Jumaat, 3 November 2017

GANTI



karya: #kamenrider

=================
“Juna….. abang balik ni..”
“Eh… bila abang balik? Abang bukan posting ke Sabah tiga bulan ke?”
“Tempoh darurat dah reda sayang, abang baliklah. Rindu sangat dengan isteri abang ni”
Aku terpempan.
Suami aku pulang dari Sabah tak sampai tiga bulan terus berubah jadi romantik. Mungkin dia betul-betul maksudkannya. Aku membiarkan saja dia memeluk lama melepaskan rindu.
Aku rindukan bau suami….
======================
Sebulan yang lepas…..
“Abang kali ni lama ke abang pergi?”
“Yang awak nak tahu sangat kenapa? Saya ni askar, bukan nak jalan-jalan. Awak tak payahlah nak sibuk hal saya!” Begitulah sikap suamiku sentiasa dingin, tak pernah lah nak ada peluang bermanja.
Kami bukannya baru berkahwin, sudah tiga tahun. Kalau tahun lepas aku ada peneman, namun umur anak kami tak panjang. Meninggal dunia tersedak susu ketika berumur 10 bulan. Sejak itu hubungan kami suami isteri seperti renggang.
“Bukan apa abang, saya nak minta abang mohon cuti je.. Saya nak luangkan masa untuk abang sepenuhnya. Kita baiki hubungan kita semula.. Saya ... saya teringin nak mengandung lagi. Abang…”
“Sudahlah, Juna. Cuti tahunan saya dah habis. Awak nak pergi berjalan ke mana pun, pergilah saya izinkan. Saya dah tak kisah!”
“Cara abang macam dah tak hiraukan saya, macam salah saya ke anak kita meninggal dunia?! Atau abang ada perempuan lain?” Naik terus suara aku sebaik sahaja ayat ‘tak kisah’ keluar dari mulut Waqeel.
“Ikut awak la nak fikir macam tu, saya nak pergi kerja” Perbualan kami habis begitu saja dan aku? Aku terkedu, tak menyangka kehidupan aku kini berubah sekelip mata.
Abdul Waqeel yang aku kenali sememangnya tegas, berdisplin namun dia sangat-sangat penyayang. Selepas kematian anak kami, dia meletakkan semua salah pada aku. Salah aku, ya... salah aku anak kami meninggal. Aku yang bunuh dia.
“Abang, Juna rindukan abang yang dulu……” Aku menangis kali ke….. entah setiap hari memang tak sah aku menangisi takdir.
===========================
Seminggu, sebulan, dan kini sudah masuk dua bulan selepas dia pulang dari Sabah. Waqeel seperti biasa bekerja disiang hari dan sepanjang dua bulan ini dia tidak lagi ‘ponteng’ pulang ke rumah walaupun lewat mana sekalipun. Yang paling penting, setiap malam kini dia sentiasa berada disisi. Jika dulu dia lebih meluangkan masa di kem askar berbanding di rumah. Kalau balik pun, kami seperti orang asing. Aku masak pun langsung tak dijamah.
“Buat apa lagi aku balik rumah? Wafi dah tiada. Tengok muka awak pun saya dah tak selera” Ayat ini yang sering diulang dulu setiap kali aku bertanya kenapa dia tak pulang ke rumah. Kematian anak kami memberi kesan yang sangat mendalam. Selama ini aku hanya bertahan setia kepada suami selagi lafaz cerai belum diucap. Aku bersedia jika itu takdirku.
Sebenarnya apa yang sudah berlaku? Abdul Waqeel yang aku kenal bukan begini waima sebelum berkahwin pun. Dia tidak lagi dingin, lembut tuturannya, gemersik suaranya yang garau dalam itu lembut dibenak halwa telinga ini. Bahasa tubuhnya seperti pelindung ‘sepenuhnya’. Rangkulan tangannya lembut dan sentiasa ingin bermanja. Kalau dulu waktu ‘honeymoon’ pun tak begini. Abdul Waqeel kini suka berkepit, kemana aku pergi kami seperti belangkas.
Lain sungguh dari dulu, namun.. aku suka.
Kini semuanya seperti hadiah bulan jatuh ke riba. Adakah Waqeel buka hatinya pada aku semula? Kenapa tiba-tiba? Apa pun aku sentiasa berdoa agar Tuhan memelihara hubungan kami suami-isteri.
“Abang, bangun bang… kita solat sama-sama” Kejut aku perlahan sambil mencuit-cuit pinggang suami tercinta. Berhati-hati agar wudhuk aku tidak terbatal…
“Juna…. Rileklah… “ Waqeel terus menarik aku dalam rangkulannya. 
Kami hanyut dan begitu juga waktu Subuh berlalu begitu sahaja kosong.

