Ahad, 18 Disember 2016

IMPIAN TUA SENDIRIAN


Sedih atau tidak membaca tajuk kali ni? Bukan nak tujukan khas pada golongan yang tertentu namun artikel ini betul-betul tentang perkongsian cita-cita dan pandangan peribadi.

Ada banyak sebab mengapa ada sesetengah orang memilih untuk hidup berseorangan. Mungkin bagi segelintir dari anda akan memandang negatif dengan impian ini dan banyak juga kita menerima nasihat untuk sentiasa positif dan usaha untuk berkahwin, mencari keluarga lengkap seperti orang lain. Hidup sendirian tidak bermaksud terasing terus dari masyarakat. Tema hidup kita kadang-kala lebih kepada kebebasan. Bebas dalam prinsip serta bebas untuk membuat keputusan. Tidak terikat dan cabar kemampuan diri sendiri.

Fikir positif untuk hasilkan sesuatu yang positif. Mungkin kita tidak sedar bahawa golongan andartu atau bujang terjalak mempunyai sejumlah populasi agak besar dalam masyarakat kita, namun bagi adat pandangan orang Malaysia yang membuatkan golongan ini seperti samar dan tidak penting. Yang penting dan normal hanya golongan bekeluarga sahaja. Tidak begitu? Golongan andartu atau bujang terlajak lebih terjerumus dengan sindirian masyarakat.
Bukan semua antara kita yang diuji lengkap keperluan hidupnya. Mungkin ada beberapa sebabnya ada antara kita masih dalam kategori ‘terasing’ ini. Antara penyebab wujudnya golongan terpencil ini:
  1. Jodoh

Isu jodoh ini adalah rahsia Tuhan sepertimana kita tidak tahu bila ajal menjemput. Mungkin juga jodoh separuh jalan. Sukar untuk mengatur apa terjadi di masa hadapan hidup kita.

2. Sakit
Diduga menghidapi sesuatu penyakit. Terpulang pada pendapat masing-masing, contohnya isu sensitif, mandul, berpenyakit kanser terminal dan sebagainya. Ada yang berpendapat jika dapat elakkan keruhan isu di masa akan datang lebih baik dia terus tidak memberi bebanan pada sesiapa. Memang kita harus menghadiri sesi terapi psikologi agar terus positif dan lebih menghargai diri dan nyawa yang dipinjam. Namun penghidap sahaja yang memahami isu rumit ini jadi hormatlah pada pandangan mereka.

3. Keluarga


Ada yang memilih untuk tidak berkahwin hanya kerana ingin menjaga ibunya sepenuh masa. Sepenuh masa, maka tiada pendapatan tetap dan yakin tidak mampu untuk berkeluarga. Menolak beberapa tawaran untuk mendirikan rumah tangga kerana yakin dia tidak akan dapat memberi perhatian sepenuhnya pada ibu bapa.

4. Penyakit jiwa
Ada golongan yang lebih suka bersendirian dan tidak selesa ruangnya dikongsi. Contohnya, semua aktiviti di dalam biliknya terpaksa dikongsi, koleksi peribadi terpaksa dikorbankan dan banyak lagi barangan peribadi hilang hak privasi jika berkahwin. Mungkin bagi sesetengah orang perkara ini isu kecil namun bagi sesetengah yang lain mereka berasa tertekan sehingga perlu mendapatkan khidmat nasihat ahli psikologi.

5. Phobia
Contoh Chronophobia atau fobia dengan masa hadapan. Mungkin tidak masuk akal bagi anda namun fobia ini betul-betul wujud. Mungkin fobia ini dari pengaruh persekitaran seseorang ini sejak kecil. Ada banyak kemungkinan di mana dia adalah salah seorang mangsa dera atau pernah mengalami kegagalan dalam hubungan/ perkahwinan beberapa kali membuatkan dia memilih untuk hidup bebas bersendirian dengan selesa.

6. Sikap


Sikap yang dibenci dan menjadi punca penceraian adalah sikap negatif seseorang yang terpaksa kita terima. Sangat biasa jika mendengar keluhan dari seorang isteri bahawa mereka penat menguruskan hal rumah tangga dan keluhan suami pula mengatakan isteri tidak pandai mengurus hal rumah pengotor dan sebagainya. Isu ini bukan isu yang remeh.

Banyak lagi penyebabnya jika kita ulas dengan lebih mendalam. Mengikut dalam kebanyakan negara dari Korea dan Jepun, isu andartu dan bujang terlajak bukan sesuatu yang memalukan malahan masyarakat mereka tidak memandang serong golongan terasing ini. Banyak rumah mereka yang dicipta untuk kediaman perseorangan. Bagi mereka hidup sendirian tidak bermakna anda terasing tetapi anda lebih bebas untuk membuat banyak aktiviti dan hiburan bersama rakan serta komuniti.

Memang sebagai lumrah hidup ini berpasangan, namun ada juga yang diuji untuk bersendirian. Kita tidak tahu masa hadapan jadi kita harus hargai hidup sebaik mungkin. Pilih positif dalam kehidupan anda agar anda tidak akan ‘sendirian’. Ubah persepsi anda tentang artikel ini. Sebarang perkongsian pendapat dan cerita boleh dicatatkan di ruangan komen.

Rabu, 14 Disember 2016

STORY SPOILER a.k.a SPOILER PARADOX


Baik atau Buruk?

Artikel kali ini mengupas tentang isu story spoiler atau secara terma psikologinya dikenali sebagai Spoiler Paradox. Biasanya kita kaitkan dengan spoiler bahan bacaan, novel, drama atau filem. Namun kita akan dapat lihat sikap itu terdapat pada diri kita sebenarnya. Pasti ada segelintir dari jiwa kita mempunyai sifat hidden spoiler namun masih menafikan. Sepertimana perjalanan hidup kita, tiada siapa boleh menjangkakan cerita hidup masing-masing sejak lahir hingga akhir hayat. Yang tercatat hanyalah sejarah.

Hiburan bercerita adalah sifat manusia sejagat merentangi budaya, peradaban dan masa. Cerita menghubungkan idea kompleks, dari kepercayaan keagamaan ke nilai kemasyarakatan. Kajian terkini dalam jurnal Psychological Science menyatakan bahawa ‘Spoiler Paradox’ adalah seseorang yang lebih cenderung untuk terus mengetahui penghujung jalan cerita sebelum mengikuti sesuatu cerita dari awal. Bagi mereka ini tidak akan merosakkan nikmat sesebuah cerita malah ia akan membuatkan sesebuah cerita itu lebih menarik. Siapa setuju dengan fakta ini?

Kita pasti mempunyai seorang rakan yang merupakan ‘spoiler storyteller’ sehingga kita merasakan dia adalah gangguan emosi kepada sesebuah bahan penceritaan. Jika dia membeli bahan bacaan seperti novel, dia akan membaca babak terakhir dahulu. Selain dari menjadi spoiler storyteller, kita dapat perhatikan sikapnya itu pada latihan pembelajaran. Orang seperi ini lebih cenderung untuk mendapatkan jawapan dahulu berbanding dengan berusaha pelbagai cara menyelesaikan masalah dari awal. Dengan sikap inilah orang seperti ini sering memberi idea bernas untuk merungkaikan perumitan dengan solusi mudah dan lebih jelas.

Untuk sesebuah filem atau drama, dia akan menonton episod terakhir dan seterusnya turun seperti tangga. Pelik bukan? Seperti penceritaan berbalik (reverse story). Lebih lucu untuk mengetahui lebih terperinci dia akan mencari maklumat dari spoiler-spoiler yang lain, biasanya perbincangan di forum-forum.

Lebih menarik jika saya kupaskan dengan isu TIDAK SETUJU dengan golongan ‘spoiler’ ini dahulu. Seperti artikel saya sebelum ini, manusia sememangnya kompleks. Ini tidak bermakna semuanya dari kita adalah betul. Setiap perkara mempunyai kebaikan dan keburukan, bergantung pada penerimaan seseorang mengenai golongan Spoiler Paradox.

TIDAK SETUJU? Ada yang berpendapat apabila kita mengetahui pengakhiran cerita atau kesimpulan ‘as expected’ itu pasti akan terus hilang nikmat sesebuah cerita. Walau menarik macam mana sekalipun sesebuah cerita seperti yang diviralkan, kepuasan itu masih tidak maksimum. Biarlah mengikuti perjalanan penceritaan dari awal, satu per satu kejutan babak demi babak.

SETUJU? Sebenarnya jika kita fikir berada di tempat ‘Spoiler Paradox’ ini sebenarnya ada banyak isu tersirat boleh dikupaskan. Golongan ini hanya perlukan ‘booster’ sebagai kesimpulan dari perjalanan cerita kompleks. Booster itu akan membuatkan golongan ini penuh dengan tanda tanya. Cerita tergantung tanpa solusi akan menimbulkan persoalan kenapa, apakah, siapa, bila, dimana yang mencorakkan sesebuah perjalanan cerita sehingga mempunyai pengakhiran sebegini. Dari tanda tanya inilah membuatkan sesebuah cerita itu lebih menarik.

Ini berkaitan secara psikologi dikenali sebagai “teori minda”. Mempunyai suatu teori minda bererti mempunyai keupayaan kepada sifat minda iaitu keinginan, motivasi dan tujuan menjelaskan tindakan atau kelakuan. Ini penting kerana sebuah cerita baik memenuhi fungsinya dengan berkesan dan mampu berkomunikasi maklumat kepada orang lain.

Golongan spoiler ini mampu membuatkan sesuatu cerita yang rumit menjadi suatu motif jalan cerita yang mudah ini kerana kesimpulannya atau kesudahannya sudah diketahui. Keupayaan untuk menghadam secara terperinci prosesnya dengan mudah membenarkan anda lebih melibatkan diri dalam penceritaan dan mencapai pemahaman kepada satu peringkat yang lebih dalam. 

Sebenarnya golongan pasif memerlukan golongan spoiler ini untuk mengkaji sesebuah cerita dengan lebih mendalam. Mungkin sinopsis ringkas sahaja tidak dapat memenuhi kepuasan pemikiran setiap orang.

Apa pendapat anda? Adakah anda kini tergolong dari ‘spoiler paradox’? Lumrah manusia penuh dengan sifat ingin tahu. Logik atau tidak dengan golongan reverse psychology atau psikologi berbalik ini lebih menarik sebenarnya.

Selasa, 6 Disember 2016

PENYERAHAN KUCING PERCUMA?! (SEDIH)

Dengan air mata aku memulakan dengan Bismillah. Sebak sungguh untuk memulakan cerita kali ini.
Bermula dengan Brody, kami sekeluarga gembira dengan kehadiran kucing setelah lama memujuk ibu ayah untuk terima ahli keluarga baru. Sejak kehadiran Brody, kesihatan Ibu bertambah baik (Ibu lemah jantung, injap bocor). Ajaib bukan, kerana makhluk Tuhan sempurna ni buat kami satu family gembira. Alhamdulillah.

Brody macam ada satu aura yang dia boleh ajak geng2 dia datang rumah makan dan tidur. Maka keturunan Brody semakin berkembang. Sehinggakan ada beberapa kucing datang beranak rumah kami. Kami positif, kami adalah orang terpilih untuk jaga mereka. Kami sayangkan kucing seperti ahli keluarga. Sakit, kami bawa jumpa doktor, mati kami tanam dengan hormat bukan buang seperti sampah. Allahuakbar, sayang tu anugerah terbesar pada kami sekeluarga.
Baru-baru ni 3 ekor kucing beranak serentak sebelum sempat kami mengumpul dana sekeluarga untuk kasi mereka (mandulkan). Bukan nak berkira namun, kami bukan keluarga yang senang, maka kami consider bulan demi bulan. 16 ekor masih bayi kami seronok syukur tak terkira. Namun kami jujur kami tak mampu jaga semuanya, plus dikawasan perumahan kami jiran-jiran sering memberi racun. Kami betul-betul takut untuk melepaskan kucing keluar. Jika terlepas, Allah je tahu betapa risaunya kami. Sudah beberapa ekor kesayangan kami mati dengan azab. Satu demi satu pemergian mereka bukan kerelaan kami. Sedihnya terkesan selagi kami hidup.

SEMUANYA KALAU.......

KALAU aku kaya, aku tak perlu kerja, jaga kalian semua sahaja
KALAU aku kaya, aku akan buatkan rumah khas untuk kamu semua untuk hidup bebas gembira
KALAU aku kaya, aku akan kasi semua, cukup vaksin dan keperluan kesihatan maksima
KALAU aku kaya, aku akan berikan makanan terbaik untuk kalian

 Memang tak sampai hati nak lepaskan diorang. Ya Allah siapa tak cair tengok baby mcm ni?


Sakit ke cacat ke hitam ke macam mana pun, sayang tu tak pernah berbelah bagi. 

Saya ada mencari beberapa tempat untuk penyerahan kucing, namun semuanya bukan percuma. Rm100/ ekor. Saya tidak mampu untuk RM1600 untuk kesemua penyerahan. Saya faham apalah sangat RM100 untuk seekor. Kerana penjagaan mereka memang makan kos. 

Namun sedihnya kami sekeluarga tidak mampu untuk harga itu. Kami terdesak untuk mencari keluarga angkat mereka sebelum ibu ayah saya ke Mekah tahun hadapan. Sebak, berat hati kami untuk menceritakan masalah ini. 

Kami sedaya upaya laksanakan amanah sebaik mungkin. Bagi sesiapa yang sudi untuk menerima anak-anak kami sebagai ahli keluarga baru boleh hubungi kami. 

Nadey - 0133947735