Rabu, 2 Ogos 2017

INCEPTION, MIMPI DALAM MIMPI - Part 2




Mimpi je tadi...................... "Haishhhh...." 

Sebenarnya aku kecewa tadi hanya mimpi semata-mata. Pemuda tadi siapa pun tak sempat aku nak berkenalan. 

Tapi ini mimpi juga, aku berada di rumah ini! Kiranya ini mimpi atas mimpi? Macam mana aku boleh kembali pada mimpi tiga tahun lepas? Apa yang dah jadi pada aku? Aku cuba menggali semula ingatan apakah perbuatan terakhir sebelum aku tertidur dari dunia realiti menyebabkan aku boleh sampai kesini semula. 

"Cantikkan? Ibu menyuruh Raeng menjahitnya minggu lepas untuk kau. Kau suka?", aku mengangguk. Tak boleh jadi ni, skrip pun sebijik dengan mimpi tadi. Mungkin kes aku serupa macam satu animasi Jepun ni aku kena langsaikan satu misi sehingga mengikut takdir yang sebenar barulah aku boleh terlepas dari mimpi yang berulang ini. 

"Kau risaukan sesuatu?", Che Waiduri bertanya. 

"Eh, tidak ibu. Aku sebenarnya rindu sangat dengan ibu", aku terus memeluk tubuh wanita itu. Tiga tahun tidak berjumpanya walaupun pelbagai usaha aku untuk kembali. 

"Ibu juga. Ibu berserah pada takdir andai ini ketentuan kita tak ketemu lagi", Che Waiduri yang gagah perkasa ini kini menitis air mata. Diseka perlahan air mata dari wajah polosnya tapi makin kuat pula tangisannya. Aku menggosok belakangnya terasa tulang belikatnya timbul. Makin susut badannya...

Kami bersama keluar dari bilik dan abah siap sedia menunggu kami. Melihat mata kami yang berbekas dengan air mata, abah hanya tersenyum.

"Abah....", aku terus mencium tangan lelaki itu dengan penuh kerinduan. 

"Anak abah balik juga, ingatkan kami dah tak berpeluang berjumpa kau", tersekat-sekat suara abah. 

"Disana, saya sudah tiga tahun tak bertemu ibu abah. Saya pun berusaha macam-macam cara tapi gagal".

"Tiga tahun? Disini tiga bulan, cukup tiga bulan purnama malam tadi. Apa sudah jadi disana? Ada sesuatu berlaku pada kau?", abah bertanya kerana dia tahu segalanya dari awal. 

"Waiduri, Yahud, Siti....... jom gerak sekarang nanti kita terlewat untuk persiapan majlis", tegur salah seorang jiran kami. Sempat sejenak aku terfikir, skrip dia sedikit lain!

"Kita nak kemana ibu abah?", jangan cakap kita akan bersihkan surau usang tu.

"Hari ini ada majlis khatam al-Quran untuk anak-anak kecil kampung kita. Jom sekarang nanti bising imam kita lewat", haaa ugutan Imam masih menjadi basi-basi mulut orang kampung ini. 

Wan Yahud dan Che Waiduri tak lepas memegang tanganku seolah-olah takut kehilangan aku lagi. Bagi mereka tiga bulan kehilangan itu sudah cukup sasau. Boleh bayangkan bagaimana keadaan aku yang sudah tiga tahun tak berjumpa mereka. Sehinggakan ibu bapa kandungku sendiri aku tidak hiraukan, yang aku tahu aku rindukan ibu dan abah disini. 

Sampai sahaja di surau, aku terkejut beruk. Ini bekas surau usang yang mempunyai buaya sesat dalam mimpi aku tadi kini surau ini tersergam indah. Bersinar-sinar bercahaya dari pantulan air jernih kolam. Semasa kami melalui jambatan tunggal itu, mata ini terasa kagum melihat air kolam yang kebiruan jernih sehingga tembus jelas ke lantai jubin  dasarnya. 

"Abah, surau ini pernah terbiar kan?", aku nak pastikan mimpi aku tadi hanya fantasi,

"Aah, ada salah seorang Imam dari kampung seberang yang baik pulih surau ini. Kasihan dia. Anaknya hilang nyawa di kolam ini, mati lemas".

"Anaknya? Bagaimana sampai boleh tersesat ke sini anaknya?", pelik juga kata dari kampung seberang.

"Wallahualam, masa tu abah dah tak sedap hati bila kecoh satu kampung menjumpai mayat terapung di kolam bawah, satu je abah teringat. Teringatkan kau. Masa itu lebih kurang dua hari kau menghilang", masa ni abah memeluk bahu aku. Betapa hebat kasih sayang orang asing ini pada aku yang entah siapa-siapa pada mereka.

Seperti dalam mimpi, penuh orang dengan tugasan masing-masing ada yang sibuk memasak dan mengatur meja kerusi bawah khemah. Masuk sahaja di dalam surau, lihat beberapa baris kanak-kanak berpakaian serba putih masing-masing dengan al-Quran dan rekal yang cantik. Mereka membaca surah-surah bersama-sama. Bergema suara kecil mereka yang nyaring namun amat comel, terkadang ada lari pitching sedikit. 

"Hikhik.......", automatik aku terkalih pandangan mencari siapa yang tergelak serentak dengan aku sebentar tadi.

Mata kami bertaut kerana dia juga terperasan kami tergelak serentak tadi. Sungguh aku terkejut dialah lelaki yang bertarung dengan buaya dalam mimpi aku tadi. Dia hanya senyum dengan sedikit kepala tertunduk respon padaku. Sekali lagi dia menyelak rambut ikalnya paras bahu itu ke belakang dan kembali fokus memandang ke arah budak-budak yang ralit mengaji.

Eleh... sombong... , tak memasal aku mencebik dengan responnya tadi.
Tapi kan.....

Ya Allah, kacaknya.

Siapakah gerangan lelaki ini yang menghantui jiwa aku dari mimpi ke alam mimpi ini juga. Ralit tak lepas pandang menjamah mata pada lelaki itu dengan penuh tanda tanya dan mengingati semula aksi-aksinya dalam mimpi tadi. Akhirnya............

"Kau tengok apa tu Siti...?", abah menepuk bahu nasib baik tak melatah.

"Abah........ abah kenal dia siapa?", soal aku tanpa segan silu.

"Anak angkat Imam. Tak tahu pula asal mana tapi dia kacak kan. Kau suka dia ya?", aku tersenyum.

**************************************************
Pelik
Tiga hari aku masih tak sedar-sedar dari dunia mimpi ini. 

Tak habis-habis abah menyakat aku sukakan pemuda hari tu. "Kalaulah kau milik dunia ini aku sudah nikahkan dengan orang disini. Kalau kau nak tahu, dulu ibu kau yang datang mengurat abah. Abah masa tu ada beberapa calon lagi tapi Che Waiduri inilah cinta pandang pertama abah", selepas makan malam adalah aktiviti kami berborak di depan pintu rumah sambil menghirup udara malam dan kopi kaw ibu.

Walaupun tiada tv, tiada internet namun suasana inilah yang aku rindukan. Rasa tenang yang amat. Tiga tahun terasa cukup lama bagi aku meninggalkan tempat ini.

"Kau termenung sebab ingatkan pemuda kacak tadi ke ingatkan rumah kau disana?", soal abah.

"Abah ni, malulah. Abah, kalau dulu aku datang kesini sebab sakit. Sekarang bila datang kesini semula, mesti ada sesuatu telah berlaku. Lagipun sudah tiga hari aku tidur tapi masih tak sedar-sedar lagi..", abah dan ibu terdiam. Aku tahu mereka sedih jika aku menghilang sekali lagi seperti dulu. Aku membesar disini berpuluh tahun, bayangkan bagaimana rasanya jika berpisah kasih? Berbeza dunia. Aku tahu, ini mungkin dunia rekaan aku tapi rasanya kehidupan aku disini lebih baik. Terasa cukup sempurna.

"Abah, ibu..... jujur setiap hari disini apa yang paling aku takutkan adalah tidur. Aku takut tidak ketemu kalian lagi", kali ini Che Waiduri wanita gagah itu memeluk aku dengan tangisan hiba.

Seriuslah, tambahan pula sejak berjumpa dengan pemuda misteri tadi aku rasa tak perlu kembali ke dunia realiti pun tak apa! Aku lagi suka disini.

Akhirnya aku terlelap juga diriba ibu...

**************************************************

Bunyi desiran ombak berbuih-buih. Sah! Ini mimpi! Perlahan aku buka mata, ya aku berada dipersisiran pantai yang luas. Kiri kanan seperti tiada penghujung.

Aku tersentak terkejut bila ombak menyapa hujung kakiku. Sejuk. Seraya itu aku bangun dan memaling kebelakang, terus berjalan mencari sesuatu petunjuk. Beberapa minit berjalan aku melihat seorang lelaki sedang berdiri seolah-olah menunggu seseorang. Semakin menghampir, semakin jelas bibit senyuman dari bibirnya. Dia menunggu aku?

"Siti", bisu namun pergerakkan mulutnya memanggil nama aku. Lelaki bisu ini adalah pemuda misteri itu. Doktor psikologi aku Dr. Bazli pernah beritahu. Mimpi ini boleh terhasil dari kehendak atau impian yang mana kita asyik memikirkannya. Mungkin sekali lagi aku bermimpi pemuda ini kerana kehendak aku untuk bersama dia.

"Kau siapa? Apa kaitan kau dengan aku? Ini kali kedua kita bertemu dalam mimpi. Mungkin ada sesuatu yang kau nak beritahu aku", tak bersahut. Aku kini memandang kosong wajahnya menunggu respon. Dia tersenyum sekali lagi. Kami macam orang bodoh saling memandang dengan tersengih-sengih macam kerang busuk. Tapi kan..... terasa kupu-kupu dalam perut. Walaupun ia hanya mimpi. Tapi cukup buat aku rasa bahagia.

"Mana kau tahu nama aku Siti?", soal aku lagi. Rambutnya cantik beralun-alun ditiup angin pantai. Ada kala rambut itu menutup wajahnya. Tak sangka berani aku memegang rambutnya dan selitkan pada telinga. Dia membiarkan perlakuan aku sambil menutup mata dan tersenyum.

"Eh kau ni, macam scene romantik pula", tegur aku pada diri sendiri setelah kewarasan muncul.

Tiba-tiba langit gelap. Melihat dia menutup mata aku pun turut mengikut dan aku dapat rasakan genggaman tanganya. Detik aku membuka mata semula muncul ombak besar seperti tsunami gergasi menghampiri kami dan tak sempat aku menjerit kami sudah diterkam di dalam ombak yang ganas. Aku cuba mencuri nafas namun tak mampu. Beberapa kali aku mengingatkan diri yang ini semuanya mimpi semuga aku cepat tersedar!!

Tersedak air laut...

"Ya Allah!!", aku tak mampu untuk bernafas lagi andai ini pengakhiran, aku redha. Kini lelaki tadi terlepas dan semakin menghilang..... aku menutup mata dan berserah.

**************************************************

Zapppppppppppppppppppppppppppp

"Ibu!!!", itulah ayat pertama keluar dari tekak aku yang terasa amat perit dan kering. Buka sahaja mata aku melihat Che Waiduri dan Wan Yahud.

"Siti....... kenapa??", syukur aku berjaya kembali ke sini walaupun ia masih belum realiti. Tekak aku terasa sisa air masin. Pelik sungguh.

"Siti, apa sudah berlaku. Kami dengar kau meracau jerit-jerit", aku tak menjawab terus memaling ke arah tingkap. Matahari sudah tegak atas kepala rupanya.

"Kenapa ibu abah tak kejut aku bangun?".

"Kami kejut subuh tapi kau macam tidur mati. Kami siap solat dibilik kau lagi, sepertinya kau masih alami mimpi dalam mimpi kan?".

"Lupa nak beritahu, Imam datang ke rumah. Dia nak jumpa kamu", Wan Yahud tersengih. Mungkin lelaki itu ada datang sekali bersama imam. Bingkas aku bangun dari katil sambil membersihkan taik mata.

Hampa. Imam berseorangan.

"Kau tahu aku ada anak angkat kan? Namanya aku tak tahu, tapi aku panggilnya Abu Wasim maksudnya kacak", sengihan imam itu berleretan ke Wan Yahud. Ini mesti abah cerita sesuatu tentang aku pada imam.

"Dia macam kau", masa ini aku agak terkejut.

"Entah dari mana dia datang, anak-anak perempuan aku jumpa dia ditepi pantai. Lebih kurang 4 bulan lepas. Dia macam murung, tiada ingatan, tiada memori langsung. Sekurang-kurangnya kau sadar, yang kau bukan asal dari sini. Aku rasa kau patut jumpa dia. Aku sudah minta izin orang tua kau untuk bermalam dirumah aku. Memandangkan rumah aku jauh nun dihujung teluk pulau ini, nak ulang alik seharian amat memenatkan. Boleh kan?", imam menyoal Wan Yahud sambil tergelak kecil.

"Siti bagaimana? Inilah masa nak kenal dengan Abu Wasim tu", Wan Yahud terus dicubit Che Waiduri.

"Merah padam sudah muka anak tu... abahnya".

Aku bersetuju kerana aku yakin setelah dua kali bertemu dengan lelaki misteri itu dalam mimpi mesti ada sesuatu petunjuk. Imam datang kesini dengan kudanya seekor dan dia menyuruh aku menaiki kuda itu kerumahnya sendirian dan dia pula terus ke masjid. Habislah, seumur hidup aku tak pernah menaiki kuda.

"Pertama kali? Jangan risau, Zahab ini kuda pintar. Dia tak pernah sesat dan hebat", terus kuda itu duduk mencecah lantai rumput untuk aku naik dengan selamat. Sebaik sahaja kuda itu berdiri aku menjerit gayat. Perlahan kuda itu memulakan langkah, aku terus melambai-lambai ke arah ibu abah dan imam.

"Lupa bagi salam pada Zahab. Terima kasih beri aku tumpang kau ya", belai aku pada lehernya. Masa ini Zahad terus memberi respon dengan bunyi kuda yang normal mendatar sahaja tapi tingkahnya tidak seiring dengan responnya, tidak semena-mena terus laju lariannya. Nyaring jeritan aku memecah suasana namun dalam beberapa saat badan aku melayan alunan larian Zahad sepertinya aku sudah berpengalaman menunggang kuda.

Baru aku tahu, jauh sungguh rumah imam. Mulanya kami rentas hutan, gelap. Kemudian kami lalui semak renek paras kaki kuda dan kini barulah berjumpa pantai. Namun kami harus melalui sepanjang pantai untuk ke kawasan teluk iaitu agak terselindung disebalik rumah api yang tinggi. Akhirnya kami lihat rumah imam yang besar tersergam indah. Aku disambut oleh anak-anak perempuan imam iaitu mereka juga kenalan aku sejak kecil lagi.

"Liza, Lidiya... lama tak jumpa kau. Kau tak turun kampung ke?".

"Kau yang hilang! Kami ada je disini. Minggu lepas adik demam panas, aku terpaksa duduk dirumah", jelas Lidiya yang dari dulu lagi cantik yang amat.

"Aku datang ke sini sebab nak jumpa Abu Wasim...........", tak sempat aku meneruskan ayat kini Abu Wasim muncul depan kami.

"Kami tahu tentang kau, abi beritahu. Kami tinggalkan kau berdua untuk berbincang. Kami siapkan makanan di dapur. Abu Wasim, ini Siti. Imam sudah ceritakan pada kau kan? Mana tahu dia boleh bantu kau".

Abu Wasim mengambil ruang kerusi dihadapan aku. Ya Allah, seperti dalam mimpi tadi. Lelaki kacak ini sungguh mempesonakan. Juraian halus rambutnya yang paras bahu ini membuatkan dunia seolah-olah seperti bergerak perlahan, slow motion.

"Kita cakap kat luar boleh? Sini macam tak best", eh kau boleh bersuara rupanya. Abu Wasim menunjuk ke arah pondok kecil di hadapan rumah yang menghadap laut. Aku bangun tanda bersetuju, tak selesa kalau Liza dan Lidiya dengar.

"Biar saya kenalkan nama saya Siti Husna tapi orang disini panggil saya Siti sahaja...", aku menceritakan dari awal bagaimana aku boleh wujud dalam dunia ini.

"Saya tak tahu awak dari mana tapi menurut imam dia jumpa awak di tepi pantai. Saya pula dijumpai dalam hutan dalam keadaan tak sedar. Mungkin kalau 4 bulan awak disini boleh jadi bertahun-tahun sudah awak tinggalkan dunia realiti".

"Boleh jadi saya mungkin sudah mati kerana tiada satu memori yang sayang ingat", sugul wajah Abu Wasim.

"Boleh jadi juga awak memang asalnya dari dunia ini tapi kampung lain. Awak sesat kesini. Banyak kemungkinan, tak semestinya kes kita sama", Abu Wasim terus mengangguk.

"Awak suka dengan nama awak sekarang? Abu Wasim.....", setelah lama serius berbincang kini aku cuba untuk menukar topik yang tidak serius. Lihat dia amat tertekan.

"Suka rasa klasik sangat. Saya rasa saya tak pernah rasa begini. Macam zaman dulu-dulu pula", agak terkejut mendengar respon Abu Wasim dan aku yakin dia asal dari dunia aku yang agak moden.

"Awak datang pun naik kuda bukan kereta kan. Rasa macam 'time leaping' kan?", berbahasa english pula.

"Walaupun sudah berpuluh tahun saya disini, sampai sekarang saya tak jumpa jawapan. Ini dunia apa. Tapi rahsia Pencipta kan? Tiada yang mustahil".

"Sebenarnya saya selalu mimpikan awak. Dalam kiraan lebih kurang 4 bulan disini. Hampir setiap hari saya mimpikan awak. Erkkk jangan ingat mimpi yang bukan-bukan tu tapi entah. Rasanya macam kita sudah lama kenal".

"Tapi kenapa hari itu kat surau awak buat-buat tak kenal saya?", makin rumit. Aku baru dua kali berjumpa Abu Wasim.

"Sebab dalam mimpi awak lain..... macam chubby sikit", masa ni tak tahu nak terkejut ke nak marah. Tapi kenapa dia mimpi figura aku di dunia realiti? Adakah aku kenal lelaki ini?

"Eh kau......", dengar je ayat 'chubby' dari awak terus kau nada aku. Namun aku tersembul gelak melihat muka tahan cuak Abu Wasim yang tersasul dengan ayat 'chubby' tu.

"Amacam sekarang? Sebab tu aku rasa tak guna aku kembali kat dunia realiti. Disini semua aku ada, ibu abah dan kawan-kawan disini. Sini aku amat tenang. Disana aku terlalu serabut sehingga aku rasa tiada jiwa dan kosong".

"Tapi fitrah kita disana Siti bukan disini. Aku rasa ada sebab kenapa aku dan kau disini", masa ni Abu Wasim tersenyum seperti cuba mengembalikan semangat aku untuk terus hidup.

"Andai kau terbangun dari mimpi ini, tolong carikan aku. Kejut aku.....", pinta Abu Wasim. Baru aku perasan kami sudah berbahasa kau aku. Siapalah gerangan Abu Wasim ini. Adakah aku kenal dia? Tiada secebis pun ingatan aku untuk Abu Wasim.

"Boleh jadi kau kat sini kacak gila, kat dunia realiti sebaliknya???", walaupun kelakar tapi aku cuba untuk serius. Dalam hati, aku sengaja memulang paku keras.

"Hahaha, kantoilah kau kata aku kacak la ni??", berdekah-dekah Abu Wasim ketawa.

"Ini kali pertama sepanjang 4 bulan kami melihat Abu Wasim gelak dan senyum ceria macam ni. Memang tak salah kau datang sini Siti", Liza menyapa membawa dua gelas berisi air. Terus Abu Wasim terdiam malu.

"Kalau sebelum ni, mukanya muram aja. Buntu siapa diri dia sebenarnyalah.... kat manalah... semuanya dia tak ingat. Sekarang ni macam Abu Wasim sudah dapat memori?", bertalu-talu kini Lidiya menyerangkan dengan persoalan.

Selesai makan malam, Liza beritahu semua penghuni rumah, termasuk aku dan Abu Wasim yang imam akan membuat qiamulai malam ni. Disuruhnya kami supaya tidur awal dan se per tiga malam nanti dia akan kejutkan semua.

Aku susah lelapkan mata malam itu, kerana naluri aku katakan yang aku akan bangun di dunia realiti nanti. Kerana aku telah berjumpa Abu Wasim. Motif apa lagi untuk aku terus berada disini? Setelah lama resah-gelisah aku bangun dan keluar duduk di pangku pondok yang menghadap laut yang tak pernah tidur. Bulan pula penuh mengambang, besar rasanya boleh sampai beberapa puluh meter jaraknya.

"Kau tak boleh tidur?", sapa Abu Wasim. Dengan memakai kopiah putih, berbaju hitam dan berkain pelikat membuatkan aku tak sengaja tersenyum.

"Kau senyum tengok aku kenapa? Kacak kan? Haha aku pun tak ingat wajah aku sebenar kat dunia realiti. Mungkin teruk gila kot", dia masih gelak berbaki sambung gelak petang tadi.

"Pertama kali jumpa kau dalam mimpi. Kau jerit nama aku masa tu aku nak selamatkan kau dari buaya besar. Masa tu kira terus jatuh cintalah. Tak sangka pula lepas mimpi jumpa kau kat surau yang sama".

"Iya? Buaya? Kenapalah kau jujur sangat ni? Aku terkedu laa", bersahaja respon Abu Wasim yang terus duduk sebelah aku. Kami sama-sama menghadap laut.

"Kalau kau jumpa aku kat dunia realiti nanti hodoh, adakah kau masih jatuh cinta dengan aku?". Kali ni Abu Wasim memandang aku.

"Ermm aku akan minum racun dan jumpa kau kat sini semula", laju je jawapan aku.

"Bunuh diri itu tidak bau syurga wahai Siti Husna", teguran Abu Wasim menyentap aku namun benar katanya. Aku terlalu mengikut hawa nafsu. Aku sedar khilaf sendiri.

"Tapi macam mana kalau aku tak boleh balik maksud aku selamanya disini? Kalau kau hilang macam sebelum ni sampai 3 bulan, aku macam mana?", kasihan Abu Wasim.

"Aku rasa kalau aku tidur ni kemungkinan besar, aku akan sedar dari mimpi ni... sebab aku dah jumpa kau. Atau .... sebaliknya kau yang akan bangun sebab kau dah jumpa aku", kami berbincang tak sedar sudah waktu untuk qiamulai. Imam muncul di depan pintu memanggil kami.

"Ayuh kita solat sunat mohon petunjuk".

Seumur hidup aku, tak pernah aku buat qiamulai. Surah apa yang dibaca imam lama sangat sehingga aku tersengguk-sengguk. Masa ini juga yang aku mengantuk, tadi segar-bugar mata. Sewaktu sujud menunggu takbir dari imam akhirnya aku terlelap juga.

**************************************************

Aku buka mata perlahan-lahan lihat berselirat wayar kiri kanan dan aku tak boleh bergerak. Tet....tet...tet... bunyi mesin kuat berbunyi.

Orang pertama yang aku nampak adalah Dr Bazli! Ah sudah aku kembali semula ke wad psikiatri apa yang sudah berlaku kepada aku lagi?

"Siti, sekarang boleh dengar suara saya?", aku mengangguk. Aku biarkan saja Dr Bazli memeriksa aku.

"Jangan panik, Siti awak dah tak sedarkan diri di hospital ini selama dua minggu. Awak ingat tak awak admit hospital sebab apa?", aku menggeleng. Memang aku betul-betul blur sekarang. Ingatan aku hanya pada dunia-dunia mimpi tadi.

Dr Bazli tersenyum.


-bersambung-