Selasa, 14 Januari 2014

PANGLIMA HITAM - Part 1

"Umur awak berapa Inspektor Ira?", soal Sarjan Mael yang sudah beruban tapi muka gatal yarabbi.

"29 tahun, erm Febbuari ini masuk 29 tahun", keluh dalam hati. Tahun hadapan aku akan masuk alam 30-an. Tiada siapa berani masuk meminang aku. Yalah, badan melekat pistol kiri kanan, pisau dan gari... lelaki mana mahukan aku. Lagi-lagi aku berjaya memperolehi jawatan sebagai inspektor dalam usia muda selepas aku berjaya mengetuai beberapa misi. Segan lelaki nak meminang aku. Apa nasib badan, tapi perlu ke aku terdesak untuk kahwin? Misi aku masih tergantung.
"Bila nak kahwin?", Sarjan Mael sudah naik bulu bertanya soalan seakan berbisik merapatkan diri ke tubuh aku. Tangannya mula menghampiri punggungku.

"Bila Sarjan Mael sudah bersedia untuk menghadap ilahi?", malas aku layan orang tua ini aku terus beredar membiarkan dia tercengang dengan soalan yang menusuk kalbu itu. Teruk betul perangai orang tua ini!! Nak kena ajar sikit. Dia sama umur Allahyarham ayah kot! Gila tak sedar diri, kesian famili dirumah. Nasib baik dia kawan ayah, kalau tak aku pasti tumbuk muka dia yang hodoh bertahi lalat tu.

Perut lapar, hari ini aku nak ambil cuti separuh hari untuk pulang ke kampung. Maka aku tahan lapar semata-mata untuk bedal masakan ibu. Ermm gulai lemak ayam, sambal belacan dan kangkung goreng belacan! Mantap. Aku boleh tambah 3 pinggan setiap kali ibu masak lauk ni.

Dengan pecutan kawasaki ninja hijau kesayangan aku, perjalanan dari Bukit Aman ke Bentong ambil masa dalam sejam sahaja. Lepas semua tekanan bila bawak moto laju-laju. Sewaktu aku memasuki lorong kawasan perumahan, aku melihat dari jauh rumah usang aku tidak lagi semeriah dahulu. Ibu tinggal seorang setelah gugurnya ayah mati syahid 5 tahun dahulu. Ayah ditembak mati oleh penjenayah yang menyamar sebagai orang awam. Aku terus memakir moto ditepi rumah dan ke kubur Allahyarham ayah pula tidak jauh beberapa langkah dari rumah, memberi salam dan sedekah al Fatihah. Segar merah tanah dihiasi pokok melur yang rendang di kepala batu nisan ayah. Nampak bersih, mungkin ibu datang hari-hari berborak dengan ayah.

Ayah, merupakan seorang idola dari aku kecil sehingga sekarang. Sumpah jarang aku melihat pegawai polis yang berpangkat rendah bersemangat waja seperti ayah. Walaupun hanya berpangkat Lans Koperal tetapi ayah membuat kerja sekeras pegawai berpangkat tinggi. Namun Allah lebih menyayangi ayah. Musuh yang ayah cari masih bebas. Dan aku, aku orang yang bertanggungjawab meneruskan legasi dan pesanan Allahyarham untuk menangkap manusia celaka yang terkenal dengan nama Gekko.

Gekko, manusia keji, kejam dan bukan manusia kerana hatinya sekeras batu berlian yang bukan calang untuk dihancurkan. Bunuh manusia bagaikan bunuh semut, begitu mudah! Pelik, nama Gekko terus hangat sehingga kini, jenayahnya berterusan tetapi kami masih belum dapat mencari dan menangkap dia. Itu adalah satu misteri tak mampu kami ungkaikan. Aku telah banyak habiskan waktu aku dengan menyiasat Gekko. Banyak mata-mata yang aku upah untuk menyiasat, Gekko seolah-olah tak dimakan usia. Masih bergetah, muda. Ilmu kebal apa yang dia pakai. Hah! Gekko, yang aku tahu cicak je. Cicak tokek! Lincah, berbisa, misteri.....

Tapi aku yakin sepandai-pandai tupai melompat akhinya tersungkur ke tanah jua. Sehingga kini, siasatan sudah menjangkau 13 tahun namun dia masih bebas membuat dosa. Mungkin, Allah dah takdirkan aku untuk hapuskan langau berbisa ini. Kes Gekko ini aku telah membuat satu kumpulan penyiasatan rahsia. Ini kerana Gekko amat licik, banyak kes jenayahnya ditutup kes senang-senang disebabkan bukti yang kami kumpul samar-samar. Ramai mangsa mati sia-sia tanpa pengadilan sehingga sekarang. Aku menubuhkan kumpulan siasatan rahsia ini seramai 5 orang. Inspektor Faizal rakan sejawat aku yang setia bersama aku sejak awal kemasukan aku, pasukan gerakan khas di Bukit Aman ini. Koperal Damia, Anis, Yoo Han dan Lans Koperal Hakim yang bertempat asing-asing di area Selangor. Orang terpilih ini semua rakan baikku dan orang kepercayaan aku setelah aku menilai sejak 8 tahun bekerja sebagai anggota polis.

"Ayah, akak janji dengan ayah akak usaha hingga titisan darah yang terakhir untuk tangkap Gekko", perlahan esakkan aku sedih melihat kosong pada kubur ayah. Janji aku pada ayah. Aku tak pernah rasa untuk berputus asa.

Dari jauh ibu melihat motor hijau aku terus dia menjerit nama aku. "Dirah.....Dirahhhhh masuklah rumah dulu cium tangan aku ni ha!!!!!!".

Pantas aku mengesat air mata dan berlari mendapatkan ibu. Terasa ringan kaki untuk berlari memijak rumput-rumpat yang menutup bumi. Tanah kampung terasa seperti lembut dan lembab tak seperti di Kuala Lumpur. Hijau tapi semuanya kering hidu asap-asap metropolitan yang berdebu.

"Ibu............lapar", ayat yang pertama keluar setelah berbulan aku tidak bertemu ibu. Ibu terus kedapur dan siap hidangkan makanan. Ibu kelihatan dimamah usia. Kedutan dimukanya buat aku terkejut. Ya Allah kasihan ibu tinggal seorang dirumah. Rasa bersalah melihat kesungguhan ibu untuk hidup sendirian dirumah ini. Ibu amat kuat. Aku hanya mengharapkan jiran-jiran untuk memantau keadaan ibu. Walaupun kamera litar tutup telah dipasang secara sembunyi untuk aku perhatikan ibu sepanjang masa namun aku masih takut akan keselamatan ibu. Anggota polis seperti aku mempunyai ramai musuh berdendam.

"Kamu tak ade calon kak?? Ibu sunyi la....nak juga cucu seorang. Kamu tak boleh ke kerja jadi pegawai biasa duduk di office buat laporan? Kenapa mesti nak kene jadi bos sana sini. Ibu risau kamu tinggalkan ibu macam ayah!", perlahan sahaja suara ibu. Risaunya menggunung. Maaf ibu, ini amanah Allah.

"Ibu, calon ada nanti akak bawak pulang rumah ya", ingatan aku hanya pada Inspektor Faizal. Hah, kasihan dari dulu misi penyamaran dia je lah mangsa aku. Suami olok-olok. Kami siap ada kad akuan nikah olok-olok lagi. Muka Faizal sudah redha. Tapi mengapa aku tak pernah rasa sukakan Faizal. Jika aku mahu, Faizal rasanya mempunyai respon positif. Tapi hatiku masih keras untuk fokus pada Gekko.

Muka ibu terus berseri bila aku menyatakan aku mempunyai calon suami. Rasa berdosa pula menipu. Tak pe asalkan ibu gembira. Selepas waktu makan, ibu keluar bergosip dengan jiran-jiran. Aku masuk ke bilik ibu dan baring-baring di katil. Bau katil, segar macam bau ibu dan Allahyarham ayah. Ibu suka letakkan bunga melur dibawah bantal dan cadar. Rindunya pada ayah. Tiba-tiba aku teringat kotak bawah katil peninggalan ayah. Terus aku menyorot badan ke bawah dan mencapai kotak yang masih cantik. Nampaknya ibu sentiasa bersihkan bilik ini.

Perlahan aku membuka kotak tersebut, beberapa nota penuh tentang siasatan Gekko dan beberapa keping gambar. Adakah ini Gekko yang aku cari? Bagaimana rupanya kini. Sejak 2-3 bulan mata-mata tidak berjaya menjejak dia. Kemana dia menghilang. Ayah juga mencatat beberapa ayat pendinding, beberapa tangkal yang diselit pada saki baki notanya. Tangkal itu dibalut dengan kain kuning. Hati aku meronta untuk membuka balutan itu. Terselit satu nota pada tangkal itu.

"Sluku-sluku bathok enang wo elo, 
Bathok’e ela-elo, 
Si romo menyang solo, oleh-oleh’e payung muntho, 
Mak jenthit lo-lo lobah, wong mati ora obah,
Yen obah medheni bocah…"

Tidak semena-mena mulut aku membaca nota itu sambil memegang tangkal itu.

Tiba-tiba 

"Kau siapa?", suara garau dari arah belakang. Pantas aku menoleh, satu jasad berpakaian seperti pahlawan melayu. 

"Allahuakbar.....siapa kau?" soal aku semula. Aku sorokkan getaran suara aku yang amat cuak melihat lelaki ini

"Aku kenal kau, kau anak Din. Aku Panglima Hitam. Kau kenal aku?", jawab pahlawan melayu itu. Aku tercengang! Ini manusia ke jin? Nama Panglima Hitam seakan biasa aku dengar sejak Allahyarham atuk meninggal. 

"Hah, kau sama macam ayah kau. Pengecut! Kau cari si Gekko jugak kan??? Aku harap kau tak degil macam ayah kau!", berderai Panglima Hitam gelakkan ayah aku. Kurang ajar jin ni. 

"Kau yang seru aku, kau tuan aku sekarang!!! Aku boleh tangkap Gekko untuk kau!!! Kacang je", adui apa aku dah buat? Tuan? Gila apa aku dah bela hantu pulak sekarang. Adui susah la aku nak mati nanti! Kena bukak bumbung la...macam atuk dulu. Habis!



Bersambung......

Tiada ulasan: