Rabu, 28 Jun 2017

INCEPTION, MIMPI DALAM MIMPI - Part 1


Aku dapat rasakan roh berdesup kembali ke tubuh..

Aku sudah sedar tapi mataku berat untuk dibuka.

Sayup-sayup kedengaran kecoh diluar bilik. Diamati perlahan-lahan ianya bukan suara keluargaku, tapi orang luar. Bukan penceroboh mungkin jiran-jiran yang bertandang kerana berselang-seli dengan hilaian tawa ibu. Lega, mereka masih ada dan aku masih berkesempatan dipinjamkan nyawa lagi.

Tak elok anak dara terbongkang, sedangkan ramai tamu datang. Baik aku bangun. Terkebil-kebil menghadam suasana sekitar aku kini. Cerah, angin sepoi-sepoi membelai langsir bagaikan semuanya berlaku dengan perlahan, slow motion. Tenangnya... tapi,

Sejak bila pula aku menukar langsir bilik berwarna hijau lembut?
Sejak bila pula bilik aku berdekorasi ala-ala melayu sangat ni? Katil kayu berkelambu, siap ada meja solek kayu berukir corak unik klasik, mata tertacap pada sikat kayu serius menarik.
Baju-baju berlipat susun rapi di rak yang sejujurnya aku tak suka melipat baju sebegitu dan biasanya semua baju-baju bergantung dalam almari. Aku paling tak suka melipat baju, leceh!
Paling ketara adalah dinding bilik ini berkayu...tidak buruk tapi cantik. Sederhana tapi efek klasik tu membuatkan aku rasa seperti berada di sebuat chalet mewah diluar bandar.
Betul ke ini bilik aku? Aku dimana ni?

Kini mata lebih segar, aku paksa tongkat badan dalam posisi duduk. Ditekan-tekan katil serius keras, macam katil orang lama-lama. Melihat cadar dan sarung bantal juga bercorak orang dulu-dulu, bunga besar-besar warna pastel. Ini berlainan sungguh dengan citarasa jiwaku. Bilik aku yang sebenar bukannya begini. Dinding batu, bercatkan kelabu kuning menaikkan tema moden kontemporari dihiasi penuh dengan bingkai gambar hasil lukisan aku sendiri dan gambar-gambar artistik, sengaja bilikku disuramkan dengan langsir hitam terapi minda untuk penghidap insomnia seperti aku. Terdapat set komputer berada dihujung kaki katil, kiri almari baju dan rak buku yang tinggi sehingga ke siling bilik.

Ya aku kini berada di tempat asing, kerana segalanya berlainan. Tapi sepertinya aku pernah kesini... adakah aku masih belum tersadar daripada mimpi?!

Pantas aku menyelak selimut dan bangun keluar dari bilik. Semua yang berada diruang tamu kini terdiam serentak dan memandang kaget. "Bangun pun kau, lekas mandi. Sudah lewat nanti imam marah", wanita yang bersuara itu bukannya ibu kandungku, namun aku mengenalinya.

Sah, aku kembali pada mimpi tiga tahun lepas!

Dalam tak sedar aku termanggu dihadapan pintu, sekali lagi aku dijerkah. "Kau termenung apa lagi Siti? Lekas, baju nanti ibu hantarkan ke bilik, ayuh lekas mandi", kali ini wanita itu bangun menggesa aku bergerak. Suaranya mirip ibu kandungku, namun ianya hanya suara.  Rupa parasnya wanita ini sungguh jelita, seperti tidak layak gelarnya sebagai ibu kerna persisnya seperti anak dara.

Siapa dia?

*****************************************

Che Waiduri diberi nama, yang di alam ini dia ibuku, manakala Wan Yahud adalah bapaku. Aku mengenali mereka sejak tiga tahun lepas yang mana setahun aku merana dengan masalah psikologi menyebabkan aku sering mimpi bersambung. Aku berjumpa mereka setiap hari malah pernah aku berterusan tidur seminggu sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital kerana hampir koma mati otak. Waktu itu, seminggu didunia nyata bagaikan bertahun disana sehingga aku sudah selesa berada disana. Berbagai usaha dilakukan, terapi psikologi, berubat ustaz, bomoh?? Sesungguhnya aku teramat bersyukur dikurniakan ibu bapa kandung yang tak putus asa dengan anaknya yang mental sebegini. Bagaimana aku tersesat didunia Che Waiduri dan Wan Yahud sehingga kini aku tiada jawapan.

Merana? Semuanya berlaku akibat putus kasih dengan seorang jejaka bukan seagama dan sebangsa menyebabkan iman aku diuji dengan kemurungan yang sangat hebat. Beberapa kali aku cuba untuk menamatkan riwayat sendiri namun Allah masih memberi peluang berpuluh kali untuk meneruskan kehidupan. Beberapa kali juga aku pernah mengamuk sehingga terpaksa diberi ubat tidur. Ini bak kata pepatah, kerana cinta manusia jadi hina dan lemah. Kesimpulannya, aku meroyan sehingga hilang pedoman.

Selama setahun (kiraan tempoh di dunia nyata) aku bertemu dengan Che Waiduri dan Wan Yahud namun di alam mimpi bagaikan bertahun-tahun aku berada disana. Kali pertama aku berjumpa mereka sedar-sedar aku sudah berada di rumah mereka. Katanya mereka menjumpai aku sesat dihutan belakang rumah dan yang paling pelik umur aku waktu itu lebih kurang belasan tahun, Ya belasan tahun, kerana rupa parasku masa itu masih tak matang, seperti dalam movie 13 going on 30 tapi versi sebaliknya.

Mulanya aku ingatkan aku betul-betul sesat tapi tak logik pula jasadku waktu masih remaja sedangkan umurku sebenar 26 tahun. Pelbagai spekulasi yang aku fikirkan, mungkin aku betul-betul hilang waras dan mungkin juga aku dah lama mati. Wan Yahud adalah orang yang paling gigih membantu aku sehingga ke beberapa kampung seberang mencari ibu bapa aku. Serius pelik aku tak jumpa sebuah kereta pun. Hanya basikal dan kereta kuda, membuatkan aku merasakan yang aku berada jauh dari bandar. Betul-betul kampung terpencil.

Puas berusaha mencari jalan pulang. Menurut Imam disana, aku bukannya berasal dari sini (dunia mereka) tetapi dari dunia lain dan kini aku berada dalam keadaan separa koma di dunia realiti. Setelah diberi air penawar oleh imam tersebut aku tersedar dari mimpi dan dengan itu barulah aku memahami semua yang berlaku ini adalah mimpi. Namun ia tidak berakhir begitu sahaja, setiap kali aku tidur aku akan berjumpa mereka dan menyambung kehidupan harian seperti biasa.

Setelah beberapa kali aku melawat mereka disana, Wan Yahud menyatakan hasratnya mengambil aku sebagai anak angkatnya. Pasangan ini sememangnya belum beroleh zuriat sendiri beranggapan aku adalah anugerah Tuhan kepada mereka. "Mungkin Tuhan menghantar kau sementara disini sebagai hadiah kepada kami. Aku sudi menjadi penjaga kau, aku tahu ini sementara tapi walau apa pun terjadi aku tetap menganggap kau sebagai anak aku sendiri. Kau boleh panggil kami abah dan ibu, bila tiba waktu nanti kau boleh pulang semula ke tempat asalmu", menusuk jiwa kata-kata Wan Yahud yang sehingga kini jika teringat ia boleh mengundang sebak dan airmata.

Kali terakhir aku berjumpa mereka adalah tiga tahun lepas selepas beratus sesi terapi psikologi aku jalani dan berapa juta pil gila aku telan. Persoalannya apa yang sudah berlaku menyebabkan aku kembali ke dunia mereka lagi? Aku frust lagi ke? Aku koma lagi?

*****************************************

Usai mandi, sekembalinya aku ke bilik terlihat bergantung baju kurung hijau lembut cantik dijahit manik mutiara. Tekstur kain tersebut selembut sutera  menyebabkan aku tersenyum tanpa sedar. "Cantikkan? Ibu menyuruh Raeng menjahitnya minggu lepas untuk kau. Kau suka?", aku mengangguk, masih kagum dengan hasil tangan halus Raeng. Tak sangka rakan sepermainan aku itu cukup berbakat walaupun dia seorang lelaki. Tanpa segan silu, ibu sendiri menyarungkan baju cantik itu ke tubuhku. Aku membiarkan seperti anak kecil menunggu untuk disiapkan. Rambutku disisir rapi dengan sikat kayu yang dari tadi menarik minat aku. Akhirnya disarungkan tudung berenda halus. Serius macam pengantin, cantik.

"Ibu, dengan siapa aku bernikah?", soal aku kini.

"Wahai Siti, kau berangan ya? In sha Allah kau akan ketemu jodohmu nanti. Siap sudah kau tunggu ibu ya, aku sarung tudung dan kita gerak sekali".

Aik? Kalau bukan aku yang bernikah, siapa? Cantik begini bukan aku yang bernikah? Seronok pula melihat diriku didalam cermin. Part yang paling aku suka di alam mimpi ini adalah aku seorang wanita langsing dan sungguh cantik. Sila bayangkan aku persis artis NurSajat tu. Hidungku tinggi mancung, kulitku mulus, bibir munggil kemerahan dan mataku tak perlu pakai maskara dan eyeliner. Sudah cukup cantik dan sempurna, boleh bayangkan ibuku Che Waiduri jelita bagaimana? Ternyata dia berganda lebih cantik, lebih cantik dan asli dari Rozita Che Wan tu.

"Cantiknya anak abah, jom kita gerak sekarang nanti Imam marah pula kita lambat", perlahan daun pintu dibuka, kini Wan Yahud menanti aku dengan penuh segak bersampin.

"Abah mahu bernikah ke segak begini?".

"Mengapa abah perlu bernikah lagi sudah cukup ibumu seumur hidup abah", cukup romantis. Seorang lelaki gagah, bermisai garang tak sesuai langsung dengan wataknya yang tenang dan berhemat tuturnya. Ibu keluar dari bilik kemas bertudung sambil tersenyum melihat aku dan abah.

"Ibu... abah... minta maaf sudah lama aku tak ketemu ibu abah", aku mencium tangan mereka dengan hormat dan penuh kerinduan. Mereka banyak berjasa pada aku.

"Rumah kami sentiasa menunggu kehadiran kau anak.... apa yang sudah berlaku disana sehingga kau pergi tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal?", soal Wan Yahud. Mereka tahu mengenai perihal mimpi dan alam kami berbeza. Respon mereka tidak terkejut kerana banyak rahsia Allah yang tersirat dan semua tak mustahil.

"Aku pun tak tahu abah, ibu bila aku tidur semula aku tidak lagi boleh berjumpa kalian. Bagaikan pintu dunia ini sudah tertutup untuk aku. Tiga tahun sudah berlalu".

"Kau dah meninggalkan kami tiga bulan. Kasihan ibumu makan tak lalu teringatkan kau. Tengoklah bilik kau, berapa helai baju yang dijahit untuk kau. Kadang-kadang abah bangun tengah malam tengok dia hilang rupanya tidur dibilik kau", Wan Yahud suka menyakat isterinya. Peliknya baru tiga bulan aku hilang dari dunia ni.

"Abah kamu yang rindu kamu berlebih sikit-sikit canang nama anaknya. Anak dia cantik, anak dia pandai masak, yang kita ni dia dah tak nampak", aku percaya yang Wan Yahud dan Che Waiduri amat menyayangi aku. Semoga Allah perlihara mereka sebaik-baiknya.

"Jom kita gerak dah tak payahlah berjejak kasih sekarang nanti Imam mengamuk lagi haru", salah seorang tetamu menegur kami berdrama dihadapan mereka tanpa sedar.

Kami beramai-ramai berjalan kaki menuju ke destinasi yang sama. Memang pelik kerana semuanya berpakaian cantik sepertinya semua mahu bernikah. Over sangat berhias. Sampai saja di suatu tempat kelihatan orang ramai berkumpul. Kenapa kami berkumpul di surau usang ini? Unik sangat surau usang ni, besar dibawahnya kolam dan ada satu jambatan tunggal dari pintu pagar terus ke dalam perut surau. Kolamnya seperti amat dalam, berkarat airnya hitam legam, keliling surau ini terdapat pelbagai jenis pokok buah. Semua pokok disini subur lebat berbuah namun kenapa surau ini diabaikan?
Apa motifnya kami berhias cantik begini semata-mata untuk gotong-royong bersihkan surau kotor ini? Berlengaslah nanti, habis baju cantik aku. Orang kampung disini tak pernah terniat nak baiki surau ini sehinggalah seorang Imam muda dari kampung seberang menyatakan hasratnya untuk membaiki pulih surau ini dan membuat majlis kesyukuran disitu dengan dananya sendiri. Kaya sungguh!

"Saya bahagikan kepada beberapa bahagian untuk tugasan yang berbeza", terkejut aku kerana automatik semua orang kampung yang berkumpul tadi bergerak pantas mengikut kelompok kumpulan sepertinya sudah dirancang lama pembahagian tugas ini. Ibu menarik aku bersamanya.

"Pertama ditugaskan disini, dan disini. Kedua disini .......", aku masih bingung dengan kecekapan orang kampung yang tidak berlengah-lengah dengan tugasan masing-masing. Ia cukup mustahil didunia aku, mungkin hanya askar terlatih sahaja begini.

"Kita bersihkan kolam ini dan tukarkan dengan air sungai sehingga jernih terlihat jubin lantai kolam ini. Yang wanita pula, hiaskan karpet, langsir dan birai tabir. Yang dihadapan aku ini bahagian memasak", Imam yang tegas ini seperti ketua. Dia beri arahan yang tak logik. Tukar air kolam sehingga jernih nampak jubin? Air sungai pastinya keruh, seperti air tea, masakan boleh jernih kerana jubin itu sendiri berwarna coklat cair.

Ibu menarik aku menaiki jambatan yang terus masuk ke bahagian dalam surau, diikuti juga beberapa wanita lagi. Lagi beberapa langkah sampai ke pintu masuk surau, aku melihat sesuatu bergerak pada kolam dibawah surau. Air kolam yang berkarat itu kini sedikit berkocak. Aku terhenti melangkah dan duduk mencangkung menunggu air kolam itu berkocak lagi. Betul ke apa yang aku lihat tadi? Aku syak ada haiwan asing dalam kolam ni! Aku yakin.
"Haish kau kenapa cangkung sini, nanti..........."

"Ibu!!!!!!!!! Buaya!!!!!!!!!!!!!!", jeritan aku mengejutkan semua yang berada disana termasuk Imam. Wanita yang tadi mengikut kami di atas jambatan semua berlari keluar semua ke perkarangan surau bimbang diserang buaya. Tinggal hanya aku dan ibu. Dari riak wajah ibu langsung tiada mimik gentar akan buaya tersebut. Itulah Che Waiduri, dialah wanita paling berani di sini siapa tidak kenal. Sang harimau sendiri pernah tunduk padanya. Dilaut juga dia beraksi hebat dengan menyelam dan menangkap ikan-ikan gergasi dengan menggunakan sebilah pisau kecil sahaja. Setakat buaya ini perkara mudah baginya.
Ibu menarik jubahnya ke atas dan diikat namun dihalang oleh abah. "Isteriku, dengar kataku ini, biar orang kampung yang uruskan. Kau dan Siti masuk ke surau teruskan tugasanmu sayang", sehebat-hebat Che Waiduri itu juga lemahnya pada Wan Yahud, kelakar kan? Aku terpaksa akur, masuk sahaja ke dalam perut surau dengan penuh kederat aku membuka kesemua pintu. Bayangkan, dinding surau ini seperti pintu lipat, Habis ditolak semua, kini surau itu terbuka luas seperti tiada dinding yang boleh berselindung. Ditengah-tengah surau mempunyai tiang besar dan kukuh yang sini masih tak tercela bentuknya. Pelik juga surau ini tidak berhabuk apatah lagi bersawangm, tiada langsung! Cumanya tiada berkarpet, masih boleh terasa tapak kaki penuh dengan pasir asing.

Aku mencari ibu, hilang. Sah dia keluar melihat buaya yang sesat tu. Aku keluar ke jambatan itu semula. Kini seorang pemuda berambut paras bahu sedang mengikat tali untuk sasaran mucung mulut dan ekor buaya tersebut. Sepertinya dia sangat-sangat berani kerana hanya dia seorang yang beraksi. Orang lain hanya melihat namun disergah Imam meneruskan tugasan masing-masing.

Perlahan pemuda itu mencelup kaki sambil mulutnya terkumat-kamit. Sekali-sekala dia menyelak rambutnya yang beralun menutup mukanya dan disisipkan kebelakang. Masa ini aku terkesima.

Allah.....kacaknya! Macam hero tarzan.
"Siti..... nanti imam marah baru tahu. Pergi lekas bersihkan dalam surau", aku terkejut dari ralit menjamu mata dengan pemuda gagah itu. Keluhan aku didengari ibu. Sebelum sempat dia bersuara aku terus kembali ke dalam surau mencapai penyapu. Sesekali aku mencuri pandangan pada pemuda itu yang semakin tenggelam dalam kolam yang ngeri tu. Melihat bayangan abah sudah tiada, aku berlari ke arah kawasan mengambil wudhu iaitu berhampiran dengan kolam tersebut semata-mata ingin melihat pemuda tadi.

"Tunggu jangan bergerak, buaya ini tahu kamu nak tangkap dia tapi dia lagi bijak dia sudah bersedia nak serang kamu. Tunggu aku turun tarik ekornya!", itu dia Che Waiduri bersuara, kedegilannya membuatkan suaminya sendiri menyerah kalah. Tak sempat abah bersuara kini dia sudah terjun dibahagian bertentangan dengan pemuda tadi iaitu dibelakang buaya tadi. Disebabkan terkejut buaya tersebut terus bergerak kebelakang, mulutnya menghala pada ibu untuk menyerang. Dengan pantas pemuda tadi mengikat ekor buaya dengan tali dan dicampakkan hulu tali kepada Imam agar diikat pada batang pokok berhampiran. Serangan buaya tadi terbantut apabila gerakannya tidak sampai untuk menyerang Che Waiduri.

Masa ini aku melihat ibu menyelam dan bergerak laju mengikat keempat-empat kaki haiwan tersebut. Kini buaya itu bersungguh berguling-guling dengan mulutnya besar ternganga. Kini semua hanya kaku melihat buaya itu menggelupur seperti menunggu haiwan itu penat. Namun disebabkan buaya itu amat besar, pokok yang diikat tali tadi patah. Semua menjerit kerana lihat buaya itu menuju semula ke arah pemuda tadi. Dengan pantas ibu menyelam dan entah bagaimana ibu berjaya mengikat mulut buaya tersebut tetapi ekor buaya itu sempat melibas tubuh ibu. Pemuda itu dengan pantas menerkam haiwan tersebut kini mereka bergelut bergilir-gilir berguling. Sekejap pemuda itu dipermukaan, sekejap dia tenggelam.

Kami termasuk aku yang melihat aksi itu menjerit-jerit ketakutan hampir tercabut jantung. Melihat abah sudah menarik ibu keluar dari kolam aku matikan niat aku untuk menghampiri mereka takut dijerkah imam. Aku tak berhenti berdoa agar pemuda tadi selamat dalam pertempuran luar biasa ini. Bergelodak air kolam yang sedia hitam itu kini penuh ampungan keladak dan lumut memenuhi ruang. Sukar melihat tembus ke dasar. Ya Allah risaunya, pantaskah dia menewaskan haiwan ganas ini?

"Saya kena turun, risau dia tak mampu bertahan. Imam boleh ikatkan semua tali ini pada pokok lain?", Imam bertindak pantas dan ibu turun ke kolam semula. Kini berbekalkan pisau belatinya dengan pantas ibu menikam kepala buaya yang semakin lemah itu. Pemuda itu diarahkan oleh imam untuk naik semula ke atas dan dengan berat hati dia akur. Melihat buaya ini semakin mengganas aku semakin risau apabila melihat ibu masuk semula membantu pemuda tadi. Aku yakin Wan Yahud adalah orang yang paling bimbang melihat isterinya sendiri bertempur dengan haiwan ganas itu, dengan itu dia menanti ibu dalam kolam itu juga paras dada.

Setelah beberapa minit buaya itu terapung dengan badannya terbalik tanda ia sudah tewas, kami yang menonton akhirnya menarik nafas lega.  Ibu perlahan naik ke tebing kolam sambil tercungap-cungap. Semua bertepukkan dan membantu ibu dengan memberikan tuala dan menyuapkan segelas air. Aku dari jauh tersenyum, tak sangka ibu membalas senyuman. Bangga sungguh aku pada ibu. Dia memang luar biasa hebatnya. Aku berlari ke arah ibu dan memeluknya, lantaklah jika dimarahi imam yang penting ibu selamat. Syukur.

Orang ramai menarik keluar buaya tersebut dari kolam dan mengikat rapi mulut dan kakinya takut-takut haiwan tersebut hidup semula. Sempat juga aku mengerling ke arah pemuda tadi yang termenung di tepi kolam. Mungkin dia kecewa tak dapat langsaikan amanah tugasnya dengan sempurna. Aku teringin sungguh untuk menegurnya.

"Kau sambung buat kerja ya, abah hantar ibu ke rumah salin pakaian. Jangan curi tulang ya nanti imam marah", pelik aku, orang disini takut sangat dengan imam. Dari dulu lagi kami diugut dengan nama imam untuk mengajar kami dari berbuat nakal. Menurut abah, imam adalah orang yang paling dihormati dan dia juga sebagai ketua kampung disini. Tanda terima kasih dengan tanggungjawab yang berat itu adalah dengan penghormatan tertinggi pada imam.

Dengan bantuan ramai, kini ruangan dalam surau sudah bersih dan cantik dihiasi dengan langsir hijau lembut. Karpet lantai inipun hijau lebih kurang pula dengan baju aku. Kalau aku baring ni silap hari dipijak tanpa sadar. Diluar pula sudah lengkap berkhemah dan berkerusi, rewang masak ramai-ramai semuanya seperti kenduri-kendara. Meriah, yang aku masih tak faham kenapa semuanya berpakaian cantik. Kalau aku la tak sanggup berlengas dengan peluh dengan busana indah ini. Aku mencari juga kelibat Raeng.... dimana kau rakan aku rindukan kau. Namaku dipanggil, aku kembali ke dalam surau untuk menyusun telekung dan sejadah. Sempat aku perhatikan naskah al-Quran mereka sungguh antik cantik dengan rekal kayu yang besar dan berkilat.

Ralit sangat melihat rekal al Quran istimewa itu tiba-tiba sekali lagi kami dikejutkan dengan bunyi jeritan orang ramai. Aku berlari keluar, aku lihat pemuda tadi berada dibawah perut buaya. Buaya tadi hidup dan menggelupur untuk bebas dari tali ikatan... tanpa berfikir motif aku terus berlari ke arah pemuda itu untuk menolongnya. Aku sempat mengapai cangkul dan melompat menghala tepat ke kepala buaya....

"Siti! Jangan!!!........................".

Zassss

Terasa berdesup roh kembali ke tubuh.

Aku pantas buka mata dan kini aku berada di dalam bilik. Ya bilik tadi.

Sepertinya aku baru bangun tidur? Tadi itu mimpi semata-mata atau aku pengsan diserang buaya?

Sayup-sayup kedengaran kecoh diluar bilik. Diamati perlahan-lahan ianya bukan suara keluargaku, tapi orang luar. Bukan penceroboh mungkin jiran-jiran yang bertandang kerana berselang-seli dengan hilaian tawa ibu.

Terbuntang mata terkejut, seperti cerita dimainkan semula dari awal. Dengan pantas aku menyelak selimut dan bangun keluar dari bilik. Semua yang berada diruang tamu kini terdiam serentak dan memandang kaget. "Bangun pun kau, lekas mandi. Sudah lewat nanti imam marah".

Itu Che Waiduri, ibuku di alam mimpi.................

- Bersambung -



p/s: Kisah ini adaptasi dari mimpi aku sebenar. Peace yo!



2 ulasan:

qiesyaaa berkata...

Assalamualaikum. Saya suka baca post akak. Saya student dekat ukm batch 16/17 and stay dekat kkm. Story akak menarik. Dan memberi iktibar. Teringin sangat nak jumpa huhu 😊

Ella berkata...

menarik . suka cerita ni . nak sambungannyaaaa . huhuhu