Isnin, 13 Jun 2016

Keperluan VS Kehendak


Original article will be on here :)

Jika dibaca sekali lalu keperluan dan kehendak itu seperti sama sahaja namun maksudnya berbeza sama sekali. Pernah atau tidak setiap kali membelanjakan sesuatu perkara, anda membandingkan barangan itu satu keperluan atau kehendak semata-mata? 

Berlainan konsep keperluan dan kehendak mengikut konteks buku ekonomi yang kita pelajari di sekolah dahulu. Post kali ini khas untuk edisi musim perayaan. Pasti raya dan shopping tidak boleh dipisahkan. Keperluan adalah keputusan keperluan asas dengan mengikut plan dan bajet. Semua keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan banyak lagi perkara asas kita perlu ada. 

Kehendak ini pula lebih kepada maksud keinginan tanpa tujuan asal, boleh dikatakan “out of budget plan”.  Keinginan individu untuk menikmati hidup yang lebih selesa.  Kehendak manusia tidak terhad, bersifat pelbagai serta bergantung kepada citarasa individu. Jika anda berjaya waraskan dua perkara ini, anda adalah salah seorang pembeli yang bijak.

Rata-rata jika kita jumpa dengan perkara diidamkan pasti kita sukar membuat keputusan yang rasional. Mampu atau tidak bukan persoalan untuk hal ini. Berbelanja mengikut rasional amat penting untuk mengelakkan pembaziran. Sempena bulan baik, mungkin anda boleh berubah untuk tidak membazir. Tukarkan mind set anda membazir kepada belanja dengan bijak atau kepada tujuan derma terhadap yang lebih memerlukan. 

Bulan puasa merupakan bulan yang paling istimewa kerana waktu inilah terzahirlah segala nafsu sehingga tidak dapat membeza samada barang yang dibeli itu keperluan atau kehendak semata-mata. Banyak perkara yang ketara di musim bulan puasa ini antaranya seperti perkara di bawah.

Pertama yang kita lihat keperluan kita adalah makanan, juadah bulan puasa. Apabila juadah berbuka puasa melebihi keperluan, maka itu adalah kehendak. Nafsu apabila di bazaar Ramadhan anda mungkin berbeza jika dibandingkan dengan rancangan anda sebelum sampai di bazaar bukan? Semuanya anda teringin, juadah itu ini hanya boleh didapati ketika bulan puasa sahaja dan berbagai lagi alasan. Akhirnya juadah itu tidak dapat dihabiskan kerana terlalu kenyang. Mungkin target anda untuk kurus musnah.
Kedua, persiapan raya. Sama ada persiapan diri mahupun untuk perhiasan rumah. Jika setiap tahun semua set persiapan adalah baru, pasti anda sudah mempunyai banyak koleksi persiapan tahun-tahun yang lepas. Baju raya pula bukan hanya sepasang kerana raya sebulan dan termasuk jemputan jamuan hari raya. Mungkin tahun ini anda boleh membuat sedikit kelainan untuk tidak membazir seperti tahun sebelumnya. Selain daripada anda mendermakan pada yang memerlukan, anda juga boleh make-over set lama menjadi seperti yang baru.

Ketiga, juadah untuk raya. Biasanya kita akan membeli kuih raya dan pelbagai lagi kerepek untuk santapan tetamu di hari raya nanti. Maka sudah menjadi kebiasaan untuk kita membeli kuih raya secara pukal atau secara banyak terus. Boleh jadi kuih raya itu sudah habis diratah sebelum tiba waktu raya atau berkulat dan tamat tarikh luput sebelum raya. Jika habis dimakan tidak apa, jika tidak habis sehingga berkulat maka itu adalah pembaziran dan anda gagal membuat keputusan membeli mengikut keperluan.

Pada musim perayaan bajet kewangan anda pasti akan lari sedikit sebanyak dari perancangan, maka penelitian perlu agar mengelakkan kita dari berhutang kemudian hari. Jika kita melihat perbezaan konsep keperluan dan kehendak pasti anda dapat bezakan dan merancang kewangan anda lebih efisyen. Jangan jadikan alasan raya untuk anda tidak rasional dalam membeli belah. 
Kehendak atau keperluan? Anda bagaimana? Anda boleh berkongsi cerita di ruangan komen dibawah. Selamat menjalani ibadah puasa, semoga dipermudahkan urusan dan membeli belah dengan cermat.

Tiada ulasan: