Selasa, 13 Jun 2017

#kamenrider: SI HODOH MANGSA SIHIR PENGASIH

Salam semua. Terima kasih pada anda anda dan anda yang sudi membaca cerita aku yang tak seberapa ni. Aku rasa cerita ni tak berapa best nak share kt FS, ye lah cerita aku bukan bagus pun nak publish kat page tu maka aku rasa eloklah aku post di blog sahaja. Jika sebut tentang sihir pengasih ni juga ada beberapa cerita yang lebih kurang sama dengan kisah aku ni sebab tu juga lah aku rasa tak perlu pun post  menda yang sama. Biarlah tak ada orang baca kisah aku tapi andai kata anda, anda dan anda tersinggah dan baca diharap dapat beri pengajaran dari pengalaman ini. Tema cerita kali ni adalah 'Jangan ingat perempuan hodoh tak kena sihir pengasih!' (wakaka)

Seperti spoiler yang aku ceritakan pada kisah yang lepas #kamenrider: Kolej UKM, Bangi – Kisah 5 (FINAL), post aku kali ini FRESH, tiada kaitan dengan UKM Bangi sudah! Kisah kali ini bukanlah cerita seram tetapi lebih kepada unsur pengajaran. Kisah ini adalah ADAPTASI dari kumpulan cerita beberapa orang rakan dan diolah demi menjaga aib kami, keluarga kami dan orang yang terlibat. Untuk memudahkan cerita anggap je la semua yang berlaku pada Nadey ni je la ye (bukan nama sebenar). Telus aku berkongsi dengan niat sebagai pengajaran dan peringatan kepada rakan-rakan semua.

Peringatan:
Aku nak pesan awal-awal agar pembaca tidak muntah, tidak sawan bavi semasa membaca kisah ini sebabnya semua perlakuan aku dalam keadaan separa sedar. Aku sedar tapi tak boleh mengawal emosi. Diharap semua berzikir dan sabar membaca kisah yang agak panjang ini. Aku sendiri juga terasa nak cirit berdarah dan sawan buih bila mengenangkan kembali semua perlakuan abnormal kerana perkara sebegini tidak pernah berlaku dalam hidup aku sebelum ini. Dan aku memohon pertimbangan kawan-kawan agar memahami sedikit selitan makian yang sudah ditapis sebaik mungkin. 

*************************************************
Bismillah……..

Sebelum kita ke perut cerita, biar aku ceritakan serba sedikit tentang diri aku. Kenapa? Aku nak beritahu kawan-kawan perbezaan ketara perangai aku sebelum dan setelah terkena sihir pengasih. Aku seorang wanita yang biasa tak berapa cantik jika dibandingkan dengan rata-rata wanita di Malaysia.  Umur pun semakin senja dan masih belum berkahwin. Wajah?… ni yang sebak nak cerita. Kesimpulannya tengok tajuk cerita si Hodoh itulah aku (sabar jangan kecam inikan cerita fiksyen Si Hodoh). 

Perangai pula, aku agak tomboy, dominan, berego tinggi, agak kasar dan acah-acah hati kering juga sebab tu aku suka lakukan aktiviti seperti hobi lelaki, merempit, memancing dan banyak lagi. Bab romantik ni aku dah kata aku hodoh walaubagaimanapun masih ada insan didunia ini yang melihat aku sebagai seorang wanita namun jodoh kami tak panjang, pengalaman tersebut berakhir dengan pengalaman pahit. Disebabkan kesan itu, aku menjadi serik untuk berkawan dengan mana-mana lelaki dengan serius. Aku redha andai kata aku tiada rezeki untuk berkahwin didunia ini (gituww). 

Apa yang aku suka dengan status single ni adalah bebas. Tiada komitmen kecuali pada ibu, ayah dan haiwan perliharaan. Aku ni jenis ‘gamble’. Tak perlu fikir panjang, jika ada duit makin panjang langkah aku. Aku juga mempunyai banyak hobi antaranya aktiviti scuba diving.

September 2016, 

Acah-acah hadiah ulangtahun kelahiran, aku bermusafiir sendirian ke sebuah pulau yang agak popular di semenanjung Malaysia untuk menyambung lesen diving Advance Open Water. Aku memang bercita-cita nak ambil lesen sehingga level instruktor kalau diizinkan Allah SWT (doakan).

Setelah selesai dua hari untuk latihan intensif di laut aku mengambil keputusan untuk sambung berehat di pulau tersebut semalaman lagi. Niat untuk aktiviti esok snorkelling dan memanjat bukit sambil melawat pulau-pulau kecil sekitar tempat ini. Malam tu selepas night dive aku berkenalan dengan seorang rakan baru namanya Mal. Mal ni agen untuk pakej island hoping. Mal sangat peramah, gila-gila satu kepala pula dengan aku. Terlajak ramah dia tawarkan untuk bawa aku pusing-pusing pulau FREE esok. Rezeki FREE ini aku tak pernah tolak dan aku bersetuju.

Esoknya, Mal datang ke chalet aku dan mengajak untuk bersarapan pagi bersama. Terkejut aku melihat Mal bersama seorang lelaki yang dikenali sebagai Aril. Dialah yang akan membawa aku berjalan-jalan hari ni. Kami berborak sepanjang hari dan dia beritahu asalnya dari Sabah satu kampung dengan Mal. Rupa paras Aril ni kacak gila kiranya memang 101% taste aku, tanned, muka sharp, bahu cantik macam bahu figure kamenrider dan hebat bawa bot. Tapi aku tahan je buat muka macam tak berminat pun dengan Aril ni padahal hati nak meletop, peparu tak cukup udara nak bernafas. 

Aku pernah pergi Sabah sekali, pendek cerita orang Sabah ni memang cantik-cantik dan kacak-kacak. Rasa nak jerit “I Love Sabah!!!! (Sabahan)”. Nampak tak betapa terujanya aku dengan lelaki Sabah. Hari tu, seronok sangat. Sambil mencuci mata dengan kecantikan pulau-pulau aku tak lepas peluang untuk curi-curi mengambil gambar Aril. Kiranya memang jatuh cinta sungguhlah pada Aril ni. Tapi sebab ego kan aku acah-acah buat bodoh je. Aktiviti kami berakhir petang itu dan hari itu juga adalah kali terakhir aku berjumpa Aril.

Malam tu, Mal datang ke chalet aku untuk mengajak makan malam bersama. Sampai di meja makan, aku terkejut sebab penuh satu meja dengan lebih kurang 10 ke 11 orang geng-geng Mal. Sekali imbas melihat, Aril tiada. Tak sempat bertanya “Aril tak ada malam ni, ada hal. Ini geng-geng Sabahan aku, kami datang semenanjung cari rezeki dan cari isteri. Hehehe….”, malam tu kami berborak riuh sehingga pagi tapi hati aku masih sendu tanpa Aril.

Selepas dua minggu….

Satu hari aku dapat berita yang Sabah ada gegaran kecil. Aku terus mesej Mal dan kami berborak, rindu pula dengan keriuhan Mal. Kebetulan esoknya seorang lelaki yang tidak dikenali pula mesej aku untuk berkenalan. Sah ini kerja si Mal yang jaja nombor aku. Tengok gambar Whatapps aku terkejut sebab pernah berkali-kali lihat profil FB lelaki ini menjadi friend suggestion aku sebelum ini. Boleh katakan setiap hari naik muka dia, sehingga aku boleh stalk semua gambar-gambar dia. Tapi disebabkan aku ni bukan jenis nak add orang maka aku abaikan dia.

Daim (bukan nama sebenar) dia memperkenalkan diri sebagai seorang pembawa bot dan dia juga ada bersama semasa waktu makan malam terakhir aku di pulau tersebut. Sah! Mal ni memang nak kena dengan aku! Kami rancak berbalas mesej sehingga aku terdetik untuk bertanyakan perihal Aril. Rupanya mereka sepupu. Oleh kerana terlalu teruja aku melayan Daim ini dengan niat untuk mengenali Aril. Mana tahu ini peluang aku!

Pada malam itu juga Daim beberapa kali cuba menelefon aku namun aku ni spesis yang tak suka angkat telefon. Kalau kawan memang aku akan angkat tapi Daim? Siapa dia entah! Baru kenal takkan nak berborak kan? Masih belum rasa selesa nak berborak malam-malam ni. Teringat juga nasihat rakan di Matrikulasi dulu, jangan layankan nafsu syahwat lelaki malam-malam begini, lagi-lagi nak manjakan suara dengan mereka. Berdosa. Aku hanya layankan mesej-mesej Daim sahaja.

Malam tak dapat nak call, maka sianglah dia call. Setiap hari sebelum aku masuk pejabat sambil drive kami berborak dan dia pula sebelum bawa bot pukul 9 pagi. Kami berborak seolah-olah sudah lama berkenalan dan tak sampai dua minggu Daim ni pula sudah syok sendiri menganggap aku sebagai kekasihnya. Serius agak serabut, sebab tak memasal aku dapat boyfriend express. Kejadahnya? Aku nak Aril bukannya Daim. Yang peliknya aku rasa semakin selesa berborak dengan Daim. Lelaki Sabah ni memang sweet talker. Memang cair tapi ego tetap ego.

Kalau dikirakan kami berbalas mesej dan call setiap hari selama tiga bulan. Beratus kali Daim meminta gambar aku, merayu-merayu dan masa tu aku masih waras! Aku hanya berikan gambar separuh (tak sempurna) kepadanya. “Tak apa, dalam blog kau ada banyak gambar. Cantik betul kau ni. Macam aku tinguk kau masa makan malam dulu. Aku tak pernah jumpa perempuan macam kau, lagi-lagi masa kau gelak. Kalau sana perempuan Sabah memang cantik tapi fake tak macam kau. Kau cukup cantik bagi aku”. (pergi mampus cantik kau tu)

Pernah juga aku tanyakan kenapa aku? Aku tak cantik kot. Pelik betul taste Daim ni tapi dia menjawab “Aku ni lelaki yang tinguk kau cantik luar dan dalam. Cantik itu hanya sementara dan aku yakin kau cukup cantik bagi aku. Aku ikhlas la”. Fuh!! Sawan buih aku tepi katil. Memang cair dah la jarang orang cakap aku cantik. Kalau buat kajian 10 lelaki belum tentu satu dari sepuluh akan cakap macam tu. Mungkin Daim antara 1 dalam sejuta populasi lelaki Malaysia yang buta dengan aku.

Daim jenis yang suka kongsi gambar dan video, kalau nak kira beratus-ratus gambar dan videonya dalam gallery folder telefon aku sehingga aku terdetik “Not bad juga si Daim ni”. Sama seperti Aril, lelaki pulau kulit tanned, tinggi, segak tapi kacak lagi Aril. Jujur aku masih sukakan Aril tapi aku merasakan adalah lebih baik menerima lelaki yg sayangkan kita. Maka perlahan-lahan aku lepaskan niat aku pada Aril.

No more Aril, it's Daim now..

Daim ni macam mana orangnya? Dia ni perangai bertentangan dengan aku. Aku keras dia lembut. Walaupun Aril ini muda dua tahun dari aku tapi sikap matangnya tu membuatkan  jiwa aku yang keras ini rasa mengalah dengan semua perkara tentang dia. Boleh katakan dalam kelembutan dia tu sebenarnya dia lebih dominan dari aku. Dia boleh kawal perangai aku yang tak berapa nak matang yang masih main kamenrider ni. Lagi lemah kalau dia bercakap tentang pengalaman dia di laut, di hutan dan pengalaman dia merantau. Aku boleh rasa aku boleh bergantung hidup dengan orang sebegini. 

Sebenarnya Daim ni tak suka menaip, dia lebih suka rakamkan suara dia. Sudahnya banyak pula perbualan kami macam ayam dan itik sebab dia suka test aku dengan bahasa Suluk. Aku ni pun gigih la belajar sendiri bahasa Suluk sebab tak nak dia bodohkan aku. Dia selalu ulang ayat “Nanti kita kahwin, aku ajar kau bahasa Suluk ya”, yakin sangat dia nak kahwin dengan aku. Hati aku masih menyangkal niatnya kerana masih terlalu awal untuk bincangkan hal sebegini. Nanti dah kahwin mesti dia menangis menyesal tak sudah.
  
Sampai satu malam, dia banyak kali hantar rakaman suara seperti serigala tengah gersang. Nasib baik aku bukan spesis serigala, dari awal lagi aku rasa tak selesa dan bila dah teruk sangat aku mula mengamuk. Aku bagi amaran, tapi dia sedikit pun tak diendahkan. Dia siap bayangkan aku bersama dia waktu itu (seram gila). Malam itu juga aku tengah sibuk buat draft untuk submit ke FS. Tengah mood melayan genre seram tetiba ada unsur lucah nak masuk maka buat pertama kali aku menjawab panggilan dia malam itu dan aku hadiahkan maki hamun nasib baik aku tak azankan telinga dia. Malam itu dia meminta maaf. 

Namun kalau dah dasar bebal seorang lelaki bernama Daim ini tak lut untuk peluru makian aku. Dia mengulangi perkara yang sama untuk hari seterusnya. Kali ini aku dah mulai rasa sedikit pelik kerana akhir-akhir ini  Daim seperti dapat membaca gerak-geri aku. Jujur satu malam itu aku bersiap untuk keluar lepak mamak. “Aku rasa kau lebih ayu dengan tudung biru gelap berbanding warna kuning. Serius aku rasa mau gigit pipi kau kalau kau pake tudung biru. Cantik bah”, meremang aku dengar ayat Daim. Mana dia tahu aku pakai tudung kuning ni? Lagi seram, memang aku nak tukar tudung biru sebab tudung kuning ada bau air liur basi. Gila… Daim boleh tengok aku ke? Meliar mata aku kiri kanan takut mana tahu Daim seorang perisik ada pasang kamera bertutup ke? Nampak tak aku ni suci? Tak fikir pun tentang mistik-mistik ni. Aku anggap bila kita dilamun cinta ni acah-acah kimia kuat. Husnuzon sangat.

Namun kejadian itu bukan sekali dua tapi banyak kali sehingga susah nak husnuzon dah! Setiap kali jadi begini memang naik meremang habis, rasa seram semacam sebab aku dapat rasakan seolah-olah Daim sentiasa memerhatikan aku. Makin hari aku rasa makin tak selesa. Satu malam tu aku mengamuk disebabkan perkara yang sama (serigala gersang), entah mana datang rasa tekad. Aku terus block Daim dari Whatapps dan sekat untuk panggilan masuk. Aku ingatkan aku hanya block Daim untuk satu malam itu sahaja, tapi bila diberi peluang kedua Daim masih mencabar kesabaran aku.

Daim bukan lelaki yang ikhlas sebenarnya...

Dengan berat hati, aku terpaksa undur diri dari lelaki psiko seperti Daim ini. Sendu aku fikirkan jenis lelaki sebegini mungkin nak berkenalan dengan aku untuk kepuasan nafsu semata-mata. Tak apalah Nadey, bukan rezeki kau lagi kali ini. Memang dah berbulan hidup aku dengan ada kehadiran Daim, memang rasa sedikit kehilangan tapi hati aku kuat mengatakan ada benda yang tak kena dengan Daim ini. Masa ini barulah terfikir nak merungkai semua perangai peliknya.. atas alasan kumpul point nak membenci Daim. 

Pertama, selama berkenalan aku tak pernah tahu langsung tentang diri Daim. Dia hanya beritahu yang ayahnya sudah meninggal, ibu hidup lagi. Bila ditanya tentang keluarganya cepat-cepat dia mengalih topik. Kesimpulannya selama ini semua perbualan hanya mengenai tentang diri aku sahaja. Baru aku rasa menyesal, terlalu detail aku beritahu sebenarnya. Allah!

Kedua, dia seperti ahli nujum. Dia tahu semua gerak-geri aku sampaikan boleh decide nak pakai baju apa semua, tu agak melampau. Selain itu, setiap kali aku terdetik teringatkan Daim, seperti kebetulan pula dia akan mesej atau call aku. Mulanya aku rasakan itu berlaku secara kebetulan, acah-acah kuatnya kimia kami tapi lama-lama rasa seriau pula.

Ketiga, jika aku naikkan isu tentang Aril. Dia akan ulang dengan ayat ini kadang kala seperti jampi serapah pula “Lupakan Aril, aku ini yang sayangkan kau… Aku Daim saja yang sayangkan kau, dan kau akan selamanya sayang sama aku ”, lebih kurang la ayat ini dia akan ulang dan selebihnya dia merepek dalam bahasa Suluk. Mulanya aku geli juga berbulu habis telinga aku dengar ayat tu tapi lama-lama aku cairlah! Sehingga satu tahap aku langsung tak pernah sebut mengenai Aril lagi.

Setelah sebulan lebih tanpa Daim, jujurlah aku terkesan sedikit teringatkan Daim tapi mungkin sebab ada beberapa perkara lain menyusul membuatkan aku hampir lupa pada lelaki psiko itu. Jadual kerja pula terlalu padat, masa aku hanya dedikasi pada projek syarikat, bila balik rumah pula sudah lewat, penat dan terus tidur sahaja. Begitulah rutin harian kehidupan aku selama sebulan lebih. Mungkin Allah nak aku lupakan segalanya tentang Aril dan Daim.

Pada awal minggu bulan Febuari 2017 setelah sebulan tanpa Daim… 

Dari pagi sehingga tengahari seperti biasa aku terlalu sibuk di pejabat dan petang pula keluar site. Oleh kerana terlalu penat usai sahaja solat Zohor aku baring nak lelapkan mata sekejap sementara menunggu waktu masuk pejabat pukul dua petang. Hampir mata terlelap tetiba aku teringatkan si Daim. Rindu bukan kepalang, rasa membuak-buak tak tertampung oleh jiwa raga ni, rasa mahu pecah dada nak menangis teringatkan wajah, suara dan terngiang-ngiang gelak-tawa lelaki itu. Sampaikan sepanjang petang sambil membuat kerja di pejabat, aku mainkan semula SEMUA perbualan rakaman suara dia yang dulu berulang-ulang kali sambil tergelak-gelak dengar celotehnya terus mengimbau kembali kenangan sepanjang berkenalan dengannya, paling aku rindukan adalah ayat-ayat manis Daim. Petang itu juga tak menyempat nak memandu balik rumah aku berhenti di tepi jalan semata-mata untuk UNBLOCK Daim.

Aku tengok je gambar dia di Whatapp gambar Daim pegang ikan besar. Terus cair. Ya Allah kacaknya Daim. Dia memang lelaki idaman aku! Aku anggap aku memang senang cair bila tengok lelaki yang sama hobi dengan aku ni iaitu memancing laut dalam.

“Amboi muka happy sangat angkat ikan besar”, aku memulakan mesej pertama.

Tak sampai beberapa saat terus dia reply dengan rakaman suara seolah-olah sedang menanti aku seperti sebelum ini. Aku terus sawan memandu laju-laju pulang ke rumah semata-mata nak berborak dengan Daim. “Drive iluk-iluk, nanti sampei rumah aku call kau ya sayang”. Masa ni meremang habis sebab aku terus rasa CINTA yang membuak-buak pada Daim. Sampai di rumah aku tutup pintu bilik dan berborak dengan Daim.

Buat kali pertama dalam sejarah hidup, aku meluahkan perasaan “Aku rindu kau bah!”. (What the f…). Aku rasa nak pijak je muka orang sekarang, tak percaya ayat ini keluar dari mulut aku sendiri. Malam itu kami berborak seperti seolah-olah tiada dendam, tiada kemarahan aku pada Daim seperti sebelum ini. Malam tu juga teruja yang amat sampai aku tersebut ayat ni “Ye yeyeye aku dah ada boyfriend”. (haha %&#%) maksudnya secara rasminya hubungan kami kini adalah secara serius. Ya serius sehingga aku dah fikirkan perihal perkahwinan.

Macam-macam janji Daim taburkan, dia serius nak kahwin dengan aku dan dia berhajat untuk datang ke KL untuk berjumpa aku. Mungkin aku ni dah lama sangat menjanda, dah lama tak rasa kupu-kupu dalam lemak perut. Jika dulu aku rasakan perkahwinan dengan Daim itu agak mustahil, kini aku yakin sungguh dialah jodohku, akhirnya. Dengan tak rasa janggal sedikit pun, aku mula bergayut dengan Daim setiap malam dan aku mula berani berkongsikan gambar-gambar aku pada Daim. Ya banyak sangat gambar aku beri, nasib baik bukan gambar buka aurat bagai. Berita gembira ini aku kongsikan pada rakan baik namun mereka keras menyatakan perlakuan aku sangat pelik. Drastik sangat, padahal baru seminggu kami berhubung semula. “Nadey yang kami kenal bukan macam ni………..”, sedih bila rakan baik sendiri tegur sebegitu. Salahkah aku jatuh cinta dan nak berkahwin?

Dipendekkan cerita, 

Kali ni memang aku betul-betul macam orang sasau la. Kalau tak dengar suara Daim sehari boleh sampai tahap nak menangis rindu sangat (alololo %^*&). Kalau tengah buat kerja tu boleh menitis air matalah. Sepajang hari boleh katakan aku hanya menatap gambar-gambar Daim seperti tak puas-puas. Kadang-kadang bos panggil nama aku pun tak sedar. Pernah tak rasa sayang teramat, rasa macam semua orang pun iras wajah Daim, boleh berkhayal terbayang-bayang Daim depan mata, tengah senyum, tengah gelak, tengah renung muka aku. Semuanya Daim. 

Nasib baik aku masih nak bersolat. Tapi penangan cinta Daim ni hebat sampaikan masa sujud tu pun aku nampak muka Daim sebijik macam cerita Hindustan Tujh Me Rab Dikhta Hai (macam haram). Aku siap beritahu ibu, “Ibu akak nak kahwin dengan orang Sabah ni ok tak?”, ibu hanya gelak tak percaya “Haha…Sapalah nak kat kamu ni”. Tengok ibu sendiri aku pun tak percaya cerita cinta aku ni. 
Aku beritahu pada beberapa rakan baik yang lain respon mereka sama, semua tak percaya dengan kisah chenta aku “Aku rasa kau ni dah kena sembur dengan Daim ni”. Banyak kali kawan aku seorang ni ulang “Ini bukan Nadey yang aku kenal, kembalikan Nadey kami!!!”. Namun kesemua reaksi mereka aku anggapkan hanya gurauan saja, aku tetap yakin dengan cinta Daim kali ni. Disebabkan rasa cinta yang tak boleh nak bendung dah ni aku buat solat hajat bukan sebab aku dah sedar aku terkena sihir tapi aku doa kalau Daim itu jodoh aku berikan aku petunjuk dan permudahkan perjalanan cinta kami (alolo %#&$). Tiga hari tiga malam aku buat.

Lupa nak beritahu, aku ni jenis yang selalu dapat mimpi bersambung. Sepanjang aku berhubung semula dengan Daim aku mimpi aku berada di Sabah. Kami ada rumah sendiri atas air, bot sendiri dan yang paling best rumah kami tu seperti Dive Centre penuh dengan tangki oksigen dan peralatan skuba. Memang mimpi seperti itu adalah impian aku setelah sekian lama.  Aku  rasakan kami sepertinya sudah berkahwin dan kini aku sudah mempunyai dive buddy iaitu, Daim suami aku sendiri. Bangun je dari mimpi aku akan menangis rindukan Daim. (alololo %^#*)

Firasat seorang ibu...

Dalam tak sedar, mungkin firasat ibu itu kuat menyatakan bahawa sesuatu tak kena dengan sikap pelik aku. Tanpa pengetahuan aku, ibu berusaha berjumpa ustaz dan membuat solat hajat agar aku tidak membuat perkara terkutuk atau lari ke Sabah tergesa-gesa. Satu hari selepas solat subuh, pagi itu ibu memberitahu yang dia mendapat 1kg kurma nabi dari rakannya yang baru pulang dari Mekah menunaikan ibadah umrah. Aku mengambil 7 biji dan makan bersama oat untuk sarapan pagi. Peliknya, pagi itu tak seperti biasa aku menunggu panggilan Daim sewaktu memandu ke pejabat tapi pagi tu aku ralit mengikut bacaan yassin dari pemain CD kereta. Mungkin aku tersedar sedikit yang aku sudah terlalu over sayangkan Daim, melebihi kasih kepada Pencipta. Serius pagi tu aku tak tergerak langsung nak tengok telefon bimbit. Bunyi ringtone pun tak dengar seolah-olah aku set mood mute.

Sampai sahaja di pejabat, aku terus kelam-kabut menolong kerja di stor dan tengahari barulah aku perasan berpuluh panggilan dari Daim. Mulalah aku rasa rindukan Daim sampai nak menangis (asyik nangis je keja aku masa ni, hati rapuh). Aku hubungi Daim tapi tak berjawab mungkin dia sedang bawa bot. Aku sasau dan hanya mampu tinggalkan mesej sahaja dengan jutaan kali meminta maaf. Sekali lagi aku beritahu aku seorang yang berego tinggi. Hanya perkara tertentu sahaja aku akan meminta maaf. Sepertinya…. Nadey sudah berubah.

Kehebatan si Daim ni juga pada suara dan amarahnya. Dia tak pernah marah dan berkasar naik suara dengan aku. Lembut dan halus je bicaranya. Aku ni keras orangnya, bila bercakap dengan Daim memang cair habis. Lewat petang begitu, baru Daim hantarkan rakaman suara, “Pakain kau seharian ini sayang? ~~ (Pergi mana?)”. Seperti biasa nada suaranya lembut sehingga ketagih halwa telinga aku mendengar suaranya. Dia layan aku dengan penuh kelembutan, padahal rasanya kalau lelaki lain mesti naik suara marah kerana puluhan panggilan tak berjawab seharian. Tapi Daim tidak, dia setenang-tenang manusia.

Aku beritahu yang aku sangat-sangat sibuk dan terlepas pandang puluhan panggilanya. Waktu itu kuat azan berkumandang dan aku meminta izin untuk solat Maghrib. “Lepas Isyak kita sambung ya”. Aku ke dapur, tiba-tiba ibu berikan aku segelas air zam-zam. Katanya kawan dia hanya berikan sebotol 1L sahaja maka dia agihkan sama rata air ini pada kami sekeluarga.

Mimpi petunjuk atau mainan syaitan?

Kebetulan malam tu aku selsema teruk. Aku memberitahu Daim yang aku sudah makan ubat selsema dan mahu tidur awal. Aku terjaga tengah malam dalam pukul 1 pagi. Aku bermimpi aku dan ayah berjaya tundukkan beberapa ekor gajah putih yang liar. Dalam mimpi itu juga aku berjumpa dengan Panglima Hitam dan dia tegas memberitahu aku mengenai Daim sebenarnya telah menghantar sihir pengasih pada aku. Bertengkarlah kami berdua dalam mimpi itu sehingga aku terduduk sepertinya menerima hakikat berita yang disampaikan itu benar. Dihadapan Panglima Hitam itu juga aku menangis beria tidak boleh menerima hakikat yang Daim sanggup lakukan sedemikian rupa.

Bila tersedar dari mimpi aku masih lagi sambung menangis, begitu jelas kesedihan aku terbawa-bawa sehingga ke alam realiti. Walaupun baru sedar dari mimpi, minda aku masih serabut memikirkan kaitan antara mimpi tadi dengan Daim. Mimpi tadi bukannya mainan syaitan semata-mata. Itu mimpi petanda! Kiranya malam ini adalah malam ketiga aku usahakan solat hajat. Masa ini satu per satu perkara keluar dari benak. Jika ini sihir maka benarlah kata rakan-rakan aku, perlakuan aku pelik. Drastik sangat! Tak sampai dua minggu, aku rasakan perasaan luar biasa sayang pada Daim serta-merta, sasau rindukan sampai boleh beria menangis sendu. Paling gila sehingga aku boleh bersetuju untuk berkahwin dengan lelaki yang aku baru kenali (tak sepenuhnya mengenali Daim sebenarnya).

Tapi.... motif apa Daim sihirkan aku? Aku bukan wanita cantik untuk dia gilakan. Teringat pula pada Mal mungkin dia juga terlibat, bertaruh dengan rakan yang lain jika Daim berjaya untuk mendapatkan aku dengan beberapa motif keji yang sebak untuk aku nyatakan. Biasalah lelaki kan!

Boleh jadi juga yang aku betul-betul sukakan Daim. Dan boleh jadi mimpi tadi mainan syaitan untuk rosakkan niat kami untuk dirikan masjid tapi aku yakin kehadiran Panglima Hitam itu bukan sekadar mimpi biasa. Berbelah-bagi hati ini begitu terkesan sayangkan Daim. 

Mengalir lagi air mata, betapa sukarnya aku memberi peluang pada hati ini semula tapi jadi begini pula. Aku gagahkan diri untuk bangun solat hajat dan tahajud kini dengan niat semuga Allah berikan aku petunjuk terbaik untuk aku. Bukan lagi doakan untuk jodoh aku dan Daim. Hati aku dilema dan aku memohon dikuatkan mental dan rohani andai kata sihir pengasih itu adalah perkara yang benar. Aku takut jikalau aku sukar menerima hakikat bahawa kehadiran Daim hanya untuk menguji iman aku semata-mata.

Allah gerakkan hati untuk berubat, tapi...

Selepas Subuh aku menghubungi seorang rakan Lela, teringat dia masih dalam rawatan sihir dan gangguan. Dengan perasan berbelah-bagi, berdolak-dalih aku tak jadi ceritakan hal sebenar tapi aku hanya membuat alasan untuk mengikutinya berubat malam itu.

Seperti biasa, Daim akan menelefon aku pagi-pagi. Sebak sungguh mendengar suara lembutnya bertutur janji-janji yang kini sukar aku nak percaya bahawa lelaki yang baik seperti Daim ini sanggup menyihir aku. Tak perlu sihir rasanya jika hati aku sepenuhnya pada Daim. "Aku sudah beritahu orang tua aku, tapi mereka kan di Sabah. Apa kata aku jumpa orang tua kau dulu boleh kan sayang? Aku mahu kita bernikah dan kau ikut aku ke Sabah. Kita bina hidup baru dan kita boleh buat bisnes skuba diving. Demi kau dan aku sumpah tiada yang lain. Aku serius ini bah...Demi Allah!".

Masa inilah terbit rasa penyesalan aku nyatakan hasrat untuk mengikut Lela berubat, rasa berat hati sangat dan aku cuba memberikan pelbagai alasan. Sehingga terdetik hati aku mengatakan, biarlah aku terkena sihir pengasih Daim sekalipun sebabnya aku yakin hati aku betul-betul sukakan dia. Hari Rabu dan Khamis aku berjaya mengelak tapi mungkin kuat firasat Lela mengatakan ada sesuatu yang menghalang aku pergi jumpa ustaz tu “Nadey teman aku please...” Akhirnya Jumaat, aku mengalah dan mengikut Lela pergi berubat.

Petang Jumaat itu juga kebetulan aku mendapat berita Pak Ngah aku telah meninggal dunia setelah tiga bulan sakit teruk. Aku masih mencari peluang untuk lari, namun Lela tetap nak aku temankan dia berjumpa Ustaz dahulu sebelum pulang ke Bentong. Lagipun jenazah akan ambil masa untuk penghantaran dari Hospital Serdang ke Bentong dan Sabtu baru jenazah ditanamkan. Tiada pilihan aku mengikut Lela dan suaminya ke tempat berubat.

Masa ni bertalu-talu panggilan dari Daim tapi aku cuba keras untuk tidak beritahunya yang aku akan berjumpa ustaz, aku takut dan aku cuba menipu yang aku hanya melepak dengan kawan lama walaupun aku tahu Daim boleh baca gerak-geri aku. “Sayang, kitakan mahu kahwin nanti. Aku tak mahu kau keluar malam-malam sudah, bahayalah. Aku mahu kau cuba dengar nasihat aku kali ini, kalau kau betul sayangkan aku”, jujur hampir menangis aku mendengar suara Daim yang lembut merayu-rayu supaya aku tak keluar malam tu tapi mengenangkan tegasnya Lela aku berniat untuk tidak berubat dan hanya menemani Lela semata-mata. Sampai sahaja di rumah ustaz itu terus masuk waktu Isyak, Ustaz mengarahkan kami bersolat dahulu. Usai itu dia memberikan aku dua borang untuk diisi. “Saya tak berubat Ustaz, kawan saya saja”, tempelak aku. “Tak apa, nanti saya bincang dengan awak. Awak tulis je dulu”, wajah Ustaz tu seperti dapat membaca sesuatu. Mungkin hal saka, fikir aku.

Nama penuh binti ibu, tanda-tanda gangguan sehinggalah satu kotak ini:-
·         Terlalu sayang seseorang dalam masa terdekat   

Teragak-agak aku nak tanda kotak tu. Mula-mula aku tanda tapi aku padam dan menghantar kosong saja borang itu. Aku niat datang sini untuk teman Lela sahaja dan jika ditanya nanti pandailah aku menipu ustaz tu. Ya, apa pun yang berlaku lepas ni aku dah tak kisah, walaupun benar aku disihir. Daim keutamaan aku kini. 

Bermulalah dengan rawatan si Lela. Empat orang ustaz bertarung dengan saka dan sihir-sihir yang dihantar oleh musuh bisnesnya. Keadaan Lela teramat teruk sehinggakan jantung aku sendiri berdegup berderu-deru sehingga tapak tangan aku sudah berpeluh-peluh. Apa yang aku takutkan sangat ni? Rasa mahu lari dari tempat ini tapi aku masih dapat mengawal tenang agar tidak menganggu ustaz-ustaz yang sedang bersilat. Mulanya susah nak percaya, tapi bila tengok rawatan Lela sehingga dirinya berkali-kali sendawa, meraung-raung dan muntah teruk terus level kepercayaan aku tu naik. Aku duduk tepi dan tolong merakam. Ustaz itu memberi peringatan agar rakaman itu tidak diviralkan dan masuk media sosial bagi mengelakkan fitnah. Mereka tidak menggunakan sebarang perantaraan malah tidak memaksa mahkluk halus untuk keluar dari tubuh. Mereka menggunakan teknik halus memujuk agar jin dan segala gangguan keluar dipindahkan tanpa menyakitkan tubuh pesakit dan jin tersebut. Cerita Lela ini aku akan cerita detail pada post akan datang andai mendapat keizinanya.

Selesai rawatan Lela, kini giliran aku "Saya okay je ustaz, tak pe lah!!"

"Tak pe, tak salah kalau saya periksa je", ustaz-ustaz yang berada dihadapan aku hanya senyum dengan penuh makna. Ah sudah, aku tiada pilihan....

Aku disuruh memakai telekung dan duduk berlunjur sandar ke dinding. Kain seperti selimut hijau menutup bahagian kaki sehingga lutut. Aku pun beritahu serba sedikit tentang info Panglima Hitam yang samar-samar pada keluarga aku ni dengan harapan ustaz tu terlepas pandang pada isu utama iaitu sihir pengasih. Jujur masa ini aku masih mengharapkan bahawa tiada apa-apa pun mengenai sihir pengasih itu pada aku. Sebut sahaja tentang Panglima Hitam ini salah seorangnya terus berkata “Ohhh bukan calang-calang jin ni, tapi tak apa kita usaha mana patut dengan izin Allah setel la nanti semua ni”. Maka aku ingatkan aku berjaya alih perhatian ustaz bercerita mengenai saka sahaja.

Kini hanya dua ustaz terlibat. Ustaz pertama akan selesaikan kes saka dan Ustaz kedua scan jin didalam badan aku. Ustaz kedua memberi arahan kepada aku untuk membaca selawat dan memberikan aku air minuman yang dibacakan ayat-ayat al Quran.

“Niat syafaat air tadi yang diminum turun ke jantung belah kiri dan ikut saya”. Bermula dengan Bismillah 3x, Al fatihah 3x, Istighfar 3x, Syahadah 3x, Selawat 3x, ayat Qursi 3x, ayat 3 Qul dan zikiran Allah, Allah tanpa henti di dalam hati.

Ustaz pertama tu pun melakukan pergerakkan tangan seolah-olah dia sedang scan sejarah keluarga aku sambil memejam mata. Ustaz kedua pula berkata Ermm…awak ada kenal mana-mana lelaki baru-baru ni?". Aku terus menekup mulut dengan riak wajah terkejut memandang Lela. Aku tergelak kecil.

“Haaaaa..... lagi satu awak ni selalu mengelamun. Ini puncanya jika kita hilang fokus seperti kita sendiri memberi ruang kepada jin, iblis dan syaitan masuk ke dalam badan. Awak selalu sakit kan?”. 

Aku tergelak sekali lagi sebab perkara ini malu untuk dikongsi dan hati kecil aku takut kehilangan Daim. “Awak ni terkena sihir pengasih ni. Cuba cerita sikit macam mana boleh jumpa dia?”. Betullah mimpi aku kelmarin. Sungguh tak sangka Daim betul-betul sihirkan aku. “Malulah Ustaz, rasa macam aibnya saya nak cerita depan ustaz, tapi tak mungkinlah dia sihir saya. Tak bersebab”. Hati ini perlahan merasa semakin pilu, tak semena-mena hilang terus niat pertahankan Daim tadi, dengan pencerahan dari ustaz aku rasa lebih elok jika aku bebas dari sihir. Bak kata ustaz "Mengapa perlu gunakan pertolongan jin andai betul dia jodoh kamu?".

“Ada tiga benda atas kepala awak ni tapi ni mudah je nak setel. Tapi betul ni, lepas saya buat ni awak janji dengan saya nak lupakan lelaki tu? Kesannya masih akan ada dan mungkin sihir tu boleh kembali. Jangan tunduk dengan permainan jin ni!”, dengan penuh sebak aku mengangguk kepala tanda setuju untuk betul-betul lepaskan sihir Daim ini. Ustaz kedua memujuk agar jin dan khadamnya memeluk Islam dan putuskan perjanjiannya dengan tuannya. Setelah berjaya dipujuk dan mengucap syahadah dia membacakan ayat supaya jin-jin itu turun mengikut ‘cahaya putih’ yang ditujukan pada kedua belah kaki aku. Mereka akan berkumpul sekali untuk 'dipindahkan'.

“Ada lagi satu jin pengasih ni rapat sangat dengan awak. Awak sebenarnya bukan seorang je yang menghantar ni? Selain yang baru-baru ni ada yang awak tahu minat kat awak ke? Awak ada rasa sayang sesiapa lagi? Menda ni satu ni dah lama dengan awak sampaikan saya tak pasti dia apa”, Ya Allah siapa lagi?! 

“Tak ada dah ustaz, serius tak ada orang sukakan saya lagi. Ustaz sendiri tengok saya, siapahlah yang sukakan saya macam ni . Saya rasa tu bukan pengasih tapi mungkin saka keluarga”, masa ni ligat aku memikirkan siapa lagi yang sanggup berbuat begini pada aku.

Dengan tiba-tiba wajah Daim muncul dalam benak pemikiran. Kini aku dapat lihat seolah-olah Daim berada dihadapan aku dengan wajah cukup sedih. Tanpa sedar aku mengelamun lama membayangkan wajah redup Daim. Zikir sudah lama terhenti dan panggilan ustaz tidak lagi aku dengari. Semuanya seperti bisu, kosong! Wajah Daim cukup membuatkan aku terkedu dan rasa menyesal sepertinya aku telah mengkhianati Daim. Sudah aku katakan awal tadi, aku sudah tidak heran jika dia menyihir aku tapi ustaz tadi sudah membuatkan hati aku berdolak-dalih. Kini aku menyesal. Sedihnya pengakhiran begini, setelah aku betul-betul sudah sukakan Daim.

“Nadey (ustaz sebut nama penuh aku) kembali kau ke tubuh”, kini kedua-dua Ustaz beraksi seolah-olah menarik roh aku kembali ke dalam badan. Takut jika roh aku keluar, saka induk akan kuasai badan dan bersilat pula aku dengan ustaz-ustaz tu. Sebab itu rawatan aku dilakukan dalam keadaan sedar dengan syarat zikrullah tak putus. Sampai satu tahap jelmaan wajah Daim lesap seperti asap, dan aku kembali sedar mendengar panggilan ustaz tadi. 

"Tak sangka dia betul-betul serius dengan awak ni. Tak putus asa dia hantar lagi ni tapi Nadey, kuatkan hati. Ingat bahawa cinta itu hakikinya pada Allah SWT bukan dari jin yang menyesatkan awak. Jika benar dia sayangkan awak kenapa dia perlu hantar sihir ini? Untuk apa?", sekali lagi seperti ada satu semangat untuk aku lepaskan sihir itu. 

“Sekarang ni aku setel yang tulang belakang dia dan area pinggang tu. Tapi yang satu ni memang tak nak, rapat sangat dia ni”, sesungguhnya aku tak faham apa yang kedua ustaz ini maksudkan.

Kini aku lihat kedua-dua ustaz sedang memujuk jin-jin tersebut dan aku pula masih tak dapat mengawal perasaan. Setelah beberapa kali ditegur ustaz fikiran aku masih berselang-seli dengan bayangan wajah Daim, rasa sebak sangat. Tenggelam timbul zikirullah. Kali kedua aku hampir meracau melihat bayangan Daim sedang menangis memanggil-manggil nama aku. Hati aku mulalah bercelaru, sedih yang amat sehingga tanpa sedar aku beria menangis dan menyebut nama Daim berulang kali. Sungguh dalam keadaan hiba “Daim…. Daim…. Daim”. (serius masa menaip cerita ini pun rasa sedih) . 

Berulang kali ustaz panggil nama “Nadey…. Zikir jangan putus”. Setelah berjaya dipujuk akhirnya kesemua jin-jin itu bersetuju untuk mengucap kalimah syahadah. “Alhamdulillah, semua turun mengikut cahaya putih disini. Nadey…. kesat air mata. Syukur sihir pengasih dia sudah putus dengan awak. Tolong jangan ingat dia lagi, ingat Allah adalah sebaik-baik pelindung. Zikir jangan putus ya. Sekarang rasa sakit dimana lagi?”.

“Belakang dan bahu kiri kanan saya terasa sakit dan panas sangat”, dengar sahaja Ustaz pertama membaca ayat dan membentangkan sesuatu yang aku tak nampak. Lagaknya seperti menghambarkan satu kertas perjanjian. Baru kini aku faham, perlakuannya seperti  pada Lela tadi. Dia memujuk jin saka memberikan surat perjanjian untuk melihat senarai nama ahli-ahli keluarga mana yang terlibat dalam penerimaan saka dan khadam-khadam saka induk.

“Saya dah cuba putuskan ikatan saka ini tapi masalahnya sekarang ikatan saka induk pada ayah awak. Sini saya dapat padamkan semua ikatan pada ahli-ahli keluarga awak tapi nama awak dan ayah tak boleh padam. Tapi takpa saya usaha mana yang patut”.

Agak lama kedua-dua ustaz-ustaz beraksi, menarik habis kain selimut hijau pada kaki dan melibas keluar kain tersebut sambil menyebut ayat-ayat suci Al-Quran. Menurut ustaz, mereka memindahkan mereka ini ke satu penempatan jin-jin Islam jauh dari sini.

“Selepas ini saya nak awak dan Lela jangan cuba menyeru, jangan ingat sekalipun. Jika terdetik, zikir sehingga ralit. Sedekahkan Al Fatihah dan berdoa agar jin saka itu lembut hati untuk lepaskan ahli keluarga awak. Sebenarnya kami hanya dapat membantu awak menyelesaikan masalah ini hanya 20%. Terkejut bukan? Selebihnya 80% usaha diri sendiri untuk mendindingkan diri dari membiarkan jin, syaitan iblis dari masuk menggunakan tubuh kita. Jangan zalimi tubuh kita dengan membenarkan mereka mengusai kita. Kita ni khalifah Allah SWT, kita lebih kuat dari mereka sebenarnya. Sebab itu mereka perlukan badan kita sebagai perantaraan”.

“Amalkan ikrar pemisah ini setiap kali selesai solat. Yakini hanya Allah SWT Maha Pelindung dan yakin kita sihat dan berlindung sepenuhnya pada Allah Yang Esa. Untuk awak Nadey, kesan pengasih masih ada. Awak kena kuat, jauhkan firasat negatif macam tak nak kahwin lah. Jangan lawan fitrah kita. Jangan kuat berangan, jika lalai je cepat-cepat zikir. Rasa tak sedap hati je, boleh beritahu saya. Saya cuba lakukan dari sini apa yang patut, tak pun awak boleh datang sini semula. Sekarang bergantung pada usaha awak sajalah nak bebas dari sihir tu atau tidak”.

“Beritahu kawan-kawan, tak kira ada saka atau tidak. Kita ni insan berjiwa lemah, kita tak tahu pun bila jin, syaitan iblis ini meresap dalam tubuh kita. Boleh jadi macam tadi, awak tak sangka pun awak boleh terkena sihir pengasih kan?. Sihir ni macam-macam jenis, boleh jadi sihir bagi orang benci pada awak, boleh jadi panaskan hubungan suami isteri, anak-anak. Sebab itu kita haruskan pagarkan diri kita dari sebarang kemungkinan. Siapa nak bantu kita kalau bukan diri sendiri?”.
“Beritahu juga rakan-rakan terutamanya yang perempuan, hati-hati untuk upload gambar di media sosial, IG, FB semua. Kini teknologi canggih, hanya dengan muka pun dia boleh edit satu tubuh badan lengkap sempurna untuk disihir. Sekarang viral sihir-sihir guna teknologi canggih. Mudah sangat. Untuk awak Nadey, buang segala yang berkaitan dengan lelaki tu. Sedih....saya tahu tapi semua ini sementara je tu. Itu bukan jodoh yang baik jika dia menggunakan sihir itu untuk awak. Doa banyak-banyak supaya dia tak berdendam dengan awak lagi. Ustaz doakan awak bertemu jodoh yang baik in sha Allah”.
“Ingat balik ni, campurkan daun bidara dan mandi dengan air ni. Kalau boleh solat dulu dan jangan lupa baca ikrar pemisah ini. Lagi satu nak masuk rumah nanti selipar tu membelakangi pintu rumah, cabut kasut, selipar dengan kaki kiri dahulu, paling badan masuk dengan kaki kanan. Ucap salam jika ada orang dalam rumah, jika kosong ‘Assalamu `alaina wa `ala `ibadillahis shalihin’.

Malam itu juga dengan penuh sebak sambil menangis-nangis, aku block nombor Daim, buang segala-galanya, gambar, video dan rakaman suaranya itupun puas dipaksa Lela. Walaupun sudah hari ke-19 kita menyambut ramadhan dan aku masih mencuba istiqomah membuat amalan seperti solat hajat, membaca doa-doa dan ikrar pemutus namun Daim masih kerap muncul dalam mimpi-mimpi aku seolah-olah memujuk untuk mendengar penjelasannya. Sungguh aku rindukan dia. Tapi aku yakin, cinta itu bukannya datang dari Allah SWT tapi dari jin.

Aku cuba solat hajat agar dia berlembut hati hentikan dari menghantar sihir pengasih kepada aku. Kawan-kawan doakan aku kuat dan istiqomah pada jalan Allah SWT.  Kepada kawan yang senasib, semoga kau tabah dan tidak pernah putus asa. Yakini Allah SWT sebaik-baik pelindung. 

Sebenarnya, berat hati untuk aku kongsikan cerita ini. Demi menjaga aib semua pihak kan? Banyak kali aku menangguh untuk post cerita ini kerana aku masih bermimpi Daim (cerita belum sampai pengakhiran). Baru-baru ini aku bermimpi yang aku pergi melancong ke sebuah pulau dan beg aku tertinggal di kereta supir (personal tour guide). Bila aku menelefon supir itu tiba-tiba aku terkejut kerana suara supir tadi menjadi suara Daim! Jelas kedengaran seperti betul-betul dia berbisik pada telinga kiri aku. Seingat aku dia beritahu "Kenapa kau terkejut? Sampai hati kau tinggalkan aku macam tu saja? Aku tahu kau masih sayangkan aku kenapa kau sanggup buat aku begini. Percayalah aku tetap sayangkan kau". 

Aku terkejut, mematikan telefon dan terus ke tempat penginapan. Seingat aku penginapan itu seperti hotel yang tinggi dan viewnya menghadap laut. Semasa aku solat menghadap cermin balkoni, dari jauh aku melihat Daim sedang berdiri memerhatikan aku dari tepi pantai. Dalam keadaan bertelekung, aku mematikan niat untuk teruskan solat dan aku terus ke lif untuk turun ke bawah meminta ditukarkan bilik lain. Tapi lif itu rosak dan jatuh dari tingkat yang sungguh tinggi. Badan aku sehingga terangkat ke syiling lif, dalam masa yang sama aku sempat memeluk seorang budak yang bersama aku turun lif tadi. Aku seperti menunggu mati lif itu terhempas. Berapa kali aku mengulangi syahadah sehinggalah aku terjaga dari mimpi. Pukul 4.30 pagi, ibu kejut sahur. 

Sehingga hari ini selepas solat 5 waktu dan solat sunat aku akan gigih baca ikrar pemutus, SERIUS susah sangat nak istiqomah tapi aku cuba lawan. Jujur tiada lelaki idaman seperti Daim tapi aku yakin kini dia bukan jodoh aku. Aku yakin, ikrar pemutus itu berkesan sehingga kini walaupun diuji dengan mimpi kehadiran Daim. Aku dapat rasakan kebergantungan aku pada Allah itu lebih kuat. Semoga suatu hari nanti aku betul-betul dapat lupakan Daim dan diberikan jodoh yang terbaik. 

Lelaki Sabah? Aku tak tolak. Aku masih sukakan Sabah dan SABAHAN! Tapi bukannya Daim.

Sekian untuk cerita panjang ini. Beringatlah, cinta itu indah tapi mampu butakan hati. Salam ramadhan dan salam henshin!


5 ulasan:

Taiko berkata...

Salam... Kat mana ustaz ni dey? Ingat nak bawak adik aku lah.

-hazril

Che Azmaini Che Ramli berkata...

Ya Allah..mimpi tu sama dgn mimpi sy..blh tau x di mana tmpt ustaz ni..nk try pg scan sbb dh byk kali dpt mimpi jatuh dr tmpt tinggi..

Siti Nadey berkata...

Taiko done pm

@che azmaini boleh pm fb sy? Nadey Khairudin :)

Zairul Husni berkata...

Kat Mana ustaz tu awak?

Siti Nadey berkata...

@zairul

kat wangsa maju