Bukan sekali, malah setiap kali diajak solat bersama. Mulanya aku rasa bersalah, setiap kali waktu solat perlu diganti. Aku mula merungut.
“Abang, kenapa setiap kali saya ajak solat, abang mengelak macam-macam? Sampai habis waktu solat pun abang tak pernah risau. Saya ….. saya tak pernah lihat abang berdiri atas sejadah solat sekarang..” Waqeel hanya respon dengan senyuman. Bingung aku dibuatnya.
Aku bahagia, namun semakin hari, semakin kuat curiga aku. Selain isu solat, aku musykil perihal bau badan. Ada masa bau badan Waqeel wangi, tapi bau bunga. Bunga jasmine?! Melur?! Entah!
Adakala baunya tengit, hapak. Dulu jarang sungguh badan Waqeel berbau kuat. Dia cukup menjaga imejnya sebagai seorang askar, kemas, bersih dan sentiasa wangi. Sampaikan aku dah tak ingat bau asal Waqeel bagaimana.
Pernah sekali suatu malam sedang lena kami beradu, aku terjaga kerana kulit lengan terasa merenyam gatal. Digaru-garu sehingga pedih akhirnya aku bangun mencari penyembur racun serangga ingatkan nyamuk. Aku buka sahaja lampu meja sisi katil kami, terkejut beberapa butiran hitam berkilat atas katil kami. Dalam mamai tu aku perati betul-betul.
KUTU BABI!
Kutu babi yang kekenyangan hampir sebesar kuku ibu jari aku. Tergolek mantik atas katil betul-betul bawah ketiak si Waqeel. Aku mencapai telefon bimbit menyuluh lampu ke arah ketiaknya, terus aku menjerit. Bukan satu dua tapi beratus mungkin seperti sarang, kecik besar semua saiz ada. Meriak seperti perkampungan kutu babi di ketiak Waqeel.
Bila dia terjaga kerana jeritan aku dan reaksinya.. ?
Reaksinya tenang saja menggaru-garu ketiakknya sehingga bertaburan butir-butir hitam kutu babi itu jatuh ke tilam. Trauma aku tidak habis di situ sahaja. Aku paksa tarik kain pelikat Waqeel periksa pula bahagian sulitnya juga penuh dengan haiwan jijik penghisap darah itu. Aku terkejut! Selama ini kami bersama? Adakah kutu babi itu juga pada aku?
Pengsan…
“Juna……. Bangun sayang..”
Ditepuk-tepuk muka aku beberapa kali namun aku masih tak berani untuk membuka mata. Apa yang berlaku tadi sungguh ngeri dan aku tak dapat bayang kalau kutu babi itu ada pada aku. Sebenarnya aku sudah lama tersedar. Lama aku berfikir.. adakah aku bermimpi?
Aku tak pasti apa yang membuatkan Waqeel berubah dan semakin pelik. Sebaik sahaja dia balik dari Sabah? Aku berniat untuk berbincang dengan Waqeel apakah yang sebenarnya sudah berlaku pada dia.
Sebaik sahaja aku merasa Waqeel menghampiri terus aku bangun. 
“Abang kenapa awak macam ni ya?”

“Kenapa?” Soal Waqeel dengan muka bersahaja. Aku perati je atas bawah. Aku menganggkat tangannya periksa ketiaknya yang penuh …..
“Eh!”
“Kenapa ni angkat ketiak orang ni?” Tegur Waqeel.
“Kutu babi?”
“Kutu babi apa? Awak ni mengigau je keje?” Laju je tangan Waqeel hendak mencuit hidung. Aku mengelak. Pelik juga, setara dengan bau tengit. Hilang! Macam tahu-tahu je aku nak ‘sound’.
Misteri kutu babi dan bau ketiak tengit mati begitu sahaja. Seolah-olah aku yang bermimpi.
====================
Malam kelmarin aku bermimpi..
Aku mengandung, bayi tendang-tendang perut aku. Perasaan itu seperti menggamit kenangan sewaktu mengandungkan si Wafi dulu. Pagi itu juga aku ke klinik, doktor dah sahkan aku dah empat minggu. Ya Allah Tuhan je tahu betapa gembiranya aku.
Waqeel lagi la gembira. Malam tu dia borong beratus-ratus papan telur. Kalau dulu Waqeel loya kalau aku masak lauk telur sekarang ni mentah-mentah pun dia telan, macam biawak. Bosan juga hari-hari lauk telur, tapi yang peliknya aku pun terikut selera suami. Mungkin selera baby ni juga ikut bapanya.
Anak yatim seperti aku, tiada apa yang paling menggembirakan selain Waqeel, arwah Wafi dan bakal anak ini. Melihat Waqeel yang menjerit keriangan cukup membuatkan jiwa ini terisi. Seolah-olah dunia kembali seperti dulu, lengkap dan kini lebih bahagia.
========================
Suatu hari, aku celik je mata lihat suami tiada. Seperti biasa, pasti Waqeel sudah ke tempat kerja. Aku bangun awal kali ini, lima minit sebelum subuh. Terasa perutku mengeras, ditekan-tekan dan sesekali baby menendang kuat sehingga jelas tapak kakinya kelihatan pada kulit perutku.
“Eh baru tiga bulan lebih kan? Besar sudah anak mama ni. Sayang janganlah tendang mama kuat sangat. Sakit..”
Mulanya aku rasa sakit itu akan reda nanti tapi makin lama makin sakit. Nak bergerak bangun pun aku tak larat. Takut pula untuk ganggu Waqeel di tempat kerja. Jika dulu aku diherdik kerana mencarinya di kem askar. Namun aku yakin, Waqeel tidak lagi begitu.
“Assalamualaikum Fauzi, boleh sambungkan akak pada abang Waqeel? Akak ada hal penting sangat ni. Akak tak tahan sangat sakit perut ni..” Hampir-hampir aku mengalirkan air mata menahan sakit. Makin rancak tendangan kandungan ini tak berhenti. Rasa mahu meletop saja perut ini. Ari-ariku nyilu... adakah tanda-tanda aku sudah bersedia untuk bersalin? Atau keguguran?
“Ya Allah.... akak!! Demi Allah saya dan yang lain dah lama mencari akak. Kami ke rumah, kosong. Sampaikan unit khas kami pun tak berjaya mengesan jejak akak. Akak sekarang kat mana? Saya pergi sekarang. Akak.... tolong jangan letak telefon ni sampai saya kata letak!” Tegas suara Fauzi merangkap rakan baik Waqeel.
Aku yang bingung ni hanya mendengar arahan. Dalam keadaan sakit yang tak terhingga itu aku masih memikirkan kenapa Fauzi kedengaran begitu cemas. Apa sesuatu mungkin telah berlaku pada Waqeel gamaknya. Terbit saja nama Waqeel aku terus menangis tanpa sebab..
“Apa yang dah berlaku Fauzi? Beritahu akak....”
“Saya rasa ada yang tak kena pada akak. Kami datang sekarang”
Pantas Fauzi mematikan talian. Sekali lagi tendangan yang lebih kuat dirasakan. Aku terus pengsan.
=====================
Sedar-sedar aku di hospital. Doktor menghampiri..
“Puan, kami terpaksa membuat pembedahan segera untuk menyelamatkan anak lelaki Puan. Alhamdulillah semua selamat”
“Tapi bayi saya baru berusia tiga bulan doktor..”
“Mana mungkin doktor klinik kesihatan itu mungkin membuat kesilapan ralat membuat rekod. Bayi Puan sempurna sifat dan sihat seperti bayi 9 bulan”
Mana logik, 9 bulan! Anak kami arwah si Wafi meninggal setahun yang lepas dan sejak itu Waqeel tidak menyentuh aku. Kami baru bersama semula tiga bulan ini. Mustahil! Tak berani pula aku memberitahu doktor. Takut dituduh perempuan sundal pula mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Tak lama kemudian, Fauzi datang dengan beberapa lagi anggota. Aku mencari kelibat Waqeel, tiada. Muka masing-masing ketat, tiada senyuman. Sah! Mesti sesuatu telah berlaku pada pada Waqeel. Dada ku kembali berombak, di mana Waqeel.. Waqeel tahu mengenai anak ini. Pasti dia mengamuk... lafaz cerai kini terngiang-ngiang dalam benak minda.
“Akak beritahu saya, apa yang dah berlaku dengan akak?” Fauzi dan yang lain serius. Beza sungguh dengan Fauzi yang aku kenal sentiasa tersenyum dan suka bergurau. Aku tak tahu nak mula dengan apa. Aku risau, mereka tahu aib aku tentang bayi yang baru lahir ini. Yang pasti aku tak pernah curang, aku tak pernah ada niat langsung nak buat perkara keji walaupun aku teringin sangat nak anak.
“Akak.... Abang Waqeel dah takde kak.....”
“Hah??!! Takde apa??” Lain sungguh dari apa yang aku jangka.
“Abang Waqeel gugur syahid masa darurat kat Lahad Datu tiga bulan lepas kak... Oleh kerana masa tu kami masih mencari mayat abang yang hancur terkena letupan itu kami merahsiakan dahulu sehingga jumpa lengkap anggota badan abang. Setelah seminggu barulah kami terpaksa membuat laporan senarai anggota yang gugur. Senarai anggota yang gugur juga mendapat liputan media, takkan akak tak tengok tv kak? Surat khabar? “
“Kami menghubungi akak dan famili terdekat langsung tiada respon mengenai akak. Tiga bulan kami mencari akak, ke rumah kami pergi. Tak cukup lagi, kami paksa anggota khas kami mencari akak. Sehinggalah hari ni... syukur ya Allah KAU kabulkan doa kami dalam usaha mencari akak” Panjang lebar penjelasan namun aku sumpah bingung.
“Akak tak pernah pindah Fauzi. Kau datang rumah dan bawa akak ke sini itulah rumah kami Fauzi. Mana mungkin Waqeel dah mati!!! Tiga bulan dia bersama akak sentiasa, kami dah berbaik semula dan kini kami ada orang baru pula,” aku masih tak faham lawak apakah yang cuba mereka sampaikan.
“Kami rasa yang menjelma itu bukan manusia.. Puan. Kami berjam-jam berada di perkarangan rumah Puan pagi tadi dan Alhamdulillah Allah buka hijab kami untuk kami selamatkan Puan. Terus rumah yang kosong itu kami lihat berpenghuni dan kami nampak akak sudah terbaring kaku..” seorang lagi bersuara agar aku lebih dapat menghadam.
Sebaik saja mereka menyebut ‘bukan manusia’ terus-terus aku teringat macam-macam perkara pelik berlaku sepanjang tiga bulan dengan perangai pelik Waqeel.
"Siapa yang GANTI abang Waqeel kamu selama ini?!", berderau darah. Aku masih tak boleh menerima berita mereka. 'Waqeel' yang tiga bulan ini diisinya jiwa aku dengan penuh kasih sayang sehingga aku tak berani mempersoalkan perihal lain seperti tidak solat, keinginan seksnya bertambah, bau busuk badannya, khalayan serangan kutu babi, telur dan baru aku sedar yang aku hanya berjumpa Waqeel pada waktu malam sahaja. Allahhh....
"Siapa Waqeel yang tinggal bersama akak selama ini??" Aku mula sebu tak dapat menahan linangan air mata sambil memandang Fauzi dan rakan-rakannya yang lain.
“Apa yang perlu akak buat sekarang Fauzi? Anak tu??.........” Aku meraung, hilang malu.
“Assalamualaikum Puan.... waktu susukan bayi,” jururawat masuk mencelah menolak troli masuk ke bilik dan meletakkan bayi di sisi aku. Kami semua terbungkam diam. Aku memandang Fauzi dan rakannya meminta jawapan.
“Saya mohon pelawat memberi ruang pada ibu menyusukan bayi sebentar” Jururawat itu memberi signal halus supaya pelawat keluar dari bilik.
“Anak kedua kan? Tak perlu lagi saya ajar awak bagaimana nak menyusukan bayi. Nanti bila dia dah kenyang, awak tekan butang ni saya datang ya” Pantas jururawat itu keluar meninggalkan kami berdua.
Diam..... kaku.... yang bergerak hanya bayi. "Erkkkk......erkkkk...."
Kelihatan dia tidak berdosa... tapi aku yakin dia bukan seperti bayi yang biasa. Dia HYBRID!

"Juna......." Suara itu aku cukup kenali.
"Juna, abang ni sayang...... terima kasih kerana lahirkan anak kita. Abang sayang Juna sangat-sangat... Tapi anak ni tak boleh hidup di dunia ini. Juna ikut abang ya sayang......"
Tetttttt .............Tetttttt.........Tettttt...
Bising alat pengecam nadi berbunyi, Fauzi dan rakan yang lain masuk meluru. Jururawat dan doktor berlari anak ke arah bilik.
"Puan Juna hilang!!!"
-tammat-
Nota: Cuba periksa ketiak masing-masing ada kutu babi tak?

Tiada ulasan: