pawang Hadi, habis menggila dia mengamuk. "Tak mungkin dia tiada pendamping? Apa yang membuatkan dia mempunyai aura yang sangat kuat sehingga kaki aku kaku melihat dia??? Sehingga kau menggigil??????? Tak masuk akal. Aku mahu kau perhatikan dia. Kau tahu apa kau perlu buat! Pergi!!!!!!!!!!!", Panglima Hitam menuruti. Sepantas kilat dia menghilang.

Setelah beberapa bulan, Panglima Hitam memerhati aktiviti Haji Daud. Apa saja yang dia lakukan, siang hari dia bercucuk tanam, malam pula dia mengajar anak-anak muda bersilat. Tengah malam dipenuhi masa dengan solat tahajud dan qiamulai. Tiada sebarang petanda yang dia mempunyai pendamping. 

Suatu hari Haji Daud menyapa Panglima Hitam untuk bersilat bersamanya. Sambil itu isternya ditepi membaca al Quran dengan merdunya. Sehingga Panglima Hitam hanyut dalam langkah-langkah silatnya. Hatinya telah berat untuk Haji Daud. Ternyata Haji Daud seorang lelaki hebat yang berjaya melembutkan hatinya yang keras seperti batu. Tidak lama kemudian, Panglima Hitam telah memeluk Islam dengan bersaksikan AlQuran dan Allah SWT. Sejak dari hari itu, dia tidak lagi menjenguk Pawang Hadi. 

Pawang Hadi amat berang, oleh kerana perjanjian antara mereka masih terikat, Pawang Hadi menyeru sehingga menyakitkan Panglima Hitam. Haji Daud tidak dapat berdiam diri lagi, dia pergi berjumpa Pawang Hadi dan pertempuran kecil berlaku. Ternyata Haji Daud memang orang yang handal walaupun sudah tua, sekelip mata Pawang Hadi mengerang kesakitan sebelum sempat dia membuka langkah untuk membalas serangan. Peluang diambil ketika Pawang Hadi dalam kesakitan disiksa. Perjanjian telah termeterai, Panglima Hitam bebas. 

Haji Daud tahu, Pawang Hadi akan membalas dendam kepadanya tetapi itu bukan alasan untuk dia membunuh. Dilepaskan Pawang Hadi, orang kampung yang mana saksi kejadian telah berkumpul dan menghalau dengan sehina-hinanya Pawang Hadi agar keluar dari Jerantut.

"Kini kau sudah bebas, pergilah kau, jangan abdi atau menggunakan manusia untuk perkara sia-sia lagi", Haji Daud mengingatkan Panglima Hitam.

"Tidak......aku ingin mengikut kau. Aku berjanji akan menjaga keturunan kau sehingga kiamat!", tekad janji Panglima Hitam.

Beberapa tahun kemudian, Haji Daud jatuh sakit, Panglima Hitam amat takut kehilangan hamba Allah yang amat disayangi dan disanjung tinggi ini. Ketika Haji Daud sakit, anak-anaknya telah beberapa kali melihat Haji Daud bercakap dengan seseorang. Disitu timbul spekulasi kononnya Haji Daud mempunyai hantu raya belaanya. Dan apabila salah seorang anaknya, Khairudin dipanggil untuk proses penyerahan harta pusaka, adik-beradiknya menyangka bahawa hantu raya akan berpindah tuan. Dalam ramai-ramai anaknya, Khairudin sahaja boleh melihat Panglima Hitam. Disebabkan itu, Haji Daud memperkenalkan Panglima Hitam kepadanya. 

Malangnya, adik bongsu Khairudin yang taksud dengan ilmu hitam telah membuat pelbagai fitnah. Sulaiman merupakan pengikut ajaran Pawang Hadi dahulu. Ketaksuban dia sehingga mempunyai pengikutnya sendiri. Dia telah menyeru mantera dari Pawang Hadi untuk memuja Panglima Hitam. Sekali lagi Panglima Hitam terikat dengan perjanjian anak bongsu Haji Daud. Dilema, ini kerana Panglima Hitam telah berjanji akan menjaga keturunan Haji Daud. Jika dia menolak, dikhuatiri akan dicop sebagai melanggar janji. Walhal, dia tahu Haji Daud tidak pernah setuju dia menjadikan dirinya sendiri sebagai pendamping kepada sesiapa. Tetapi dia menerima dengan niat untuk mengembalikan Sulaiman ke pangkal jalan. Hal perjanjian antara anak bongsu Haji Daud tidak diketahui orang mahupun adik-beradiknya sendiri. Haji Daud menghembuskan nafasnya beberapa bulan selepas kelahiran puteri sulung Khairudin, Nadirah. 

Timbul spekulasi, setelah doktor mengatakan bayi yang dikandung sepatutnya lelaki. Semasa kelahiran, bayi perempuan pula yang keluar dan bayi lelaki yang tidak cukup sifat itu meninggal dunia dalam kandungan ibu. Mereka heboh mengatakan hantu raya yang telah mengambil nyawa jasad bayi lelaki itu. Ada juga mengatakan, bayi itu mati akibat dari balasan penolakan Khairudin untuk menerima hantu raya bapanya. 

Rahsia sebenar tiada siapa pun tahu selain Khairudin. Kini dia sudah menghadap ilahi oleh trajedi tembakan oleh orang yang dipercayai Gekko. Siapa lagi yang tahu perkara sebenar??? Panglima HItam??

Bersambung..........

PANGLIMA HITAM - Part 6

Isnin, 10 Februari 2014

PANGLIMA HITAM - Part 4


Aku hanya mengikut jejak Panglima Hitam. Dari pekan masuk ke ladang, makin dalam....makin jauh. Hati aku semakin risau, jalan ladang ini kelihatan sama, bagaimana aku nak keluar dari ladang jika terjadi apa-apa? Lincah Panglima Hitam bergerak, aku semakin putus nafas mengekorinya. Sakit senggugut aku belum kebah, tetapi kurang berbanding semalam. Aku berusaha berjalan dan berjalan sehingga habis hujung ladang, disitu terdapat sebuah busut yang sangat tinggi. Panglima Hitam mengangkat aku naik ke atas pokok dan kami memerhatikan busut itu dari atas. Sejurus itu dia mengeluarkan asap dari mulutnya dan dihembus pada badanku. Katanya untuk menutup hijab semua makhluk ghaib ini daripada melihat aku.

Tidak lama kemudian tiba-tiba aku terkejut melihat ular sawa yang amat besar keluar dari busut itu. Ular itu perlahan menyusur keluar dengan berhati-hati memandang kiri dan kanan. Kami hanya berdiam sehingga ular itu lesap dari pandangan. Panglima membawa aku turun, dan dia terus memasuki ke dalam busut. Aku makin teragak-agak untuk masuk, ia seakan-akan aku sengaja masuk ke lubang maut. Tetapi dengan pantas pula aku ditarik masuk oleh Panglima Hitam.......aku hanya mampu menutup mata ketakutan. Tawakal apa yang akan terjadi. 

Laju kami bergerak, berdesup melayang diawangan. Sesekali kakiku terasa memijak lumpur didaratan. Akhirnya aku tercampak ke tanah yang berlumpur. Gelap. Perlahan aku membuka mata sebaik sahaja telinga aku dapat menangkap bunyi mendayu-dayu seperti seorang perempuan yang sedang menyanyi. Halus dan menyeramkan. Tutur bahasa yang dinyanyikan seakan bahasa Jawa. Seperti mantera yang aku baca! Aku mencari Panglima Hitam yang lesap, panggilan aku tak bersahut. Semakin aku berjalan, bunyi suara perempuan itu semakin kuat. Keadaan yang gelap itu membuat aku semakin cemas. Dalam kegelapan itu juga aku berlari bagaikan orang buta. Setelah beberapa langkah, aku tersungkur dan muka tersembam ke tanah. Senak dada, "Ya Allah selamatkanlah aku dari sini", aku merayu dan berharap aku dapat keluar dari sini. Aku kuatkan semangat dan bangun berlari tanpa tujuan dalam kegelapan. 

"Faizal..............................", aku hanya mengharapkan Faizal untuk selamatkan aku.

Tiba-tiba tempat yang gelap itu perlahan-lahan menjadi terang. 

"Allah......?", terkejut aku melihat bertaburan tengkorak dan mayat disekeliling kami. Mayat bertimbun dan ada mayat yang tergantung kaki ke atas dibakar perlahan-lahan. Ditadahnya mangkuk untuk titisan darah. Beberapa mayat tidak sempurna dikorek organ dalamannya dan ada juga yang diperlakukan hidup-hidup, nyawa-nyawa ikan. Tempat ini bagaikan sebuah gua ghaib di alam lain, masakan tiada siapa tahu beratus mayat berlonggok disini! Suara perempuan  itu semakin menghampiri aku, akhirnya kelihatan jasad seorang perempuan cantik berbaju putih. Kakinya tak jejak tanah langsung. Kini dia berada betul-betul rapat di hadapan aku. Terkumat-kamit mulutnya membaca sesuatu. Tidak semena-mena badankku bergerak sendiri, tak terkawal. Perlahan badanku terapung menjauhi tanah dan mulutku bertutur bahasa Jawa seperti membaca ayat untuk menyeru roh-roh. Angin kencang bertiup kencang...........

Tiba-tiba Panglima Hitam muncul dan menarik aku ke bawah. Dia mengikat kaki aku dengan akar-akar pokok. Perempuan cantik tadi terus bertukar wajah dan bengis. Akhirnya syaitan berubah pada wajah asalnya. Beberapa kali Panglima Hitam menghempas badan mahkluk itu ke tanah. Menggelupur badannya seperti disalai. Kini aku boleh bergerak dan mengawal sendiri pergerakkan badanku. Aku cuba bangun nak melarikan diri tapi Panglima Hitam terus masuk merasuk ke badanku. Panglima Hitam sengaja menjadikan aku umpan dan untuk menarik perhatian dan menghapuskan mahkluk itu.

"Kau bodoh, kau nak bunuh saudara kau demi cucu Adam yang sial ini?????????", jerit mahkluk itu. Meremang bila mendengar suaranya seperti petir berdentum di langit.

"Cukuplah dengan dosa yang kau buat, jangan pukau orang lain untuk menyambung dosa kau!!!", jerit aku yang kini dikuasi oleh Panglima Hitam sambil melibas sesuatu ke badan mahkluk tanpa henti. baru kini aku faham, kesemua pembunuh telah dihipnosis untuk melakukan pembunuhan untuk tujuan mahkluk ini untuk tingkatkan kuasanya. Tapi hakikatnya memang dasar iblis, syaitan dan jin untuk menyesatkan manusia supaya bersama mengikut mereka ke neraka.

Pelik, kenapa serangan mahkluk itu langsung tidak berkesan pada Panglima Hitam? Apakah tinggi benar ilmu Panglima Hitam. Terasa badan aku sangat bertenaga, ringan dan lincah! Tapi semuanya dikawal oleh Panglima Hitam.

"Aku guna badan kau kerana mahkluk keji ini akan terkoyak kulitnya jika disentuh kau. Jari manusia sebenarnya bagaikan pedang yang tajam yang mampu menghiris badannya", bisik Panglima Hitam pada aku. Aku hanya merelakannya. Asalkan mahkluk yang aku buru dengan gelaran Gekko selama ini terhapus!

Licah aku bergerak kesana- sini, mengejar untuk menyentuh mahkluk itu. Ilmu dia tidak kurang handal juga, semua serangan ditepis dengan jayanya. Tiba-tiba mahkluk tu meludah bisanya, terkena pada tangan kananku. Pedih, perit sakitnya menular sehingga ke hati . Mahkluk itu kelihatan gembira setelah meludah bisanya, sekali lagi dia menoleh dan sekelip mata Panglima Hitam mencantas kepalanya dengan jari telunjukku.

Menggelupur mahkluk itu, kepala yang terpisah dari badan itu masih bergerak-gerak mencari badan untuk bercantum semula. Perlahan aku bergerak menghampiri kepala dan mulutku dikawal Panglima Hitam. Akhirnya Panglima Hitam membungkus kepala itu. Badannya dibakar tidak hangus sepenuhnya terus dicampak di dalam sungai.

Perlahan, terasa Panglima Hitam keluar dari badan aku, terus longlai badanku. Tangan kanan aku biru daging mereput berbisa mengeluarkan bau yang sangat busuk.

"Jangan risau, bisa sihirnya tak akan berkesan jika aku hapuskan kepalanya. Sekarang aku dah tumpaskan Gekko, aku nak tuntut janji........Faizal", desak Panglima Hitam. Dia sengaja tidak menghapuskan kepala itu untuk mengugut aku. Ya Allah........apa yang akan berlaku pada Faizal. Ligat kepala aku memikirkan jalan untuk mengelat Panglima Hitam. Ya Allah kini aku menyesal. Jika terjadi sesuatu pada Faizal aku akan menyesal seumur hidup.

"Aku merayu pada kau, tolonglah ambil aku sebagai pengganti. Kau jangan sentuh Faizal. Aku merayu. Tolong ......tolong bawa aku pulang berjumpa Faizal, aku terasa seperti mahu mati!!!! Ya Allahhhh", bisa telah menular, tangan aku telah bertukar warna menjadi hitam. Sakitnya bukan kepalang, aku hanya dapat mengerang kesakitan dan menangis. Terasa bisa mula menular ke tempat lain pula. Ya Allah azabnya.....................

Sekelip mata aku sudah berada di van Faizal. Panglima Hitam hanya membiarkan aku ditepi bersandar pada tayar van. Van digoncang, tidak lama kemudian Faizal keluar dari van.

"Ya Allahhhhhh, apa dah jadi Ira??????????????", Faizal membuka pintu van seluas-luasnya. Perlahan dia mengangkat aku ke atas.

"Faizal.......maafkan saya. Saya dah janji perkara bodoh pada Panglima Hitam....saya sayang awak....maafkan saya", sekarang bisa sudah mula menular ke muka, mungkin ajalku sudah tiba. Maafkan aku Faizal............

Gelap!

***************************************************************

Aku tersedar, terlantar di atas katil......putih semuanya putih. Adakah aku sudah mati? Aku cuba bangun tetapi aku terjatuh rebah ke lantai. Tangan aku terasa amat sakit, berdenyut. Perlahan aku mengesot ke arah katil untuk bangun. Akhirnya pintu bilik dikuak.

"Faizal!!!!!!!!!!!!!!", jerit aku terus bergerak ke arah Faizal. Pantas Faizal menyambut dan mengangkat aku. Mati-mati aku ingat aku akan kehilangan Faizal. Jujuran air mata dikesat Faizal.

"Jangan risau, awak selamat ni....saya ada ni kan", aku menangis semahu-mahunya, tidak peduli.... aku memeluk Faizal erat. Kini aku sedar, yang aku sangat menyayangi Faizal.

"Panglima Hitam????", tiba-tiba aku teringat pada Panglima Hitam. Terkejut aku bila aku melihat Panglima Hitam berada bersebelahan Faizal. Dia hanya tersenyum.

"Siapa Panglima Hitam???", soal Faizal. Aku semakin pelik. Adakah aku 'tuan' pada Panglima Hitam sekarang? Syukur, biarlah ianya terjadi pada aku bukannya Faizal.

"Kami menjumpai badan tanpa kepala di sungai hujung kampung. Dan awak, awak pengsan dengan bungkusan kepala Gekko di tepi van. Saya takut apa-apa terjadi, saya ambil kepala Gekko dan satukan sekali dengan badan yang kami jumpa itu supaya kes ini tiada kaitan dengan awak. Awak pula pengsan dengan luka di tangan. Tapi doktor kata dia hanya luka biasa. In sha Allah, tiada yang serius. Cuma parut.....", aku bukan risaukan parut aku wahai Faizal.

"Apa dah berlaku sebenarnya", mata aku tertacap pada Panglima Hitam.

"Saya yang patut tanya awak, kemana awak menghilang pagi tu? Tiba-tiba awak pengsan dengan darah penuh baju dan bungkusan kepala Gekko yang terbakar ngeri. Awak ke yang bunuh Gekko??? Kenapa awak buat kerja gila ni sorang-sorang? Kita patut bersama....kenapalah awak degil sangat??", Faizal masih runsing.

Tiba-tiba Panglima Hitam bersuara. Aku menjeling pada Faizal yang sedang membebel. Fokusku hanya pada Panglima Hitam. Hanya aku sahaja dapat melihat dan mendengar.

"Nampaknya, sampai kesudah aku terikat dengan anak cucu Haji Daud. Macam ni lah, aku tahu kau tak mahu hidup menjadi tuan aku. Kau boleh lepaskan aku dengan beberapa cara....", Panglima Hitam terus menghilang. Pantang betul aku orang tak beri menghabiskan ayat.

Pernah ibu saudaraku bercerita, " Allayarham haki ada membela Panglima Hitam untuk menjaga  keluarga kita. Sebelum Haki Daud meninggal dia telah mewariskan Panglima Hitam pada ayah kamu tetapi dia tidak ingin mewarisinya. Oleh sebab itu, ayah kamu tiada pendinding, peluru boleh menembusi dagingnya apabila ditembak dulu. Jika sebelum ini, Haki Daud hidup, sebiji batu pun tidak mampu mencederakan keluarga kita".

Bila dia tidak ber'tuan' maka dia perlu diseru. Akhirnya aku pula menyerunya. Automatik aku telah menjadi tuannya. Tetapi Panglima Hitam mahu bebas dari cucu cicit keturunan Haji Daud. Tetapi bagaimana nak batalkan perjanjian ini?

Menurut ibu saudaraku lagi, "Allahyarham Haki kamu dulu telah menyelamatkan Panglima Hitam dari seorang pawang terkenal di Jerantut. Pawang itu terus hilang kuasa dan kemahirannya. Dia telah dihalau dari kawasan perkampungannya. Sejak dari itu keluarga kita sudah beberapa kali diancam bunuh tetapi kami masih dijaga oleh Pawang HItam".

Kemungkinan Gekko yang kami cari selama ini sebenarnya adalah pawang itu. Pelbagai pembunuhan dan pemujaan dilakukan untuk menambah ilmu hitamnya. Kejam. Tinggi juga ilmunya sehingga kes ini ditutup dengan alasan tiada bukti dijumpai. Walhal, kes ini ditutup dengan campur tangan politik orang dalaman. Tetapi, Gekko sudah mati? Adakah aku mampu membuka fail kes ini semula??



Bersambung.............