Ahad, 18 Disember 2016

IMPIAN TUA SENDIRIAN


Sedih atau tidak membaca tajuk kali ni? Bukan nak tujukan khas pada golongan yang tertentu namun artikel ini betul-betul tentang perkongsian cita-cita dan pandangan peribadi.

Ada banyak sebab mengapa ada sesetengah orang memilih untuk hidup berseorangan. Mungkin bagi segelintir dari anda akan memandang negatif dengan impian ini dan banyak juga kita menerima nasihat untuk sentiasa positif dan usaha untuk berkahwin, mencari keluarga lengkap seperti orang lain. Hidup sendirian tidak bermaksud terasing terus dari masyarakat. Tema hidup kita kadang-kala lebih kepada kebebasan. Bebas dalam prinsip serta bebas untuk membuat keputusan. Tidak terikat dan cabar kemampuan diri sendiri.

Fikir positif untuk hasilkan sesuatu yang positif. Mungkin kita tidak sedar bahawa golongan andartu atau bujang terjalak mempunyai sejumlah populasi agak besar dalam masyarakat kita, namun bagi adat pandangan orang Malaysia yang membuatkan golongan ini seperti samar dan tidak penting. Yang penting dan normal hanya golongan bekeluarga sahaja. Tidak begitu? Golongan andartu atau bujang terlajak lebih terjerumus dengan sindirian masyarakat.
Bukan semua antara kita yang diuji lengkap keperluan hidupnya. Mungkin ada beberapa sebabnya ada antara kita masih dalam kategori ‘terasing’ ini. Antara penyebab wujudnya golongan terpencil ini:
  1. Jodoh

Isu jodoh ini adalah rahsia Tuhan sepertimana kita tidak tahu bila ajal menjemput. Mungkin juga jodoh separuh jalan. Sukar untuk mengatur apa terjadi di masa hadapan hidup kita.

2. Sakit
Diduga menghidapi sesuatu penyakit. Terpulang pada pendapat masing-masing, contohnya isu sensitif, mandul, berpenyakit kanser terminal dan sebagainya. Ada yang berpendapat jika dapat elakkan keruhan isu di masa akan datang lebih baik dia terus tidak memberi bebanan pada sesiapa. Memang kita harus menghadiri sesi terapi psikologi agar terus positif dan lebih menghargai diri dan nyawa yang dipinjam. Namun penghidap sahaja yang memahami isu rumit ini jadi hormatlah pada pandangan mereka.

3. Keluarga


Ada yang memilih untuk tidak berkahwin hanya kerana ingin menjaga ibunya sepenuh masa. Sepenuh masa, maka tiada pendapatan tetap dan yakin tidak mampu untuk berkeluarga. Menolak beberapa tawaran untuk mendirikan rumah tangga kerana yakin dia tidak akan dapat memberi perhatian sepenuhnya pada ibu bapa.

4. Penyakit jiwa
Ada golongan yang lebih suka bersendirian dan tidak selesa ruangnya dikongsi. Contohnya, semua aktiviti di dalam biliknya terpaksa dikongsi, koleksi peribadi terpaksa dikorbankan dan banyak lagi barangan peribadi hilang hak privasi jika berkahwin. Mungkin bagi sesetengah orang perkara ini isu kecil namun bagi sesetengah yang lain mereka berasa tertekan sehingga perlu mendapatkan khidmat nasihat ahli psikologi.

5. Phobia
Contoh Chronophobia atau fobia dengan masa hadapan. Mungkin tidak masuk akal bagi anda namun fobia ini betul-betul wujud. Mungkin fobia ini dari pengaruh persekitaran seseorang ini sejak kecil. Ada banyak kemungkinan di mana dia adalah salah seorang mangsa dera atau pernah mengalami kegagalan dalam hubungan/ perkahwinan beberapa kali membuatkan dia memilih untuk hidup bebas bersendirian dengan selesa.

6. Sikap


Sikap yang dibenci dan menjadi punca penceraian adalah sikap negatif seseorang yang terpaksa kita terima. Sangat biasa jika mendengar keluhan dari seorang isteri bahawa mereka penat menguruskan hal rumah tangga dan keluhan suami pula mengatakan isteri tidak pandai mengurus hal rumah pengotor dan sebagainya. Isu ini bukan isu yang remeh.

Banyak lagi penyebabnya jika kita ulas dengan lebih mendalam. Mengikut dalam kebanyakan negara dari Korea dan Jepun, isu andartu dan bujang terlajak bukan sesuatu yang memalukan malahan masyarakat mereka tidak memandang serong golongan terasing ini. Banyak rumah mereka yang dicipta untuk kediaman perseorangan. Bagi mereka hidup sendirian tidak bermakna anda terasing tetapi anda lebih bebas untuk membuat banyak aktiviti dan hiburan bersama rakan serta komuniti.

Memang sebagai lumrah hidup ini berpasangan, namun ada juga yang diuji untuk bersendirian. Kita tidak tahu masa hadapan jadi kita harus hargai hidup sebaik mungkin. Pilih positif dalam kehidupan anda agar anda tidak akan ‘sendirian’. Ubah persepsi anda tentang artikel ini. Sebarang perkongsian pendapat dan cerita boleh dicatatkan di ruangan komen.

Tiada ulasan: