Khamis, 21 April 2016

Target Hidup Sebelum Mencapai Umur 30-an


Setiap orang mempunyai cita-cita dan tujuan target dalam hidup. Namun dengan ekonomi yang tidak stabil, kita perlu realistik dengan keperluan dan masa hadapan setara dengan peringkat umur kita. Rata-rata fasa umur yang mula bekerja adalah seawal 17 tahun iaitu selepas tamat SPM, jika rezeki untuk menyambung pelajaran, maka biasanya umur 23 atau 25 tahun. Pada waktu ini ramai yang gigih mengumpul duit untuk tujuan berkahwin ataupun kemajuan diri sendiri. Di sini saya akan kongsikan target yang perlu dicapai sebelum anda mencapai fasa umur 30-an.

1.    Aset (rumah, kereta)

Pada saat kita mula bekerja adalah waktu untuk mengumpulkan duit deposit bagi pengumpulan aset. Ramai biasanya membuat pelaburan emas, pelaburan ASB dan sebagainya. Di zaman muda, rumah dan kereta adalah satu target yang membawa manfaat. Perbezaan aset kereta dan rumah adalah dimanda pembelian rumah adalah perlaburan menguntungkan pada jangka masa panjang kerana harga rumah semakin meningkat manakala aset kereta lebih kepada kemudahan ‘keperluan’ untuk bergerak. Tetapi ketahui bahawa nilai kereta akan turun dari semasa ke semasa.

2.    Peminjaman Pembelajaran

Kini peminjaman pembelajaran boleh dilangsai dengan akaun kedua KWSP. Ada juga yang membuat pembayaran secara bulanan. Bagi sesetengah individu, pembayaran secara ‘langsam’ lebih menguntungkan kerana ada pengurangan peratusan dari jumlah bayaran yang sebenar. Maka sebelum umur 30 tahun, kamu mampu melangsaikan hutang sewaktu belajar dahulu.

3.    Simpanan bank

Di usia muda inilah masa untuk mula membuat simpanan. Sama ada kamu mempunyai komitmen atau tidak, pastikan kamu membahagikan sedikit simpanan pendapatan kamu setiap bulan.

4.    Insuran

Insuran adalah salah satu perancangan yang wajib bagi setiap orang. Ia amat berguna sebagai kegunaan sewaktu kecelakaan belaku, samada sakit, kemalangan dan sebagainya di mana memakan kos perbelanjaan yang tinggi. Terdapat banyak pelan insuran yang ditawarkan jadi pilih pakej insuran mengikut kemampuan kerana ia amat membantu ketika anda memerlukannya satu hari nanti.

5.    Melancong

Melancong bukan sahaja ‘self-reward’ tetapi satu pencapaian peribadi. Pastikan anda membuat satu senarai beberapa negara yang anda ingin lawati serta lingkungan bajet yang anda mampu kumpulkan. Elakkan berhutang , biarlah anda pergi melancong dengan hasil titik peluh sendiri. Setiap perjalanan membuatkan anda lebih bersemangat untuk mengumpul simpanan dan anda akan lebih menghargai setiap hasil titik peluh anda.

Menjelang umur 30 anda sudah ada beberapa asset, langsai hutang lama seperti hutang belajar, mempunyai simpanan, insuran serta masih boleh menikmati kehidupan dengan melancong. Masih tidak terlewat untuk set target ini walaupun anda sudah melewati 30 tahun.

Apa target-target hidup yang anda ingin capai sebelum fasa 30an? Kongsikannya bersama kami di ruangan komen di bawah.


1 ulasan:

Nurul Ain Zulkarnaind berkata...

sama lah.. nak bebas hutang kalau boleh